Sunday, March 6, 2011

Saya tak akan lafaz cerai..


IBARAT satu trilogi duka apabila berkenalan empat tahun, bercinta lima bulan dan bertunang empat bulan, hayat di alam rumah tangga hanya sempat dikecapi dalam tempoh 20 hari sahaja.

Sejam lebih mendengar luahan hati seorang lelaki, takdir hidupnya memang tidak seindah yang diimpikan malah ibarat langit dan bumi, berbanding pasangan pengantin baru lain.
Sehingga hari ini, Jimmy Shanley terus menanti dalam sepi di rumahnya sambil mengharapkan sayang dan kasih dirinya dan isteri kembali bersatu seperti satu masa dulu.

Menoleh sejenak kemelut rumah tangga Jimmy, 30, mula menjadi bualan hangat selepas baru sebulan berkahwin dalam satu majlis gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada awal Oktober tahun lalu.

Bibit-bibit kedinginan rumah tangga pengacara popular itu dapat dihidu apabila dia dan isteri, Nursuhaila Eliani, 24, dikatakan tidak lagi tinggal serumah.
Bagaimanapun bagi mereda keadaan, pengacara Akademi Fantasia 8 pantas menafikan berita tersebut dan menyifatkannya sebagai gosip semata-mata.

Jimmy memberitahu, dia dan isteri masih lagi sibuk berbulan madu apatah lagi Nursuhaila telah disahkan mengandung empat minggu.
Biarpun penafian dibuat, gosip mengenai rumah tangga bagaikan tiada titik noktah apabila cerita-cerita kurang enak masih lagi kedengaran di telinga pihak wartawan.

Ada yang mendakwa ketika Jimmy dan isterinya yang merupakan anak kepada jutawan produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim berbulan madu di luar negara, mereka membawa haluan masing-masing di sana.
Gelora rumah tangga pasangan itu sampai ke kemuncak apabila Nursuhaila dikatakan keluar dari rumah keluarganya di Sungai Buloh.

Begitulah rentetan gosip panas yang melanda bekas pengacara Trek Selebriti di Astro ini yang khabarnya berpunca setelah isteri Jimmy menyedari dia dikahwini kerana harta keluarga.
Jimmy pula apabila diminta menjelaskan semua gosip itu, dia mengambil keputusan untuk tidak mahu menjawab panggilan telefon pihak wartawan apatah lagi bersua muka.

Namun pada 11 Januari lalu, kelibat Jimmy dilihat di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sekali gus kembali menimbulkan spekulasi mengenai rumah tangganya yang dikatakan semakin rapuh.
Sekali lagi Jimmy diburu pihak wartawan dan menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), dia berkata tidak dapat memberi sebarang komen kerana mahu menjaga hati keluarga mertua dan pihak tertentu berhubung perkara itu.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu juga mengharapkan semua peminat dan orang ramai dapat berdoa agar perkahwinannya akan terus kukuh dan kekal buat selama-lamanya.
Memanaskan lagi keadaan, hos program Itu Dia di Astro Ria itu muncul pula di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 22 Februari lalu.

Bagaimanapun kes tersebut yang pada awalnya ditetapkan untuk sebutan terpaksa ditunda kepada tarikh lain ekoran ketiadaan hakim.
Difahamkan, Jimmy akan ke mahkamah lagi pada Selasa ini. Betul atau tidak, hanya tuan badan yang mempunyai jawapan yang sahih.
Berkunjung ke rumah Jimmy di Subang Jaya petang Jumaat lalu, lelaki berkulit putih cerah ini merungkaikan secara eksklusif apa yang berlaku antara dirinya dan Nursuhaila.
Jimmy dan isteri diijabkabulkan pada 1 Oktober tahun lalu di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, Selangor dengan mas kahwin sebanyak RM31,186.


Hanya 20 hari tinggal serumah

Berbual panjang dengan lelaki ini, dia seboleh-bolehnya ingin menyembunyikan resah di jiwa di sebalik sikapnya yang peramah.

Apabila ditanya kenapa dia enggan menjawab panggilan sejak isu keretakan rumah tangga Jimmy dan isteri timbul, dia hanya ketawa sebelum memberi jawapan ini.
“Saya tak mahu isu ini menjadi lebih panas. Lagi pun saya kena jaga hati ramai pihak. Saya minta maaf banyak-banyak.

“Alhamdulillah, sekarang hubungan saya dan isteri nampak semakin okey. Doakan yang terbaik untuk kami,” katanya memulakan bicara sambil memberitahu ketika ini, isterinya sedang mengerjakan umrah dengan keluarga mertua selama dua minggu sejak seminggu lalu.
Menyambung perbualan, bekas kumpulan Trez tenang menepis pelbagai soalan berkaitan gosip yang menimpa rumah tangga sebelum ini. Tegasnya, dia langsung tidak mempunyai niat untuk bercerai dengan isteri kesayangannya itu.

“Mana ada nak bercerai? Saya tidak akan melafazkan cerai. Semuanya demi bayi dalam kandungan yang sudah berusia lima bulan.
“Saya bukan hendak menidak kuasa Allah S.W.T tapi saya pernah kehilangan bapa ketika kecil kerana meninggal dunia. Saya tak mahu anak saya melalui apa yang saya lalui sebelum ini apabila membesar tanpa kasih sayang seorang bapa.
“Esok-esok susah nak jawab dengan anak kenapa ayah masih hidup tapi kami tidak tinggal sekali,” jawabnya panjang lebar.

Jelas pemegang Ijazah Chartered Institute Of Transport, dia sanggup melakukan apa sahaja demi anak yang bakal dilahirkan pada Jun ini.“Adalah tidak wajar memperjudikan masa depan s eorang anak yang belum dilahirkan. Jiika seseorang ingin memperjudikan dirinya, terpulanglah.
“Tapi jika memperjudikan sebuah perkahwinan, saya memang kesal. Saya sudah memberi peluang lima bulan untuk isteri berfikir dan muhasabah diri pada perkahwinan yang kami bina,” katanya bermadah dalam nada sayu.

Terdiam seketika, Jimmy akhirnya mengakui telah berpisah bumbung dengan isteri sampai hari ini, selepas hanya sempat bersama selama 20 hari sahaja.
“Betul saya tinggal seorang diri di Subang. Lepas 20 hari berkahwin, saya jadi orang bujang balik,” katanya selamba sambil ketawa.

Agak pelik dengan jawapan diberi, pantas ditanya bagaimana perkembangan hubungannya dengan isteri walaupun beria-ia memberitahu keadaan semakin baik pada awal perbualan tadi?
Mohon Jimmy dengan rendah hati, dia berharap peminat mendoakan yang terbaik buat dirinya dan isteri agar hubungan kembali pulih, sama seperti suami isteri lain.

Malah katanya, dia bersyukur keluarga mertuanya tidak putus-putus berdoa untuk kebahagiaan rumah tangganya selain banyak memberi sokongan moral.


Isteri dingin kerana alahan

Pasti ramai yang ingin tahu punca sebenar Jimmy dan isteri tidak tinggal serumah tidak sampai sebulan berkahwin. Inai pula masih merah di jari.

Sekali lagi dalam nada serius, dia menegaskan puncanya bukan kerana dia tergila-gilakan harta keluarga isterinya. Bukan juga gara-gara dia terlalu rapat dengan ibu mertua bagai yang diperkatakan.
“Apa yang boleh saya kata, menurut cakap orang tua-tua semua yang berlaku kerana pembawakan budak oleh isteri saya.
“Saya sedar mungkin ada yang tidak percaya dengan alasan ini. Malah saya juga tidak pernah melaluinya. Maklumlah pertama kali berdepan isteri yang baru berbadan dua ini,” katanya sambil memberitahu Nursuhaila juga tidak boleh berada dekat dengannya kerana alah menghidu bau badan suami sendiri.


Selalu jenguk isteri

Kembali menjadi ‘lelaki bujang’ bukan menjadi alasan untuk Jimmy lepas tangan dengan mengabaikan tanggungjawab sebagai suami.
Dia tetap melunaskan nafkah zahir apabila memberi wang setiap awal bulan kepada Nursuhaila selain kerap pulang menjenguk isteri di rumah mertua.

“Saya memang selalu balik ke rumah mertua melawat isteri. Apabila jumpa, hubungan kami macam biasa seperti pasangan suami isteri lain.
“Selain itu, kadang-kadang saya juga ada menemani ibu mertua untuk beli barang rumah,” katanya sambil tersengih.

Beralih kepada soalan panas, Jimmy diminta menjawab kekeliruan yang timbul apabila dia pernah muncul di mahkamah sebelum ini.
Katanya, dia mengakui hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 11 Januari lalu sebelum muncul kali kedua pada 22 Februari lalu.

“Saya hadir di mahkamah pada 11 Januari untuk memproses mendaftar peguam manakala pada 22 Februari lalu berhubung permohonan kembali taat yang saya failkan terhadap isteri. Tapi bukan hendak bercerai pun,” katanya berterus-terang.

Menamatkan perbualan, soalan terakhir ditanya sama ada dia akan ke mahkamah lagi pada Selasa ini.
Tanpa berfikir panjang, Jimmy memberitahu perkara itu belum pasti akan berlaku dan terserah kepada keadaan.

“Selasa ni saya belum tentu lagi pergi ke mahkamah atau tidak. Saya hanya tunggu respon peguam saya.
“Insyaallah, apa keputusan yang saya buat nanti semuanya demi kebaikan anak yang bakal dilahirkan nanti.
“Sebagai lelaki, sudah pasti saya impikan rumah tangga sempurna dan berusaha mencari kesempurnaan itu bersama isteri yang saya cintai,” katanya sambil membelek peralatan bayi yang baru dibelinya.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!