MENITI hari menunggu gelaran sebagai seorang ibu, Sazzy Falak yang kini sedang sarat mengandung berkemungkinan akan melahirkan sepasang bayi perempuan sekitar 24 April ini. Namun penampilan pemilik tubuh kecil molek itu masih lagi seksi seperti sebelum ini.
Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak, 30, yang pernah menggondol gelaran wanita paling seksi sebanyak dua kali berturut-turut oleh majalah FHM dalam kategori ‘100 Most Sexiest Women In The World’ pada tahun 2005 dan 2006 tidak menjadikan kehamilannya sebagai alasan untuk tidak berfesyen.
Bercerita lebih lanjut mengenai kehamilannya Sazzy ketika ditemui di The Curve untuk mempromosi telefilem
Dan Sebenarnya bersama Astro, berkata perut membesar kerana hamil bukanlah satu halangan untuk tampil cantik dan bergaya.
Terangnya, kehamilan adalah nikmat hidup dan anugerah istimewa yang dikurniakan oleh Pencipta kepada kaum wanita.
“Bagi saya pengalaman mengandungkan anak sulung kami ini bukanlah satu penghalang untuk saya berfesyen, asalkan saya selesa. Lagi pula bila mengandung, badan cepat terasa berpeluh. Jadi pakaian yang bersesuaian perlu dipilih dengan baik,” kata isteri kepada ahli perniagaan dan pengacara yang juga menceburkan diri dalam dunia lakonan, Nazril Idrus, 37.
Lumrah wanita mengandung yang akan mengalami perubahan kerana si ibu merasakan dia adalah orang yang paling bertuah dan ada ketikanya pula mahu diberi perhatian lebih daripada biasa, kenyataan ini yang diakui oleh suaminya yang lebih mesra dipanggil Nash berkata wanita yang dinikahinya pada 8 November 2006 itu lebih manja berbanding sebelum ini.
“Selalunya dia memang manja tapi ketika dia mengandung, karakter berubah menjadi lebih manja dan kadang-kadang suka merajuk,” jelas Nash yang sudah pun berbincang dengan Sazzy mengenai nama bakal bayi mereka.
Tidak mahu memilih nama yang terlalu panjang hingga merumitkan orang menyebut, pasangan romantik ini yang pernah dipilih sebagai Pasangan Selebriti Paling Diminati oleh majalah Eh! hasil undian pembacanya pada Julai tahun lalu, telah pun memilih nama yang ringkas dan mudah diingati untuk puteri-puteri mereka.
“Lagipun nama saya pendek, nama Nash pun pendek, jadi kami bersetuju nama yang pendek juga untuk anak kami nanti,“ sepakat pasangan yang mendapat tempat kedua dalam rancangan tarian pasangan selebriti Sehati Berdansa.
Pengurusan kewangan
Teruja dengan kehamilan Sazzy yang bakal memberikan bukan saja cucu pertama keluarganya tetapi berganda kegembiraan apabila bakal memberikan dua orang cucu sekali gus.
Bercerita lanjut mengenai kehamilannya itu, pasangan yang pernah berkolaborasi dalam drama bersiri yang pernah ditayangkan Astro Prima, pada 2008 iaitu Ada Apa Dengan Cinta, selepas sahaja diberitahu oleh doktor mengenai jantina bayi yang dikandung, mereka tidak mengambil masa yang lama untuk terus membeli barangan kelengkapan bayi yang kebanyakan berwarna merah jambu.
Nash yang juga Pengasas dan Presiden LVG Consultants berkata, walaupun teruja untuk membeli barangan kelengkapan bayi mereka, tetapi mereka tidak terlalu gelojoh membeli kerana tidak mahu membazir.
Tambah Nash, selain mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk bergelar ibu kepada puterinya, dia dan Sazzy turut melengkapkan diri dengan persediaan untuk menguruskan kewangan mereka memandangkan akan mendapat dua anak sekali gus.
“Disebabkan itu, dengan kerjasama LVG Consultants di bawah kendalian saya, kami sama-sama mempelajari pengurusan kewangan yang betul menerusi kelas yang dianjurkan Bank Negara dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Lagipun selepas Sazzy bersalin nanti, kami memerlukan kereta yang lebih besar, jadi melalui kelas kewangan yang dianjurkan ini, kami sudah dapat menganggarkan kereta jenis apa yang sesuai dibeli dengan jumlah pendapatan kami,” ujarnya yang menyarankan pasangan ibu bapa muda pada zaman sekarang digalakkan menyertai kelas kewangan seperti itu supaya dapat membantu untuk mengharungi kehidupan baru bersama anak-anak dengan lebih tenang tanpa beban hutang.
Dalam pada itu tambah Sazzy, kebanyakan barangan bayi telah dibeli semasa mereka berdua menjalani penggambaran telefilem Dan Sebenarnya di Dublin, Ireland baru-baru ini.
Sebelum berlepas ke sana, Sazzy yang ketika itu sedang hamil empat bulan, melonjak kegembiraan apabila mendapat lampu hijau daripada doktor untuk menaiki pesawat.
“Pada mulanya, saya risau juga kerana perlu naik kapal terbang, tetapi selepas doktor berkata tiada halangan bagi kandungan di bawah enam bulan untuk berjalan jauh. Jadi selepas penggambaran tamat, kami menyambung untuk tinggal beberapa hari lagi di sana untuk membeli barangan bayi,” ujar pelakon drama Gol dan Gincu itu.
Teruja, kongsi pengalaman
Selain menyediakan baju serta barangan untuk kembarnya kelak, Sazzy juga perlu bersedia untuk menjadi ibu kepada dua orang cahaya mata serentak.
Memutarkan sebentar karakter Sazzy ketika kecil dahulu, Sazzy akui disebabkan dia merupakan anak sulung dan menerima adik dalam tempoh yang agak jauh, menjadikan Sazzy seorang yang pandai berdikari dan tidak terlalu nakal.
“Ketika kecil dulu, selepas saya bermain dengan anak-anak patung dan barang mainan yang lain, saya akan simpan balik di tempat asal, saya tidak suka membiarkan barang permainan saya bersepah di dalam rumah. Boleh dikatakan saya ini berdisiplin,” ujarnya yang dicuit suami mengenai mimpi pelik yang dialaminya baru-baru ini.
Teruja mahu berkongsi pengalaman itu sekadar selingan untuk menceriakan perbualan, Sazzy berkata disebabkan tidak sabar mahu melihat wajah si kecil yang kini sihat membesar dalam rahimnya, dia telah bermimpi melahirkan seorang bayi, bermain dan bermanja dengan zuriatnya itu.
“Bayangkan, disebabkan sudah tidak sabar nak jadi ibu, saya mimpi saya keluarkan anak saya dari dalam perut dan bermain-main dengannya, lepas penat bermain, saya simpan semula anak saya itu dalam perut,” katanya dalam tawa.
Mengutip pengalaman bergelar ibu daripada sahabat baiknya, Dynaz dan Aishah Sinclair, pengacara popular ini mengakui sentiasa menghubungi mereka untuk mendapatkan nasihat sementelah ini merupakan pengalaman pertamanya melangkah ke alam baru.
Menurut Sazzy lagi, suami, ibu dan ibu mertuanya juga banyak membantu dan menyokong sepanjang proses kehamilannya.
“Kalau dulu saya hanya melihat dan melayan keletah bayi orang lain, kini saya juga bakal merasainya sendiri. Memang lain sangat dan teruja. Selain itu, melihat rutin rakan-rakan baik saya melayan anak, menyusu, menukar lampin menjadikan saya semakin tidak sabar untuk meminang anak sendiri,” katanya.
Kehadiran cahaya mata pasangan Sazzy dan Nash ini bukan sahaja menggembirakan keluarga Sazzy memandangkan bayi itu merupakan cucu sulung tetapi turut mengujakan keluarga Nash kerana keturunan kembar disambung oleh generasi cucu pula kerana ibu Nash juga mempunyai pasangan kembar.
Selain berkongsi pengalaman dan mengambil tips sepanjang kehamilan bersama Aishah dan Dynaz, Sazzy juga melengkapkan diet pemakanan yang seimbang dengan mengambil vitamin pranatal dan juga sedang menjalani latihan yoga.
“Suatu ketika dahulu saya seorang yang begitu minat dengan aktiviti yoga, tetapi selepas sibuk dengan tawaran pengacaraan, berlakon, aktiviti yoga dilupakan sekejap. Tapi kini sejak berbadan dua, guru yoga yang pernah mengajar saya dulu, datang memberikan latihan di rumah pula.
“Selain menjaga kesihatan secara dalaman, saya juga akan mengurangkan aktiviti kerja-kerja luar kerana usia kandungan saya sudah enam bulan dan saya kerap penat dan tidak boleh terlalu aktif seperti sebelum ini,” katanya yang akan menjalani tempoh berpantang di rumah ibunya di Ampang.
.
4 Penyokong CHELSEA:
sazzy falak yg bersuara sexy.. =)
hot momma! i loikeee =)
Dorang ni lepas kawin lama juga nak dapat anak.Sekarang dah ada dapat 2 sekaligus.Alhamdulillah..tu la rezeki buat mereka.
bila pula giliran lulu ???
Post a Comment