Koyak karung tersagat duriMujur selasih berasing cukaPuas ku harung sepi sendiriDatang kasih mengubat luka
PUJANGGA mengatakan jangan disesal barang yang lepas kerana apa yang berlaku ada hikmahnya. Ayat itu cukup sempurna untuk menggambarkan apa yang dilalui wanita popular ini, Tengku Datin Zawyah Tengku Izham yang suatu ketika sempat menjadi perhatian umum, ekoran perceraiannya dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K.
Apatah lagi selepas berpisah, bekas suami memilih penyanyi pujaan ramai, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin sebagai pasangan hidup. Perceraian dan pernikahan Khalid mencetuskan pelbagai polemik dan cerita yang secara tidak langsung mengheret ibu kepada lima cahaya mata ini berdepan dengan situasi cukup mencengkam.
Begitupun, hari ini segalanya sudah menjadi sejarah kerana wanita tabah berasal dari Sungai Petani, Kedah ini sudah dikembalikan kebahagiaannya apabila sudah tertulis ditemukan dengan lelaki yang mahu menyayanginya sepenuh hati hingga ke akhir hayat.
Tengku Zawyah selamat diijabkabulkan dengan sang arjuna permata hati bernama Datuk Rayyan Joseph King, Khamis lalu di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Pada majlis yang diadakan serba ringkas, tetapi meriah, Rayyan turut menyerahkan mas kahwin berjumlah RM500 dan wang hantaran RM38,888.88.
Pada hari sama, turut dilangsungkan majlis persandingan yang dihadiri tetamu kehormat, keluarga, saudara-mara dan teman rapat. Sebaik mempelai bersanding di atas pelamin direka khas perancang perkahwinan popular, Pak Abu, ramai yang memuji dengan berkata, pengantin tampak manis dalam persalinan yang direka khas Calvin Thoo dan begitu serasi bagaikan pinang dibelah dua.
Tengku Zawyah akui gementar terutama pada malam majlis persandingan. Bagaimanapun, katanya, Alhamdulillah segalanya berjalan seperti dirancang.
“Kini tiada apa lagi yang perlu saya fikirkan selain mengharapkan perkahwinan kali kedua ini akan kekal sehingga ke akhir hayat. Pinta saya pada orang di luar sana, turut mendoakan perkara sama,” katanya.
Kata Tengku Zawyah, tidak dinafikan pada awalnya dia bimbang untuk melaluinya sekali lagi, apatah lagi pengalaman lalu turut membuatkan dia berasa takut.
“Bagaimanapun, saya senang dengan Rayyan kerana orangnya tenang, senang berjenaka dan mudah untuk didekati. Perasaan takut timbul kerana maklumlah ini baru bernikah dan belum lagi tinggal sebumbung.
“Untuk mengenali suami, sudah tentu mengambil masa sedikit. Apa pun, saya yakin dengan keikhlasannya untuk menjadikan saya sebagai suri hidupnya,” katanya.
Rayyan pula tidak menafikan bukan mudah untuk dirinya meyakinkan Tengku Zawyah menerimanya sebagai teman hidup, apatah lagi atas pengalaman yang sudah dilalui sebelum ini.
“Kami bermula sebagai kawan apabila diperkenalkan seorang rakan. Mungkin itu memudahkan kami untuk memahami antara satu sama lain. Apabila bertemu, kami serasi.
“Tidak dinafikan dalam proses berkawan itu adalah juga gaduh dan rajuknya, tetapi saya cuba memujuk dengan menghantar bunga. Ternyata taktik itu berjaya,” katanya yang merancang mahu membawa Tengku Zawyah berbulan madu ke Switzerland pada musim sejuk nanti.
Istimewanya, majlis persandingan di Hotel Royal Chulan dirancang 11 sahabat karibnya termasuk Penerbit Bright Network Sdn Bhd, Raja Alawiyah Raja Idris.
Katanya, sebagai sahabat sudah tentu menjadi orang paling gembira dan akan melakukan apa saja bagi melihat Tengku Zawyah menemukan semula kebahagiaan.
“Selalunya apabila tiba majlis kenduri-kendara, ibu bapa yang sibuk, tetapi berbeza dengan majlis ini apabila semua kawan-kawan yang menguruskannya,” katanya.
Kesungguhan Rayyan mengahwini Tengku Zawyah juga sangat jelas apabila mempelajari dan memeluk Islam Februari lalu dan segalanya dibantu Alawiyah.
Seorang lagi teman rapat Tengku Zawyah, Datuk Ramli MS mengatakan Rayyan bertuah memperisterikan Tengku Zawyah kerana menganggap dia wanita yang mempunyai hati yang baik, ikhlas malah tidak pernah meletakkan dirinya tinggi walaupun mempunyai kedudukan.
“Pada waktu sama saya percaya mereka akan dapat melayari kehidupan berumah tangga dengan penuh bahagia kerana sebagai kawan, sewaktu diperkenalkan saya nampak cinta antara mereka. Rayyan sendiri amat terbuka dan mudah bercampur dalam kalangan rakan Tengku Zawyah,” katanya.
Pada majlis itu, Ashraf turut mendendangkan dua lagu sementara Jamal Abdillah menghadiahkan dua lagu buat pasangan mempelai. Antara rakan artis lain turut kelihatan hadir, Datin Sofea Jane dan suami juga Zizie Ezzette serta suami.
Anak soal siasat Rayyan
APA yang mencuit hati tetamu yang hadir ialah ketika anak sulung Tengku Zaywah bersama Khalid, Muhd Anas Zawawi atau Anas tampil memberi ucapan alu-aluan dengan gurauan mewakili adik-adiknya - Muhammad Adib, Muhammad Asyraf, Muhammad Aazief dan Puteri Eiliyah Erina.
“Saya tidak pernah menyangka akan berdiri di sini untuk memberi ucapan sempena dengan majlis perkahwinan ibu. Sangka saya, ibu yang akan berdiri bagi memberi ucapan pada majlis perkahwinan saya.
“Saya mengenali bapa tiri beberapa bulan sebelum ini. Waktu itu dia sudah mula keluar bersama ibu. Saya dan adik berasakan ada sesuatu yang berlaku antara mereka. Apatah lagi dia mula rapat dengan Puteri Eiliyah. Kadangkala apabila singgah ke rumah, dia akan membelikan nasi kandar kegemaran saya.
“Dalam hati saya berkata, mengapa dia mahu buat semua ini kalau tidak cuba memenangi hati ibu dan kami. Pernah saya katakan mengenai perkara itu kepada ibu, tetapi dia cuba menafikan dengan berkata ayah tiri memang baik orangnya,” katanya.
Bagaimanapun, jelas Anas sewaktu Rayyan membawa mereka sekeluarga keluar minum kopi, mereka mengambil peluang itu untuk menyoal bapa tirinya itu mengenai hubungannya dengan ibunya hampir empat jam.
“Saya bersyukur kerana ibu bertemu dengan lelaki budiman yang mahu menyayangi dirinya. Apatah lagi ibu sendiri seorang yang penyayang, lembut dan kelakar.
“Pada waktu sama ibu sangat kuat dan sabar menghadapi segala dugaan dan cabaran hidup. Saya lega apabila ibu sendiri memberikan perhatian dan bersedia untuk mendirikan rumah tangga semula,” katanya.
Bagaimanapun, sebagai anak sudah tentu Anas dan adik-adiknya begitu mengambil berat mengenai kebajikan ibu mereka dan sentiasa perhatikan bapa tiri dan ibu mereka.
“Pernah sekali dia datang menghantar bunga. Waktu itu hubungan cinta mereka masih baru dan mereka merahsiakan daripada kami, tetapi Adib ternampak.
“Ibu berasa kekok dan begitu juga Adib. Rupanya waktu itu ibu sedang merajuk dan dia cuba memujuk. Melihatkan situasi itu, bagi kami satu petunjuk bahawa dia benar-benar sayangkan ibu,” katanya.
Jelas Anas, sebagai ibu sudah tentu Tengku Zawyah menyayangi anaknya, tetapi sebagai anak pula mereka mahu melihat ibu mereka gembira. Perkahwinan yang dibina ini diharapkan Anas bersama ahli keluarga lain akan menemukan kebahagiaan sejati buat ibunya dan menerima kehadiran Rayyan dalam keluarga mereka dengan tangan terbuka.
Counting to my birthday on 28 Mei..
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment