Sunday, February 20, 2011

Sokongan padu


Carlo Ancelotti menegaskan beliau menerima sokongan padu pemain-pemain Chelsea ketika kelab itu berdepan 10 hari yang mungkin mampu mengubah musim mereka.
Juara berganda musim lalu itu menentang Everton pada perlawanan ulangan Piala FA malam tadi, bertandang ke Copenhagen bagi pertemuan Liga Juara-Juara Eropah Selasa ini dan menanti kunjungan Manchester United seminggu kemudian - semua perlawanan itu perlu dimenangi mereka.

Sekalipun tidak menang dalam dua perlawanan dan menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL), Ancelotti percaya beliau mampu mengubah keadaan dan mengembalikan semula sentuhan penyerang bernilai £50 juta (RM246 juta), Fernando Torres di tengah-tengah dakwaan moral pasukan merudum sejak pembantunya, Ray Wilkins dipecat November lalu.
“Saya tidak fikir pemain sudah hilang keyakinan terhadap saya,” katanya. “Ia tetap sama, dengan Ray dan tanpa Ray. Kami hilang keyakinan kerana kami tidak berdaya melakukan perkara yang kami mahu lakukan di atas padang.

“Torres tidak 100 peratus cergas, tapi dia akan menjaringkan gol. Dan dia akan mengembalikan kepantasan, larian derasnya. Dia berdepan masalah tahun lalu dengan lututnya dan dia cuba pulih dengan cepat untuk bermain pada Piala Dunia.

“Apabila seorang pemain cedera selama lima bulan, untuk kembali dengan kepantasan seperti sebelumnya, anda perlukan masa. Kami mengatur latihan khusus untuk mengembalikan kepantasannya.”
Sementara itu, penolong ketua pasukan, Frank Lampard menganggap adalah satu ‘bencana’ sekiranya Chelsea tidak layak untuk beraksi pada kempen Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

“Kami mesti menamatkan kempen dalam kelompok empat teratas dan tidak boleh hilang tumpuan terhadap bola selepas ini. Ia pasti satu bencana sekiranya kami tidak layak.”
Ketika kejuaraan liga semakin jauh daripada jangkauan dan Chelsea sudah mengaku kalah daripada persaingan bagi musim 2010-11 dengan Manchester United berada 12 mata di depan mereka, Lampard menganggap kejayaan dalam pertandingan piala adalah penting.

“Kepentingannya amat besar kerana anda boleh lihat buruan liga amat sukar untuk dipastikan lagi dan ia bermakna lebih penting untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir pertandingan piala terutama Liga Juara-Juara.”
Pemain berusia 32 tahun itu juga menyokong Torres sekalipun penyerang antarabangsa Sepanyol itu gagal menyerlah dalam dua perlawanan awal buat kelab barunya itu.

“Dia mampu melakukan perubahan besar,” kata Lampard.

“Tidak, dia tidak menjaringkan gol dalam dua perlawanan itu tapi semua tumpuan diberikan terhadapnya.

“Ia satu tanggungjawab besar, orang mahu menanti dia melakukannya dengan segera, tapi dia akan memberikan perbezaan terhadap kami.”



.

2 Penyokong CHELSEA:

Unknown on February 20, 2011 at 6:24 PM said...

Hurrmm ... Keep the blues flying high !!!

Akak jom join kontest nhieh .. Akak kena tag sudaaa .. huhu

Unknown on February 20, 2011 at 6:27 PM said...

Keep the blues flying high !!! Go the blues ..

Kak Lulu jom join kontest pasal nickname .. Amzar tag Kak Lulu

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!