Monday, June 6, 2011

Mereka sehidup semati...


Sumpah sehidup semati dua rakan baik menjadi kenyataan apabila mereka ditemui mati lemas bersama dalam sebuah lombong di Kampung Baru Balakong, di sini, kelmarin.

Difahamkan, Shahrul Azwan Mohammad Tajuddin, dan rakannya, Mohd Hafiz Norazman, kedua-duanya berusia 21 tahun, yang bersahabat sejak 14 tahun lalu pernah bersumpah untuk sehidup semati disebabkan terlalu akrab selain sentiasa meluangkan masa bersama bagaikan saudara kandung.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kedua-dua sahabat baik itu pergi ke lombong terbabit bersama seorang adik dan dua lagi rakan berusia awal 20-an untuk memancing.

Adik Shahrul Azwan, Amir Fikri, 19, berkata sebaik tiba di lombong berkenaan, mereka mula memancing.

“Bagaimanapun, seorang daripada kami iaitu Wan, 20-an mengajak kami mandi bersamanya.

“Selepas menanggalkan baju, Wan terjun ke dalam lombong berkenaan sebelum diikuti abang saya (Shahrul Azwan),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rakan, Sungai Long, di sini, semalam.

Menurut Amir Fikri, abangnya menjerit meminta pertolongan dan memberitahu dia seperti disedut ke dalam lombong itu.

“Saya lihat dia terkapai-kapai manakala Wan berenang ke tebing dan bergegas naik. Tersentak dengan kejadian itu, Mohd Hafiz terjun ke dalam lombong berkenaan untuk menyelamatkan abang.

“Bagaimanapun, usahanya sia-sia apabila dia menerima nasib sama. Ketika itu, kami cuba menyelamatkan mereka dengan menghulurkan kayu, namun belum pun sempat mencapainya, kedua-dua mereka hilang daripada pandangan,” katanya.

Sehubungan itu, Amir Fikri menghubungi polis meminta bantuan sebelum usaha mencari mereka dilakukan sepasukan anggota yang dikejarkan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kajang.

Selepas lima jam operasi mencari dan menyelamat dilakukan, Shahrul Azwan ditemui di dasar lombong berkenaan manakala Mohd Hafiz dijumpai 30 minit kemudian kira-kira lima meter dari mayat rakannya itu.

Mayat kedua-dua sahabat baik itu dibawa ke Hospital Serdang (HS) untuk bedah siasat sebelum jenazah mereka dituntut keluarga masing-masing.

Amir Fikri berkata, abangnya dan Mohd Hafiz pernah bersumpah sehidup semati dan dia tidak menyangka perkara itu menjadi kenyataan.

Ibu Shahrul Azwan, Murdianah Abdul Rahman, 44, dan ibu Mohd Hafiz, Saadiah Misbah, 40-an, mengakui kedua-dua anak mereka itu terlalu akrab.

“Kami tidak sangka yang keakraban mereka itu sehingga ke akhir hayat,” kata Murdianah.

Murdianah berkata, Shahrul Azwan ada menunjukkan tanda pelik sebelum kejadian apabila tiga hari sebelum itu anaknya itu bersungguh-sungguh untuk menunaikan solat di masjid sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian.

“Kami sekeluarga pasrah dengan ketentuan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan dan memberitahu kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.




.

3 Penyokong CHELSEA:

Hanis Azla on June 6, 2011 at 11:06 AM said...

inalillah..

BRO_MONDAY on June 6, 2011 at 11:09 AM said...

miss lulu : sedihnye...takziah kepada keluarga arwah...izin kan ai share ye...THANKS ('',)

Qalif Syuhada on June 6, 2011 at 7:35 PM said...

al fatihah buat mereka.

even arwah shahrul and hafiz ,good swimmer takdir tetap tentukan segalanya.

diberi kesempatan melihat mayat arwah.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!