Tuesday, June 7, 2011


Mohd. Adanan Mohd. Dom menyerahkan plak JWJ2 kepada Muhammad Yusuf Talib Ali sambil diperhatikan Rais Muhammad selepas mengunjungi Masjid Jamek Lil Muslimin, di Ho Chi Minh, kelmarin.

Pengembaraan Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) di Vietnam sejak Khamis lalu dianggap bertuah apabila kumpulan ekspedisi itu berjaya menemui seorang imam masjid yang masih berkhidmat walaupun telah berusia 90 tahun.

Muhammad Yusuf Talib Ali yang masih sihat merupakan Imam Besar Masjid Jamek Lil Muslimin terletak di tengah-tengah bandar ini sejak 20 tahun lalu.

Beliau ketika ditemui berkata, walaupun telah berusia, ia tidak menghalangnya untuk terus menjalankan tugas sebagai imam malah, tanggungjawabnya itu akan dipikul sehinggalah kudratnya tidak mengizinkan.

‘‘Alhamdulillah saya masih sihat untuk menjalankan tugas sebagai imam di masjid ini dan semuanya ini adalah atas kehendak Allah. Selagi masih mempunyai kudrat, selagi itu tugas ini akan saya pikul.

‘‘Saya sayangkan tugas sebagai imam dan masjid ini. Bagi saya masjid ini menjadi lambang kekuatan umat Islam di sini,” katanya dalam bahasa Melayu yang mudah difahami.

Beliau ditemui ketika anggota ekspedisi diketuai oleh Pengarah JWJ2, Zaid Muhammad Mohd. Rais mengunjungi masjid tersebut, semalam. Turut serta penyelaras ekspedisi JWJ2 di Vietnam, Mohd. Adanan Mohd. Dom.

Masjid itu berdasarkan rekod dibina sekitar 1935 dan ia pada mulanya dimiliki oleh masyarakat Islam India.

Ia merupakan masjid tertua di bandar ini. Selain masjid berkenaan terdapat lebih 10 masjid lagi di kawasan sekitar bandar.

Muhammad Yusuf berkata, selain menjadi tempat untuk solat jemaah dan Jumaat, masjid berkenaan turut menyediakan kelas-kelas agama seperti fiqh dan akidah khusus untuk penduduk Islam bandar ini.

‘‘Kewujudan masjid ini benar-benar memberi manfaat kepada umat Islam di Ho Chi Minh,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang berasal dari daerah Chou Doc berkata, orang Melayu Champa mempunyai peranan yang penting dalam mempertahankan Islam di negara ini.

‘‘Saya juga orang Melayu Champa. Semua orang Melayu Champa beragama Islam dan sedikit sahaja orang Vietnam memeluk Islam. Wujudnya Islam di Vietnam adalah disebabkan adanya orang Melayu Champa,” ujarnya.

Kumpulan ekspedisi JWJ2 dianggotai 40 peserta dan 10 pacuan empat roda akan meneruskan perjalanan ke Laos hari ini selepas berada di Vietnam selama empat hari.

JWJ2 merupakan ekspedisi menyusur sejarah budaya Melayu dan Islam merentasi tujuh buah negara membabitkan perjalanan dari Malaysia ke Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar.

Program selama 25 hari itu dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia, Majma’ Budaya dan Warisan Jawi (MBWJ) serta disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.





.

1 Penyokong CHELSEA:

msredcheesecake on June 7, 2011 at 9:46 AM said...

cik lulu,
msred yang masih muda selalu rasa malas nak gi keje...malu ngan imam ni....

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!