Friday, March 25, 2011

Kantoi ponteng..


Seramai 31 pelajar sekolah menengah berusia 14 hingga 17 tahun, ditangkap di daerah ini hari ini dalam Operasi Gerak Tempur Basmi Ponteng Sekolah yang diadakan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Terengganu.

Seorang daripada pelajar itu didapati positif mengambil dadah jenis pil kuda setelah gagal melepasi ujian saringan air kencing yang dikendalikan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri.
Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Azahar Abu Bakar berkata, operasi yang julung kali diadakan itu disertai oleh 130 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), polis, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta beberapa orang guru.

Katanya, operasi itu pada awalnya hanya disasarkan terhadap pelajar dari tiga sekolah sahaja iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, SMK Bukit Tunggal dan SMK Kompleks Gong Badak.
Bagaimanapun, katanya, hasil kerjasama semua pihak, beberapa pelajar ponteng dari sekolah berdekatan turut ditangkap.

"Program gerak tempur ini seperti KPI (Petunjuk Prestasi Utama) untuk Jabatan Pelajaran negeri dalam usaha mengurangkan gejala ponteng dalam kalangan pelajar," katanya kepada pemberita di SMK Ibrahim Fikri di sini hari ini.

Dalam operasi yang bermula pukul 8 pagi itu, kebanyakan pelajar ponteng bertempiaran lari ketika dikejar oleh pihak berkuasa terlibat.
Terdapat dalam kalangan mereka yang cuba melarikan diri dengan motosikal, ada yang terjun ke dalam paya berdekatan, malah ada yang bersembunyi di rumah kosong bagi mengelak diberkas.
Kesemua pelajar itu kemudian diberikan kaunseling, manakala ibu bapa mereka turut dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai gejala ponteng itu.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!