Kira-kira 50 penduduk yang tinggal di 12 buah rumah di Kampung Chubadak Jaya, Sentul di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran awal pagi ini.
Kebakaran berlaku pukul 5.30 pagi semasa kebanyakan mereka sedang nyenyak tidur menyebabkan ramai yang tidak sempat menyelamatkan harta-benda.
Namun, tiada kecederaan dan kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu kerana semua penduduk sempat menyelamatkan diri.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Haikal Jimmy Ngali Abdul berkata, sebanyak sembilan jentera bersama 48 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan, Sentul, Chow Kit, Hang Tuah dan Setapak dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada pukul 5.53 pagi.
Beliau berkata, usaha memadam kebakaran menghadapi masalah kerana tiada pili bomba di tempat kejadian menyebabkan pihaknya terpaksa mengambil air dari sungai di belakang perkampungan tersebut dan pili bomba dari sebuah flat lain yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.
"Setelah bertungkus-lumus, akhirnya api dapat dikawal pada pukul 6.39 pagi dan kebakaran padam sepenuhnya pada pukul 8.15 pagi," katanya ketika ditemui di tempat kebakaran di sini hari ini.
Sementara itu, seorang mangsa, Norlia Sakrani, 27, yang ditemui di tempat kejadian hari ini berkata, dia yang sedang nyenyak tidur terjaga apabila tiba-tiba terdengar bunyi letupan.
Norlia yang bekerja di sebuah kedai fotostat di Chow Kit berkata, dia kemudian terpandang api sedang marak di sebahagian rumah mereka.
"Tanpa berlengah saya dan ahli keluarga lain segera keluar menyelamatkan diri tanpa sempat mengambil apa-apa untuk dibawa bersama," katanya.
Kebakaran kali pertama di kampung yang sudah berusia 30 tahun itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan apabila mengambil kesempatan melawat mangsa-mangsa kebakaran pada pukul 8.15 pagi ini.
Menurut Saravanan, beliau akan membantu kesemua mangsa terlibat dalam kejadian itu untuk mendapatkan penempatan baru di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu dalam tempoh 24 jam.
"Kami juga akan memberikan bantuan uniform, peralatan sekolah dan kewangan kepada anak-anak mangsa yang masih belajar," katanya sambil memberitahu buat sementara, mangsa ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana.
.
2 Penyokong CHELSEA:
kasihan..semoga mereka mendapat bantuan segera.
musibah itu adalah ujian daripada Allah... semoga ada rahmat disebalik atas apa yang berlaku.. semoga tabah dan cekal dengan meneruskan kehidupan
Post a Comment