Seorang wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menghadiri majlis peminangan anak saudaranya terbunuh apabila van dinaiki bersama enam yang lain merempuh sebatang pokok di Jalan Lembah Bidong, di sini, semalam.
Mangsa, Reskah Baru, 55, berasal dari Kampung Pondok Lalang, Kuala Terengganu, maut selepas cedera teruk akibat hentakan kuat.
Dalam kejadian jam 5.45 pagi semalam, van Nissan Vannette dipandu Rosmawi Osman, 27, bersama enam penumpang lain terdiri daripada ibunya, Ramlah Baru, 50, serta empat adik-beradiknya dan Reskah dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu selepas menghadiri majlis peminangan pemandu berkenaan di Pokok Sena, Kedah, serta bercuti di Pulau Langkawi.
Setibanya di hadapan Sekolah Kebangsaan Lembah Bidong, van terbabit gagal dikawal lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh pokok mengakibatkan mangsa tersepit sebelum dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu kira-kira 15 minit kemudian.
Bagaimanapun, Reskah maut di tempat kejadian selepas cedera di kepala serta dalaman yang teruk.
Manakala, Rosmawi serta ibu dan empat beradiknya kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pemandu van terbabit dipercayai mengantuk mengakibatkan kenderaan dipandunya gagal dikawal.
Bagaimanapun, katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan van terbabit dibawa ke Balai Polis Setiu untuk siasatan lanjut.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan berhati-hati dan berhenti sekiranya mengantuk serta menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
.
1 Penyokong CHELSEA:
innalillah,. al fatihah
Post a Comment