Tuesday, May 24, 2011

Maut selepas cuci darah


Seorang pelajar Tahun Enam yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menjalani rawatan dialisis, maut manakala ibunya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori balak, di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, mangsa Mohd Faizol Mohd Sood, 12, dari FELDA Paching Utara, di sini yang membonceng motosikal, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata ibu mangsa, Jeshiamat Jantan, 40, yang menunggang motosikal, cedera parah dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori balak dari arah Gambang menghala ke Kuantan membuat pusingan U di lokasi terbabit.

Katanya, sebaik selesai membuat pusingan U, lori terbabit kemudian terus memasuki lorong sebelah kiri dan pada masa sama, motosikal dinaiki mangsa bersama ibunya melanggar bahagian belakang lori itu.

“Akibat rempuhan itu, pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang cedera parah sebelum dibantu orang ramai dan dikejarkan ke HTAA,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd Jasmani berkata, siasatan lanjut kes itu masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Sood Mohd Yaakob, 56, berkata beliau terkejut mendapat berita kemalangan membabitkan isteri dan anaknya yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Wira, di Jalan Sungai Lembing, dekat sini selepas dihubungi abang iparnya jam 3 petang.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah yang juga anak sulung dua beradik itu pada Sabtu lalu, sebelum meninggalkannya dan tidak pulang ke rumah kerana bekerja membawa bas ekspres,” katanya yang turut memaklumkan anaknya penyakit buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis sejak awal Januari lalu.





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!