Seorang lelaki warga emas yang digelar Penghulu Rimba di kalangan penduduk Simpang Ampat, dekat sini, maut dalam kemalangan dan lebih menyedihkan dia dirempuh kereta dipandu sepupunya sendiri ketika mangsa mahu melintas jalan di Kampung Kemus Dalam, kira-kira jam 9 malam, kelmarin.
Kamis Kasan, 72, yang baru pulang dari pasar malam di sebuah taman berdekatan, dilanggar kereta Kancil dipandu sepupunya, Jamil Sidi, 47, yang dalam perjalanan dari Tampin ke Simpang Ampat.
Jamil tidak menyedari mangsa berada di tengah jalan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taboh Naning.
Menurut Jamil, ketika menghampiri tempat kejadian tiba-tiba sepupunya yang bertongkat dan memakai kopiah putih melintas jalan tanpa menoleh kiri dan kanan jalan.
“Dari jauh saya tak sedar arwah berdiri di tengah jalan kerana agak gelap untuk melintas jalan tambahan pula kenderaan berderet di kiri dan kanan jalan membuatkan mata saya lebih tertumpu pada cahaya kenderaan yang lalu lalang.
“Apabila kenderaan saya semakin hampir dengan arwah yang berdiri itu tiba-tiba dia melintas menyebabkan saya tidak sempat menekan brek lalu merempuhnya menyebabkan dia melambung ke atas cermin depan kereta.
“Sedih dan amat terperanjat kerana saya langgar sepupu sendiri. Saya kesal, tapi kejadian sudah berlaku,” katanya ketika ditemui.
Menurut Jamil, dia trauma mengenangkan sepupunya yang bertongkat melambung ke atas keretanya hingga cermin hadapan keretanya pecah sebelum tercampak semula ke tengah jalan raya.
“Saya tergamam sebaik kejadian berlaku dan ketika itu arwah masih bernafas sebelum meninggal tidak lama selepas itu,” katanya.
Sementara itu, adik bongsu mangsa, Che Tom Kasan, 55, berkata abangnya yang mendapat gelaran Penghulu Rimba kerana sikapnya yang gemar berjalan sambil bertongkat untuk ke mana-mana termasuk ke kampung bersebelahan datang menjenguknya kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin untuk makan tengah hari sebelum keluar jam 4.30 petang.
.
1 Penyokong CHELSEA:
al fatihah at pacik uh .
Post a Comment