Tuesday, July 12, 2011

Cedera Parah...


Seorang guru wanita maut, manakala empat anak perempuannya berusia 10 hingga 17 tahun cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk dua motosikal di Batu 6, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Tunjong, di sini hari ini.

Mangsa, Junaidah Mohd. Nor, 45, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera dekat sini maut akibat kecederaan parah dalam kemalangan pukul 7 pagi itu.
Anak mangsa, Nurul Julia Mohd. Nawi, 17, patah paha dan tangan, manakala tiga adiknya, Nabila Jasmin, 15, Nurjaihan Afilin, 13, serta Natasha Juliana, 10, cedera ringan dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki Proton Wira dalam perjalanan ke sekolah bagi menghantar Nurul Julia yang belajar di SMK Zainab 1 dan Natasha Juliana di Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab II.
Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, kereta mangsa berlanggar dengan sebuah van dipandu oleh seorang lelaki.

"Sebelum itu, van tersebut berlanggar dengan sebuah Perodua Kancil ketika cuba memotong kenderaan lain di hadapannya. Van terbabit kemudian masuk ke laluannya semula dan melanggar sebuah motosikal.
"Van itu yang terus hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh kereta dinaiki mangsa dan anak-anaknya.

"Sebuah motosikal lain yang berada di belakang kereta mangsa turut terbabas. Mangsa cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Azham berkata, mayat mangsa dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

Beliau memberitahu, pemandu Perodua Kancil dan penunggang motosikal Yamaha Legenda hanya cedera ringan. Turut cedera, seorang murid sekolah yang juga pembonceng motosikal jenis Demak dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha sedang dibuat bagi mengesan pemandu van terbabit.

Sementara itu, suami mangsa, Mohd. Nawi Deraman, 45, yang juga seorang guru memberitahu, isteri bersama empat anaknya itu keluar dari rumah mereka di Kampung Tukol, Peringat, dekat sini pukul 6.40 pagi untuk ke sekolah.

Menurutnya, rutin harian isterinya adalah menghantar Nurul Julia dan Natasha Juliana sebelum ke SMK Putera bersama-sama dua lagi anak mereka, Nurjaihan Afilin dan dan Nabila Jasmin.
"Saya keluar dari rumah kira-kira pukul 7 pagi. Selepas memasuki Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, saya tengok jalan raya mengalami kesesakan teruk dan menjangkakan ada berlaku kemalangan.

"Beberapa minit kemudian saya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memberitahu isteri dan anak saya terlibat dalam kemalangan tetapi, ketika itu saya hanya menjangkakan ia kemalangan kecil sahaja," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II di sini.
Tambahnya, beliau yang bergegas ke tempat kejadian mendapati isterinya meninggal dunia di tempat kejadian, sementara anak-anaknya dikejarkan ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan.




P/S - Pemandu van tu lari, kan?



.

8 Penyokong CHELSEA:

Hudalatip on July 12, 2011 at 7:27 AM said...

alfatihah..sedihnya..

Ce'gu JAERA on July 12, 2011 at 7:36 AM said...

ayoh sama-sama kita mengambil ikhtibar dari insiden ini.. marilah tunaikan tanggungjawab kita untuk sentiasa berhemah di jalan raya..

Unknown on July 12, 2011 at 8:05 AM said...

al-Fatihah...ya Allah memang sedih berita ini...

risa on July 12, 2011 at 8:11 AM said...

alfatihah...yaallah kesiannya anak2 dia dan suami:(
semoga keluarga mangsa tabahlah..pemandu van tu mabuk ke sampai semua org dia langgar?

Tepoh Dock on July 12, 2011 at 8:34 AM said...

ganas kemalangan...ciannya...tp besar pahala, mati dalam jihad menuntut ilmu...pemandu van tu kejam...sbb die org lain mati....huhu...alfatihah.

Kancil 8349 on July 12, 2011 at 9:10 AM said...

orang lain yang buat hal...orang lain yang jadi mangsa...teruk...

Rozita Ceritaita on July 12, 2011 at 9:14 AM said...

ye la... pemandu van tu hidup dan lari... bahaya betul ada org mcm ni.. bagus x yah hidup pun lagi.. menyusahkan org lain pulak esok2..
al fatihah buat mangsa...

Cik Purple on July 12, 2011 at 1:59 PM said...

astagfirullah..kesiannya.. semoga keluarga beliau tabah hadapi dugaa nih..
*p/s: t'ngat lak kes cp semalam... tgh cp dok best2 motong keta tuh, boleh2 dier signal nak ke kanan... nak menangis gua!!! dah la gua bawak cousin yg tgh sarat mgandung.. Alhamdulillah sempat memintas..!*

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!