Pasangan suami isteri di sini merayu anak mereka, Nur Zaidatul Nadirah Zainuddin pulang ke pangkuan keluarga bagi melanjutkan pengajian ke tingkatan enam yang akan bermula tidak lama lagi.
Bapa gadis itu, Zainuddin Dollah, 45, berkata, isterinya, Zarena Ednan, 41, kini sedih dan murung kerana mengenangkan nasib anak mereka yang berusia 18 tahun itu.
Menurut beliau, Nur Zaidatul yang dipanggil 'Angah' di kalangan ahli keluarga dipercayai lari dari rumah setelah dimarahinya kerana enggan pergi bekerja di sebuah stesen minyak di bandar ini.
''Ayah berharap Angah pulang segera dan pakaian seragam serta keperluan lain untuk masuk tingkatan enam sudah disediakan," katanya.
Menurut Zainuddin, Nur Zaidatul mula bertindak keluar dari rumah pada 18 Mei lalu dan tidak pulang sehingga kini.
Beliau berkata, anak gadisnya itu berbuat demikian sewaktu ibunya pergi ke pasar untuk membeli barangan keperluan.
"Apabila ibunya pulang ke rumah, dia menyedari bahawa Angah telah lari dengan membawa beberapa helai pakaian serta barangan peribadi," katanya.
Menurutnya, dia berusaha menghubungi saudara mara di Kuala Lumpur, Melaka, Kuantan dan Temerloh bagi menjejaki Nur Zaidatul tetapi hampa.
Justeru katanya, dia melaporkan kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jerantut pada 22 Mei lalu dan sehingga hari ini masih belum mengetahui nasib anaknya itu.
Sementara itu, Zarena berkata, sejak Zaidatul meninggalkan rumah, dia hanya mampu menangis dan kesihatannya juga terjejas.
'
'Emak memaafkan Angah di atas segala perbuatan yang lalu. Pulanglah, kami berdoa dan menunggu Angah di rumah," katanya.
Orang ramai yang pernah terserempak atau mengenali Nur Zaidatul diminta menghubungi Zainuddin di talian 017-9041786 dan Zarena, 019-6069554 atau balai polis berhampiran.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment