Tuesday, April 5, 2011

Kawen? nantilah..



KEHILANGAN rakan baiknya, vokalis Spin, Achik dan bapa kepada cahaya matanya, pelakon Faizal Yusof dalam jurang tidak sampai setahun merupakan detik yang amat perit untuk ditelan oleh ibu tunggal ini.
Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari meninggal dunia dalam satu kemalangan di Kilometer 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) lebih kurang pukul 6 petang pada 18 April tahun lepas.

Faizal pula meninggal dunia kira-kira pukul 1.45 tengah hari di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 1 Januari tahun ini akibat serangan jantung.
Biarpun begitu, pemilik nama Siti Nordiana Alias atau Nana tidak pernah luntur semangat.

Sebaliknya, dia tahu hidup perlu diteruskan demi untuk membesarkan satu-satunya zuriat yang ditatang bagai minyak yang penuh, Muhammad Rayyan Nakhaie, tiga tahun.
Tempoh 12 tahun berkecimpung dalam dunia seni tidak akan disia-siakan begitu sahaja, justeru, Nana nekad untuk membuat kemunculan semula selepas sepi tanpa sebarang produk hampir dua tahun.

Dengan itu, demi memberitahu umum bahawa dia masih lagi relevan dalam bidang seni suara, Nana bakal muncul dengan sebuah album baru bertajuk Semakin Jelas yang telah berada di pasaran sejak 14 Mac lalu.
“Hampir dua tahun saya tidak mempunyai produk selepas album duet kedua saya dengan arwah Achik iaitu Benang Emas terbitan FMC Music Sdn. Bhd. pada tahun 2007.
“Kemunculan album baru saya adalah untuk memberitahu peminat tentang perkembangan suara saya selepas sekian lama tidak muncul dengan album baru,” katanya.

Hadir ditemani putera tunggalnya itu, Nana memberitahu, album solo keenamnya memuatkan lapan buah lagu termasuk dua buah lagu baru iaitu Semakin Jelas dan Tak Tahan di samping enam buah lagu yang belum pernah diperdengarkan lagi.

Album yang memakan masa hampir tiga bulan untuk disiapkan itu turut dimuatkan dengan dua buah lagu berirama pop tradisional dan sebuah lagi lagu duet bersama penyanyi irama Malaysia, Syura.

Bercerita tentang album tersebut, kata Nana ia merupakan pertaruhan terkini kariernya sebagai seorang penyanyi dan pelbagai perubahan yang telah dilakukan.
Penyanyi yang sering tampil dengan muzik bergenre balada itu turut memberikan kelainan dalam Semakin Jelas menerusi genre pop alternatif melalui lagi Tak Tahan.

Pendekatan mencuba genre yang berlainan perlu dilakukan untuk mengikut perkembangan aliran muzik semasa dan sebagai petanda bahawa Nana mampu menjadi seorang penghibur yang versatil.
“Saya berharap agar pembaharuan yang dilakukan dapat menarik minat golongan generasi baru agar dapat menerima dan membantu menyokong karier saya,” tuturnya.

Berbicara tentang kehidupan peribadi, penyanyi berusia 27 tahun itu memberitahu, sejak pemergian bekas suaminya, dia perlu terus berusaha gigih dalam kerjaya nyanyiannya agar masa depan anaknya terbela.
“Setakat ini, rezeki saya bertambah baik. Tawaran jemputan dan undangan nyanyian juga tidak menghampakan dan jadual saya juga agak padat sekarang.

“Keadaan sudah berbeza. Dulu arwah yang menanggung kos anak, tetapi kini saya yang perlu ambil alih. Saya mahu anak saya membesar dengan sempurna, cukup makan, cukup pakai dan segala-galanya,” ujar Nana yang pernah berkhidmat sebagai kaunselor pendidikan di Unity College International, Petaling Jaya.
Puas berbicara soal karier, Nana diajukan pula persoalan jika dia sudah bersedia untuk mencari pengganti yang boleh membimbing diri dan juga anaknya.

Terdiam sejenak, Nana hanya tersenyum sebelum memberi reaksi.
“Nanti dululah. Jadual saya sedang padat. Selain itu, saya perlu fokus kepada anak saya terlebih dahulu,” ujar penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu dengan ringkas.



.

3 Penyokong CHELSEA:

MizzTina on April 5, 2011 at 9:26 AM said...

dear...


http://mizztina.blogspot.com/2011/04/berjuta-jutan-lemon-terima-kasih-buat.html

Unknown on April 5, 2011 at 9:53 AM said...

ingatkan lulu yang xnak kawen tadi...hehe

Murni Delights on April 5, 2011 at 12:13 PM said...

he..he.. hai lulu salam perkenalan..
thanks ari tue..
tahniah juga kak awak..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!