Pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei pada Selasa menerima RM100,000 unit amanah saham Permodalan Nasional Berhad (PNB) daripada kerajaan Malaysia atas kejayaannya mempertahankankan kejuaraannya pada Kejohanan Badminton All-England awal pagi Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan hadiah tersebut kepada Lee, yang tiba dari London pada pukul 6.45 pagi tadi, pada majlis sarapan pagi di Seri Perdana di sini, Selasa.
Sementara isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyampaikan hadiah peribadinya yang merupakan sebuah jam tangan atas kejayaan Lee itu.
Lee pada kejohanan itu mengalahkan musuh ketatnya Lin Dan dari China 21-17, 21-17 dengan mengambil masa 52 minit pada pertandingan perseorangan lelaki Kejohanan All-England di Birmingham Indoor Arena, England.
Berucap pada majlis itu, Najib berkata beliau begitu yakin Lee akan berjaya menumpaskan Lin Dan pada pertandingan itu kerana mendapati permainan Lee lebih fokus dan lebih berkeyakinan, berbanding semasa bertemu Lin Dan di temasya Olimpik yang lepas.
Beliau berkata hadiah kerajaan Malaysia itu adalah hasil berbincangannya dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dan "kita telah bersetuju untuk memberi hadiah yang istimewa kepada Datuk Lee Chong Wei sebagai penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia atas kejayaan Datuk Lee Chong Wei."
Perdana Menteri juga berkata sebelum bertanding Lee menelefon Rosmah, yang merupakan satu tabiatnya sebelum bertanding, untuk mendapatkan kata-kata semangat.
"Pada malam itu, isteri saya telah memberi semangat kepada beliau dan berjanji akan memberi hadiah istimewa sekiranya menang, dan saya juga dapat bercakap dengan Lee Chong Wei turut berjanji akan memberi hadiah sekiranya beliau menang," katanya.
"Pada ketika itu, dia (Chong Wei) tidak menganggap Lin Dan sebagai penentang yang tidak boleh diatasi. Chong Wei juga telah menunjukkan pemainan yang begitu hebat sekali dan tidak pernah rasa tertekan tetapi sentiasa mengatur permainannya berdasarkan kepada pelan permainan.
"Pada saya, bila dia mempunyai keyakinan dan komited kepada pelan permainannya, pada masa itu dia boleh mengatasi pencabarnya yang menjadi penghalang besar kepadanya untuk mencapai kejayaan," kata Najib.
Najib berharap kejayaannya itu dapat dijadikan satu landasan kukuh untuk negara memenangi pingat emas di Sukan Olimpik yang akan diadakan di London pada tahun depan, yang merupakan "impian kita yang masih belum tercapai."
"Ini adalah harapan saya dan juga 27 juta rakyat Malaysia. Inilah harapan yang kita anggap sebagai cita-cita besar dan impian agung yang menuntut usaha semua pihak untuk menjadikannya satu kenyataan," katanya.
Perdana Menteri berkata bagaimanapun untuk mencapai kejayaan itu, semua pihak termasuk pemain, jurulatih, BAM, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu terus memberikan tumpuan sepenuhnya dalam melaksanakan perancangan pelan yang telah disusun rapi ke arah mencapai matlamat tersebut.
Bagi pemain yang tidak berjaya, Najib turut menasihatkan mereka supaya tidak mudah putus asa, malah sebaliknya menjadikan kekalahan sebagai satu pengalaman untuk mereka lebih matang dan berkemampuan di masa hadapan.
Sebagai ahli sukan, segala kekalahan atau kemenangan yang dikecapi perlu dijadikan pengalaman untuk memperkayakan kekuatan diri, di samping sentiasa menyemai sikap positif dalam diri, katanya. Najib berkata bagi pasangan beregu negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang gagal mengulangi kejayaan 2007 apabila kecundang pada Mathias Boe dan Carsten Mogensen dari Denmark pada kejohanan itu, jangan terlalu kecewa.
"Tetapi gunakan kekalahan itu sebagai pengalaman dalam kita membuat persediaan supaya bila sampai kepada pertandingan di Olimpik nanti, kita akan menjadi pemain yang berkemampuan dan berpengalaman berdasarkan pengalaman kita."
"Yang penting ialah untuk menguatkan diri kita. Kita mesti jangan pesimistik atau negatif, tetapi sentiasa positif. Dengan itu, insyaAllah kita akan jadi pemain yang lebih hebat pada masa akan datang," katanya.
Beliau juga berkata kerajaan sentiasa menyokong dan mendokong segala usaha yang dilakukan oleh semua pihak yang terlibat dalam usaha mencapai matlamat memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.
Najib juga turut menjelaskan kenapa beliau tidak mengisytiharkan cuti umum berikutan kemenangan Lee menjuarai All-England, ketika melayari laman sosial Twitternya pada malam pertandingan kerana ia akan menyebabkan negara menanggung kos yang besar walaupun cuti sehari.
"Apa yang penting kita bekerja kuat supaya meraih kemenangan yang lebih banyak pada masa depan.
"Kalau Chong Wei menang, dialah yang dapat hadiah, kita dapat cuti buat apa. Kita patut rasa bangga dengan kemenangan dia.Sekali sekala dapat cuti umum tidak mengapa, jangan jadikan ia sebagai habit.
"Nanti orang kata kita tidak serius dalam menjalankan tugas-tugas harian kita untuk negara," katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment