Kehadiran bekas suami Kris Dayanti, Anang Hermansyah ke majlis persandingan penyanyi ternama itu dengan Raul Lemos menarik perhatian lebih 3,000 tetamu di Hotel Mulia, di sini, semalam.
Anang bukan saja hadir menyampaikan ucapan tahniah buat Kris, sebaliknya, dia turut mengadakan persembahan pada majlis persandingan yang berlangsung secara gilang-gemilang itu.
Penyanyi dan komposer yang pernah 13 tahun hidup bersama Kris itu menyampaikan lagu duet Jodohku bersama kekasihnya, Ashanty.
Anang juga turut mengundang anak sulungnya hasil perkahwinan dengan Kris, Aurel ke pentas menyampaikan lagu Tanpa Bintang.
Tetamu pada malam majlis persandingan itu rata-ratanya amat terharu dengan kehadiran Anang sehingga ada yang menitiskan air mata.
Bagi Kris, kehadiran bekas suaminya itu amat dihargai oleh beliau dan suaminya, Raul.
"Saya berterima kasih kerana dia (Anang) dapat hadir ke majlis resepsi saya. Bahkan, kesediaan Anang mengadakan persembahannya juga amat saya hargai," kata Kris mengulas kehadiran bapa kepada dua cahaya mata mereka itu.
Selain Anang, artis-artis ternama Indonesia lain turut mengadakan persembahan iaitu persembahan duet Afghan dan Bunga Citra Lestari, Vina Panduwinata, Camelia Malik serta kakak kandung Kris, Yuni Shara dan kekasihnya, Raffi.
Tidak ketinggalan kehadiran penyanyi popular Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin turut menarik perhatian.
Siti Nurhaliza yang ditemani suaminya, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa turut mengadakan persembahan pada majlis itu sebagai tanda kenangan buat teman karibnya yang turut menyanyi pada majlis persandingannya dengan Khalid pada 28 Ogos 2006.
Pada 20 Mac lalu, Kris menamatkan zaman jandanya dengan usahawan yang berasal dari Dili, Timor Leste itu pada satu majlis yang diadakan secara sederhana di Masjid Sahid Nurul Iman di sini.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment