Sekumpulan 10 pelajar dan seorang pemandu mengalami saat-saat mendebarkan apabila kenderaan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Mantin-Lenggeng, dekat sini hari ini. Kejadian berlaku pukul 2.15 petang ketika kesemua pelajar itu dalam perjalanan pulang ke sebuah sekolah menengah di Port Dickson dari Broga.
Kenderaan dinaiki mereka yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun tiba-tiba dikatakan gagal dikawal lalu terbabas ke laluan bertentangan.
Berikutan itu, van yang dinaiki pelajar perempuan berkenaan bertembung dengan sebuah lori 10 tan membawa muatan pasir dari arah bertentangan.
Jurucakap polis memberitahu, kesemua pelajar tingkatan dua hingga enam itu dikatakan menghadiri satu perkhemahan yang dianjurkan pihak sekolah sebelum terlibat dalam kemalangan ngeri itu.
"Bagaimanapun, dalam kejadian itu, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar dekat sini untuk menerima rawatan susulan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan meminta orang ramai tampil membantu polis menyiasat kes itu.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment