IBU bapa mana yang mahu melihat anak gadis mereka yang dididik dengan penuh sopan santun memiliki otot pejal dan sasa seperti lelaki. Apatah lagi melihat anak kesayangan saban hari bermain dengan besi untuk memejalkan otot hingga seolah-olah hilang sifat lembut seorang wanita.
Itu yang dilalui Lilian Tan, 38, apabila menceburi sukan bina badan.
Menurut anak tunggal pasangan Tan Cheng Teik dan Jenny Tan itu, pada awalnya dia mendapat tentangan yang hebat daripada ibu bapanya.
Keluarganya bukan sahaja kecewa dengan keputusannya untuk melibatkan diri secara serius di dalam sukan tersebut malah mereka tidak yakin akan kebolehan Lilian.
Tetapi segala-galanya berubah apabila Lilian berjaya membuktikan bahawa dia sememangnya tidak omong kosong malah berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa.
‘‘Saya selesa dengan situasi sekarang malah yang paling menggembirakan sudah pasti sokongan daripada ibu bapa. Satu ketika dahulu merekalah orang yang paling menentang keputusan saya ini.
‘‘Hari ini, mereka bukan sahaja berbangga dengan anak mereka malah saya juga akan membuktikan bahawa saya mampu melakukan yang lebih baik daripada hari ini.
‘‘Dan apabila berbicara mengenai bentuk badan saya, sudah pasti saya amat berbangga walaupun ada mata yang gerun melihatnya,’’ katanya yang memulakan karier dalam sukan bina badan ketika berumur 26 tahun.
Hakikatnya, di Malaysia, sukan bina badan untuk kaum wanita jarang sekali diadakan kerana batasan agama dan budaya masyarakat rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, penghujung tahun lalu, Lilian berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila mendapat pingat gangsa dalam pertandingan World Physique Sports Championship dan juga Asian Women Physique di Singapura.
Ini sekali gus menjadikannya wakil wanita Malaysia pertama yang menyertai pertandingan bina badan di peringkat antarabangsa.
Tidak sengaja
Menyingkap penglibatannya di dalam sukan tersebut, menurut anak kelahiran Pulau Pinang itu, segala-galanya berlaku secara tidak sengaja.
Ini kerana Lilian sememangnya bukanlah seorang yang aktif dalam bidang sukan sejak di bangku sekolah memandangkan dirinya sering sahaja sakit.
Bagaimanapun, sejak menyambung pelajaran di luar negara, Lilian mula melibatkan diri dalam sukan renang.
Bercerita lanjut, ulas Lilian, segala-galanya bermula ketika kolam renang tempat yang selalu dikunjunginya ditutup selama dua minggu untuk pengubahsuaian.
Disebabkan sudah terbiasa melakukan renangan, apabila kolam tersebut ditutup Lilian tiada tempat lain untuk melakukan senaman selain mengunjungi gim.
‘‘Cuba anda bayangkan, seumur hidup saya tidak pernah mengunjungi gim apatah lagi mencuba segala kelengkapan di sana.
‘‘Jadi, apabila kolam renang ditutup, saya tidak mempunyai pilihan lain selain ke gim untuk melakukan senaman. Pada satu hari saya telah membuat ujian berat badan.
‘‘Daripada ujian tersebut saya mendapati berat badan saya melebihi daripada yang sepatutnya dan bermula dari situlah saya mula mencuba peralatan di gim tersebut seperti threadmill dan basikal,’’ katanya ketika ditemui di salah sebuah gim di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Saat itu, dumbell dan segala peralatan senaman menjadi kawan karib Lilian dalam usaha menurunkan berat badanya.
Tanpa disangka, latihan asal yang dilakukan untuk menurunkan berat badan akhirnya mengubah dirinya di mana ototnya mula ‘berketak’ seperti seorang jaguh bina badan.
Lilian tidak menoleh lagi apabila mula melibatkan diri dalam setiap pertandingan yang diadakan dan Mr. Penang Body Contest merupakan pertandingan pertama yang disertainya.
Disebabkan di Malaysia, sukan bina badan untuk wanita tidak menonjol, Lilian akhirnya pulang semula ke Amerika Syarikat untuk menyambung latihan seterusnya menyertai setiap pertandingan yang diadakan di luar negara.
Kini setelah memenangi beberapa pingat dan gelaran, Lilian berhasrat untuk menjadi atlet bina badan yang profesional.
Berbicara mengenai penjagaan dan pemakanan, umum ketahui dalam sukan itu bentuk dan saiz badan adalah penting.
Tetapi bagi bina badan wanita, mereka perlu mengambil lebih banyak makanan berprotein jika ingin membina otot di samping mengambil keperluan asas pemakanan biasa serta kekal berat badan yang seimbang agar tidak berlakunya kesan sampingan pada masa hadapan.
Lazimnya, pengambilan makanan seorang ahli bina badan akan berubah dari semasa ke semasa. Ia berdasarkan kepada keperluan otot-otot badan sebelum dan sewaktu bertanding.
Tambah Lilian, dia juga perlu mengamalkan diet yang seimbang selama tiga bulan sebelum pertandingan bermula.
Dalam tempoh tersebut dia mengambil makanan berprotein seperti ayam, ikan, telur, daging, makanan tanpa minyak dan gula serta garam yang sedikit.
‘‘Dalam bab pemakanan ini, saya perlu mengamalkan pemakanan berdasarkan carta piramid dan tidak dibenarkan makan dengan kuantiti yang berlebihan tetapi perlu mengambil makanan yang sedikit secara kerap dari enam hingga tujuh kali sehari.
‘‘Ini termasuk makanan tambahan seperti, protein powder, L-Glutamine, Creatine, multivitamin, vitamin C dan mineral serta antioksida,’’ ujar pemegang Ijazah Kesenian ini.
Katanya lagi, bagi ahli bina badan wanita, mereka diwajibkan mengambil sejumlah 1,500 kalori setiap hari dan sebelum pertandingan, peserta dinasihati agar mengurangkan pengambilan kalori dan secara tidak langsung peratusan karbohidrat, protein dan lemak turut berubah sehingga hari pertandingan.
Mereka yang berotot juga dinasihati agar menjauhi daripada pengambilan makanan berlemak yang berlebihan agar penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung dapat dielakkan.
Selain itu menurut Lilian, kerana saiz badan yang besar, dia berdepan masalah mendapatkan baju yang sesuai untuk dirinya.
‘‘Bayangkan jika saya membeli seluar, jika muat di bahagian pinggang sudah pasti akan tersangkut di bahagian paha manakala baju juga begitu. Jika muat di bahagian badan ia belum tentu muat di bahagian tangan,’’ katanya.
Tidak kisah fizikal Lilian
DI awal perkenalan, masing-masing sudah mempunyai pasangan tetapi takdir sudah tertulis, hari ini mereka bersatu sebagai pasangan kekasih.
Bagi Lilian Tan dan Terry Gallyot, masing-masing tidak menyangka persahabatan yang pada awalnya terjalin disebabkan karier akhirnya bertukar menjadi pasangan kekasih setelah masingmasing kecundang di alam percintaan.
Mungkinkah takdir juga yang menentukan perhubungan pasangan ini hingga ke jenjang pelamin seterusnya hingga ke akhir hayat?
Persoalan tersebut susah untuk dirungkaikan tetapi waima apapun kini mereka bahagia memandangkan setiap seorang memahami kerjaya masing-masing.
Menyingkap kisah perkenalan mereka, menurut Terry yang juga merupakan bekas Mr. Asia 1999 sama sekali tidak menyangka hanya dengan satu panggilan telefon, perhubungan mereka mampu kekal sehingga hari ini.
Tetapi seperti pasangan lain, mereka turut melalui fasa perkenalan dan persahabatan sebelum 'berikrar' menjadi pasangan kekasih.
Begitupun, menurut Terry, sebelum hubungan mereka serius, dia dan Lilian pernah terputus hubungan memandangkan ketika itu masing-masing mempunyai pasangan dan setelah segala-galanya berakhir (putus) mereka dipertemukan melalui laman sosial facebook.
''Pada mulanya, Lilian menelefon Persatuan Bina Badan pada tahun 2004 dan persatuan telah memberikan nombor saya.
''Tujuan Lilian menelefon ketika itu hanyalah untuk bertanyakan mengenai penglibatan wanita di dalam sukan bina badan di Malaysia dan daripada situ juga kami terus berhubung melalui emel dan bercakap mengenai sukan bina badan sahaja.
''Dalam tempoh tertentu (tidak ingat) saya dan Lilian putus hubungan dan akhirnya pada tahun 2009 Lilian mula menghubungi saya melalui facebook dan penghujung tahun itu bermulalah perhubungan kami,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Terry, mungkin disebabkan berada dalam bidang yang sama, mereka dilihat mempunyai kesefahaman dan keserasian antara satu sama lain.
Katanya lagi, komunikasi antara mereka berdua juga senang dan setakat ini mereka tiada masalah.
Apabila ditanya adakah dia selesa berdampingan dengan wanita yang mempunyai bentuk badan yang 'berketak', sambil tersenyum Terry memberitahu tiada bezanya malah baginya itu semua tidak penting melainkan personaliti individu tersebut.
Sementara itu, Lilian ketika diminta mengulas mengenai teman lelakinya itu tidak menyangka sama sekali akan bergandingan dengan seorang yang telah mempunyai nama di dalam sukan bina badan.
Malah bagi Lilian semua sudah tertulis dan kini dia merasa amat bertuah sekurang-kurangnya Terry dapat membantunya baik dari segi latihan mahupun memberi nasihat.
''Seperti semua sedia maklum, sukan bina badan ini bukanlah satu sukan yang diminati dan disertai oleh kaum wanita.
''Oleh yang demikian, saya perlukan sokongan padu daripada orang tersayang selain keluarga dan dalam hal ini Terry memainkan peranan yang penting kerana selain menjadi jurulatih saya secara tidak rasmi, dia juga boleh menasihati saya.
''Sekurang-kurangnya ada juga orang yang berpengalaman membimbing saya untuk terus berada di dalam bidang ini,'' katanya.
Apabila diajukan soalan bilakah mereka akan mengakhiri perhubungan sebagai suami isteri, bagi Terry mereka tidak pernah membincangkan hal tersebut tetapi menyerahkan segala-galanya kepada takdir.
.
2 Penyokong CHELSEA:
lulu..kenapa nmpk wajah dia cm tua sket..sbb bina bdn gak ke..??
bayngkan.. sya dah la rendah..
bdn ketul2 hee
Post a Comment