DIA sememangnya istimewa dan tidak seperti jurufoto biasa. Sentuhan hasil seni daripada kamera SLR digitalnya menjawab tanda tanya akan kebolehan dan bakat walaupun hanya menggunakan sebelah tangan.
Mengorak peristiwa hitam tujuh tahun yang lalu bukanlah igauan baginya untuk meneruskan langkah kehidupan. Baginya kehidupan harus diteruskan dan tiada istilah mengalah pada takdir yang menimpanya.
Muhammad Fazer Ahmad, 25, anak kelahiran Ipoh, Perak itu kehilangan sebelah pergelangan tangan kiri kerana terlibat dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu menunggang motosikal.
Pergelangan tangan kirinya digilis oleh sebuah lori treler yang mengakibatkan kesemua jari jemari kirinya tidak dapat diselamatkan lagi.
“Kejadian tersebut sedikit pun tidak memutuskan semangat saya untuk meneruskan kehidupan. Saya harus bangun menerima takdir ini dengan reda. Walaupun sebelah pergelangan tangan kiri saya terpaksa dipotong bukan bermakna saya tewas. Malah berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan saya terus bangun untuk menikmati kehidupan seperti manusia biasa,” katanya.
Menurut Muhammad Fazer kecacatan bukanlah penghalang untuknya berjaya dalam bidang fotografi. Semangat juang yang tinggi dalam diri anak muda ini telah meletakkan namanya sebaris dengan jurugambar terkenal dewasa ini. Beliau mampu menghasilkan gambar-gambar kreatif dan mempunyai nilai seni yang tinggi.
“Saya tidak merasakan kelemahan dan kekurangan dalam diri saya sewaktu berada di lokasi pengambaran. Bagi saya kekurangan ini membuatkan saya ingin membuktikan bahawa saya mampu memberi saingan kepada mereka yang normal.
“Tidak dinafikan ramai juga yang kurang percaya kebolehan saya setelah melihat keadaan saya sebegini.
Namun saya sentiasa berfikiran positif dalam apa jua kritikan, berkat kesabaran saya kini semakin diterima dan mampu memenuhi cita rasa pelanggan saya,” katanya.
Muhammad Fazer yang kini semakin menjadi rebutan untuk majlis perkahwinan, majlis rasmi ahli-ahli korporat serta fotografi potret individu dan berkumpulan. Beliau sentiasa inginkan kelainan dan sentiasa mahukan yang terbaik untuk pelanggannya.
“Saya bukan sahaja merakamkan detik indah seseorang malah lensa saya sentiasa mahukan yang terbaik dari semua sudut terutamanya dalam mengekalkan kreativiti, sentuhan warna dan keaslian imej itu sendiri”, katanya.
Kesungguhan pada sikap yang sentiasa positif terhadap kerjayanya, Muhammad Fazer melangkah setapak lagi setelah mendapat jemputan sebagai penceramah untuk bengkel fotografi. Beliau telah diberi kepercayaan untuk mencurahkan pengalaman dan ketabahannya dalam bidang mencabar ini.
Menurut Muhammad Fazer, ilmu fotografi yang diperolehinya sekarang bukanlah didapati secara pembelajaran yang formal. Berkat ketekunan dan kesungguhannya ingin mencuba sesuatu yang baru tidak mematahkan semangatnya walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan.
“Saya banyak membuat rujukan dari rakan-rakan senior dan di Internet. Saya bersyukur kerana ramai yang hadir membantu saya mendalami bidang ini.
“Saya begitu terharu kerana saya diberi peluang menerajui seminar fotografi di Kolej Pembantu Perubatan Ulu Kinta, Perak. Saya telah mencuba memberi yang terbaik dan bersyukur saya semakin yakin untuk memperkongsikan ilmu yang saya ada,” katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut jejaka yang berbakat ini bolehlah melawati blognya fazerahmadphotography.blogspot.com. Anda juga boleh menghubungi Muhammad Fazer di talian 012 496 0306 untuk sebarang tempahan fotografi dalam membantu kerjaya barunya.
P/S - Gambar diatas adalah contoh gambar yang Fazer hasilkan..
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment