Saturday, February 12, 2011

Torres memang pembelot!!!


Daniel Agger mengkritik Fernando Torres kerana meninggalkan Liverpool untuk menyertai pasukan musuh, Chelsea sambil menyifatkan ia sebagai tindakan yang “tidak boleh diterima” dan kurang menunjukkan rasa hormat.

Tonggak pertahanan Liverpool itu bersalaman dengan Torres sebelum memulakan perlawanan menentang Chelsea di Stamford Bridge, Ahad lalu tetapi kemudian dilihat menyiku pemain itu dalam perebutan bola. Ketika ditanya mengenai tindakan itu, Agger menegaskan: “Bola sepak memang mempunyai sentuhan, ia perkara biasa.”

Torres menjaringkan sembilan gol buat Liverpool musim ini sebelum meninggalkan pasukan ekoran prestasi buruk mereka di awal musim. Biarpun mengakui, aksi hambar Torres di Reds turut disumbang oleh prestasi buruk pasukan, namun Agger tetap berkeras, memilih musuh sebagai pasukan baru tetap sesuatu yang tidak boleh diterima.

Agger ketika ditanya mengapa Torres gagal beraksi baik pada separuh musim ini menjelaskan, ia tidak dielakkan kerana prestasi seseorang pemain biasanya bergantung kepada persembahan keseluruhan pasukan.
“Bagaimana saya hendak jelaskan persoalan ini ? Lihat kepada pasukan, kami bermain teruk dan dia (Torres) pula sebahagian daripada pasukan, jadi bila semua orang bermain baik, dia juga bermain baik. Ia sama untuk pemain lain, termasuk saya dan Stevie (Gerrard).

“Apabila pasukan ini bermain baik, maka setiap seorang pemain nampak bagus tetapi apabila kami kalah, maknanya setiap seorang bermain buruk,’’ ujar Agger kepada akhbar Denmark, Ekstra Bladet.
Bagaimanapun tonggak pertahanan Denmark itu ketika ditanya mengenai tindakan Torres menyertai Chelsea tetap menegaskan, ia tidak boleh diterima jika dia keluar untuk menyertai pasukan lain yang merupakan pesaing ketat Liverpool.






“Bagi pemain Denmark, ia adalah tentang menghormati kelab di mana anda bermain. Saya bangga dapat menyarung jersi Liverpool dan tidak mungkin akan bermain untuk kelab England lain. Saya tidak akan pergi ke Manchester United atau Everton, ia adalah tentang rasa hormat kepada kelab,’’ ujar pemain itu lagi.

Torres membuat penampilan sulung bersama Chelsea ketika menentang Liverpool, Ahad lalu dalam perlawanan yang dimenangi Liverpool 1-0, iaitu kemenangan keempat berturut-turut kelab tersebut. Skuad Reds mula menunjukkan pemulihan di bawah bimbingan Kenny Dalglish dan kini hanya enam mata di belakang kelab tangga kelima dan keempat, Chelsea dan Tottenham.

Agger percaya, sekiranya Liverpool dapat mengekalkan prestasi, mereka boleh memberi saingan dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara, namun dia enggan membuat sebarang jaminan bahawa pasukan itu akan melayakkan diri.

“Kami dibezakan dengan enam mata tetapi lebih satu perlawanan berbanding Chelsea dan Tottenham. Kami berada di landasan yang baik dengan mencatat empat kemenangan berturut-turut dan jika kami dapat meneruskan persembahan baik, keyakinan juga akan meningkat,’’ katanya.
Menurut Agger lagi, pengaruh Dalglish berperanan besar dalam kebangkitan pasukan kerana jurulatih itu bukan saja bijak mengatur taktikl, malah seorang yang sentiasa berfikiran positif.
“Beliau suka bermain bola sepak positif, pergi menyerang dan banyak mengawal bola,’’ ujarnya.



.

1 Penyokong CHELSEA:

Unknown on February 12, 2011 at 1:12 PM said...

ye ke dia tak kan main tempat lain selain liverpool??
kalau ditawarkan dengan nilai tinggi tak kan nak tunggu..kan..
lakon lebih je..!!

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!