Saturday, May 21, 2011

Memasak dari usia 10 tahun..


KEINGINAN untuk mencuba resipi-resipi baru membuatkan Syanie bertambah galak untuk memaksimumkan penggunaan ruang dapur mahligai yang dihuni bersama ibu dan seorang adiknya itu.
Mula membiasakan diri dengan alam dapur seawal usia 10 tahun, Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham kini mampu untuk menyediakan pelbagai jenis resipi termasuklah makanan barat dan cina.
"Biasalah dulu, balik dari sekolah sahaja, Syanie kena sediakan makanan untuk adik-adik maklumlah anak sulung.

"Tetapi masa itu bahan-bahan semuanya telah disediakan oleh mami, Syanie tinggal masak sahaja," akui Syanie memulakan bicara ketika ditemui di terataknya baru-baru ini.
Baginya, memasak memberikan satu kepuasan kerana selain dapat menikmati hidangan hasil air tangan sendiri, dia juga boleh mencuba pelbagai resipi baru.
"Kadang-kadang apabila berdua dengan mami pada hujung minggu, Syanie pasti tanya mami hendak makan apa?

"Mami sebut sahaja apa yang dia inginkan, terus Syanie google untuk mendapatkan resipi," akur pelakon yang memulakan kariernya dengan drama bersiri Cili Padi itu.
Biarpun mengambil resipi melalui Internet, akui Syanie, dia tidak akan mengikut 100 peratus arahan resipi berkenaan.

Tambahnya, masakan yang ingin dihasilkan itu pasti diadun mengikut selera sendiri.
"Syanie memang suka try and error, jadi kalau dapat sesuatu resipi itu pasti Syanie akan buat mengikut selera sendiri," ujar Syanie yang menyimpan impian untuk membuka sebuah restoran.
Berkongsi keistimewaan ramuan tambahan yang sering digunakan, Syanie pantas tertawa dan menjawab tiada apa yang istimewa yang di campurkan dalam masakan.
"Tiada apa pun bahan istimewa yang Syanie campurkan. Semuanya adalah bahan-bahan biasa yang diperlukan.

"Apa yang penting masak dengan penuh kasih sayang," getus Syanie berseloroh.
Bagaimana pun, akui anak kepada pemilik Nizarman (M) Sdn. Bhd, Ruhani Abdul Rahman itu, kehebatannya adalah menyediakan masakan Melayu terutamanya asam pedas, kari dan masak lemak cili padi.
Baginya, cabaran untuk menyediakan masakan melayu lebih sukar berbanding dengan masakan lain.
"Masakan kita (Melayu) lebih remeh untuk disediakan kerana banyak bahan yang perlu digunakan tetapi kalau berjaya untuk menyediakannya, gembiranya bukan kepalang.

"Jangan ingat mudah untuk masak makanan Melayu ini. Semuanya kena cukup kalau tidak rasanya kuranglah," ujar Syanie yang turut gemar mengumpul koleksi barangan Hard Rock.
Siapa sangka bermula dengan menggoreng ayam dan ikan, kini Syanie mempunyai keyakinan untuk menyediakan masakan untuk 20 hingga 30 orang.
"Andai ada kenduri di rumah, insya-Allah, setakat 30 orang makan itu, Syanie masih lagi yakin untuk memasak.

"Tetapi kenalah ada yang membantu, kalau sorang-sorang, Syanie angkat bendera putihlah jawabnya," jelas Syanie yang turut mempunyai koleksi boneka di penjuru katilnya.
Bagaimanapun, ujar Syanie lagi, biarpun minatnya untuk memasak itu tinggi, proses mengemas selepas memasak adalah yang paling malas untuk dilakukan.
"Masak itu menyeronokkan tetapi bab kemas itu kadang-kadang malas," kata Syanie sambil ketawa.
Selain itu, ruang-ruang lapangnya turut dimanfaatkan untuk berkomunikasi dengan para peminat melalui laman sosial Facebook (FB).

Baginya, itu sahajalah masa yang ada untuk membalas komen-komen peminatnya selain berinteraksi bersama teman-teman.
"Tetapi awal-awal lagi Syanie sudah beritahu kepada peminat di FB, seandainya Syanie ada masa, barulah Syanie akan membalas semua komen mereka.
"Balas tetap balas cuma cepat atau lambat sahaja," akur Syanie yang kini mempunyai 4,087 rakan di FB.



p/s - tak payah nak counting, birthday lulu 28.05.88... ngee



.

1 Penyokong CHELSEA:

Unknown on May 21, 2011 at 3:06 PM said...

syanie dah makin kurus la sekarang.. suka tengok dia.. :)

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!