Sunday, March 27, 2011

Sakit ditikam belakang



MENYIFATKAN perjalanannya dalam seni sepanjang 37 tahun banyak membantu dirinya ‘menggali’ hati budi orang di sekelilingnya. Ada yang memuja, mengeji, menghina, bahkan ada juga yang tidak menyokong karier seninya. Bagi pelakon Fauziah Ahmad Daud, di mata kasar dunia seni memang cukup gah dan glamor.
Tapi kalau diselami akan dapat merasai ranjau dan likunya. Justeru pemain seni perlu kuat semangat terutama saat berdepan dengan tohmahan dan kritikan yang membabitkan hasil kerja.

‘‘Saya lalui macam-macam episod suka dan duka. Bohonglah kalau saya cakap, saya tak pernah menangis sepanjang menjadi orang seni. Pada arwah mummy (Saadiah), saya luahkan seluruhnya. Tapi, apabila mummy sudah tiada, saya jadi lumpuh. Sebahagian semangat saya turut terbang sewaktu kehilangannya,’’ bicara awal Fauziah mengimbas kenangan bersama ibunya.

Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia pertama menerusi filem Ceritaku Ceritamu ini juga pantang melihat air mata ibunya.
Masih segar dalam ingatan Fauziah adalah dakwaan kurang bijak oleh rakan seperjuangannya dalam bidang seni.

Mereka mendakwa kebanyakan lakonan Fauziah keterlaluan. Individu yang dilihat cukup berjaya dalam menyampaikan falsafah hidupnya itu kerap kali mengganggu emosi ibu Fauziah.

‘‘Dia antara orang yang menyebabkan air mata ibu saya mengalir. Saya sendiri pun tak pernah berbuat sedemikian. Disebabkan terlalu pilu, saya dah memadamkan terus ingatan saya terhadap individu itu.
‘‘Tiada lagi dia dalam kamus hidup saya. Sebab dia tak pernah menyesal atas perbuatan dia. Saya tak tahu apa masalah dia. Berani dia dakwa saya pelakon berlebih-lebihan.

‘‘Tapi tahukah dia tentang kesan selepas kenyataannya diketahui umum. Saya dikata macam-macam oleh masyarakat. Tapi saya masih boleh bersabar.
‘‘Selepas itu, saya balas balik dakwaannya itu dengan mengatakan dia pelakon stereotaip, kemudiannya meminta maaf. Lepas itu, dia buat balik, cakap benda yang tak baik di belakang saya.

‘‘Perbuatan suka tikam dari belakang itu memang memeritkan. Dia gunakan saya sepenuh untuk kebaikan dia dan kemudiannya memburuk-burukkan saya’’ cerita Fauziah mengenai peristiwa hitam itu.
Arwah ibunya juga menyifatkan bahawa pelakon dan penerbit filem berkenaan tidak jujur menjalinkan persahabatan dengan Fauziah. Jadi, lebih baik Fauziah menjauhkan diri apatah lagi, sifat lahiriahnya tidak gemar bermusuh.

‘‘Saya tak boleh jadi hipokrit sebab itu bukan cara saya. Umpamanya kalau ada sebiji berlian, di dalam lumpur akan tetap bercahaya. Saya sesal kerana dakwaan itu mengaitkan mummy kerana dia paling banyak menggali potensi diri saya dalam bidang seni terutama lakonan,’’ katanya lagi.
Bagaimanapun, ada hikmah di sebalik peristiwa tersebut. Fauziah bersyukur kerana sehingga hari ini masih ada pihak yang menghargai hasil kerjanya.

Semuanya berkat amanah dan wasiat daripada mummy dan arwah ayah, Datuk Ahmad Daud yang kerap mengingatkan tentang perjuangan orang seni yang tidak boleh bersandarkan minat semata-mata. Perlu disertai ilmu dan rajin bergaul dengan tenaga mahir untuk menimba pengetahuan lebih mendalam.

Diva & primadona

Fauziah juga menafikan bersikap diva di atas limpahan populariti dan kemantapan lakonan hasil didik kedua-dua ibu bapanya sejak kecil.

‘‘Sebelum itu, ingin diperjelaskan bahawa diva bermaksud penyanyi drama yang disertai nyanyian dan muzik. Begitu juga dengan perkataan primadona yang lebih kurang maksudnya. Kedua-dua perkataan itu kurang sesuai buat saya yang kerjanya berlakon ini. Saya tak suka orang memandang saya dengan dua panggilan itu.

‘‘Tapi, saya lebih selesa kalau orang menggelar saya pelakon ‘method in character’. Sebab, saya akan mengkaji sesuatu watak yang diberi hingga roh watak itu bersatu dalam diri saya. Bila mana kesakitan dalaman yang saya rasai lebih sakit dari hirisan luka di luaran,’’ jelasnya.
Mengenai dakwaan dia seorang yang garang, Fauziah berkata, bukan garang tapi tegas sebab ramai pelakon sekarang yang main-main di lokasi.

“Saya dengar ada orang seram bekerja dengan saya. Jangan takut sebab saya tak akan keluarkan kata-kata yang kurang enak,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Fauziah, dia pantang kalau pelakon itu datang ke lokasi tanpa membuat persiapan.
“Kepada orang macam ini sudah pasti saya akan bertindak tegas sebab dia telah membuang masa saya,’’ jelasnya.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!