Seorang pemuda menempuh saat paling hiba apabila tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan adik bongsunya yang hancur dari paras pinggang ke bawah kerana digilis lori treler simen dalam kejadian langgar lari di Jalan Sanglang, berhampiran kawasan simpang Padang Keria, dekat sini, pada malam Sabtu lalu.
Dengan deraian air mata, Sharizal Kassim, 28, hanya mampu melihat adiknya itu Mohd Hafizi, 17, yang tertiarap di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah kerana kedua-dua kakinya hancur, disebabkan tidak mampu memberikan bantuan kerana keadaan mangsa kemalangan itu amat mengerikan.
Katanya, beliau yang berada di rumah ketika kemalangan yang menimpa adiknya itu pada jam 9.30 malam Jumaat lalu bergegas ke lokasi kejadian kira-kira satu kilometer dari rumahnya sebaik diberitahu rakan mengenai nahas ngeri itu.
“Sebaik tiba, saya dapati adik masih bernyawa malah beliau berulang kali meminta saya menyampaikan permohonan maaf kepada ibu, Che Amah Ismail dalam keadaan dia tertiarap di atas jalan,” katanya yang masih trauma ketika ditemui di rumahnya di Simpang Sanglang, di sini, semalam.
Katanya, Hafizi juga masih mampu bercakap ketika berada dalam ambulans untuk dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, sebelum disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 12.40 malam berkenaan.
Sharizal berkata, selain itu ketika di tempat kejadian beliau turut melihat mayat rakan adiknya, Mohd Shawal Shahabudin, 15, terbujur kaku dan ditutupi kain di sisi adiknya itu.
Sementara itu, Ketua Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Rusli Yahaya berkata, sehingga kini pemandu kenderaan berat terbabit belum membuat laporan polis berhubungan kemalangan maut itu.
.
1 Penyokong CHELSEA:
saya pun pernah kene langgar lari dulu...huhu
Post a Comment