HARI-hari yang mereka lalui cukup indah. Tidak pernah terbayangkan apa yang dirancang selama ini cukup sempurna berjalan kedua-dua pasangan ini begitu teruja menantikan hari-hari mendatang.
Berakhirnya majlis ijab dan kabul pada 1 Julai yang lalu menandakan secara rasminya Noh dan Mizz Nina sebagai pasangan suami isteri yang sah. Begitu juga dengan pasangan Tomok dan Ayu yang cukup indah melayari fasa baru dalam kehidupan masing-masing.
Sudah pasti tanggungjawab mereka juga bertambah. Kalau dulu hanya diri sendiri menjadi keutamaan selain keluarga, kali ini sudah ada insan di sisi yang akan menemani seumur usia.
Kedua-duanya memilih tarikh yang sama untuk bernikah. Malah majlis resepsi yang berlangsung pada malam Rabu yang lalu pun dilakukan serentak dia dua lokasi yang berbeza.
Bagi Noh perjalanan sebagai sang suami cukup indah buatnya. Biarpun selama ini ramai yang ragu-ragu dengan dirinya, dia tahu dia merupakan lelaki yang cukup bertuah dapat merebut hati Nina.
Selesai sahaja upacara akad nikah, jelas Noh dia cukup terharu. Dia sedar ini merupakan fasa baru dalam hidupnya. Apa yang diimpikan menjadi nyata biarpun ada yang meraguinya tentang hubungan mereka selama ini.
“Perkara pertama yang saya buat selepas perkahwinan adalah mengejutkan Noh dari tidur,” kata Nina tertawa saat ditanya apakah yang perkara pertama selepas bergelar isteri kepada vokalis kumpulan Hujan itu.
Bukan mahu mengorek apa yang telah berlaku cuma kami mahu bawakan kelainan kali ini. Bermacam- macam perkara yang diceritakan oleh Noh mahupun Nina mengenai fasa baru kehidupannya itu.
“Memang tak ada apa-apa yang kami sempat lakukan lagi. Kalau nak kata dah buat itu dah buat ini selepas bernikah, semuanya masih belum berlaku memandangkan kesibukan kami.
“Nak uruskan keluarga yang datang dari Kuching, nak uruskan hotel mereka, nak bersedia untuk majlis resepsi yang lain semuanya berlaku dalam minggu yang sama.
“Jadi memang tak ada masa lagi nak duduk rumah sambil masak atau apa sahaja. Biar semuanya selesai termasuklah majlis resepsi yang akan berlangsung di Sarawak pada minggu hadapan.
“Memang penat sebenarnya. Bila lihat tetamu yang hadir cukup seronok semua lelah hilang terus. Mungkin ini orang cakap hikmah berkahwin,” jelas Noh satu persatu.
Pasangan ini dinikahkan pada 1 Julai yang lalu di rumah Nina. Pada 3 Julai yang lalu, satu majlis resepsi telah diadakan di Hotel Shangri-La bagi tetamu VIP. Manakala pada 6 Julai pula, sekali lagi majlis resepsi diadakan di Hotel Double Tree by Hilton bagi meraikan rakan-rakan media.
Tatkala impian sudah menjadi nyata, Noh menegaskan dia masih tidak pernah meminta Nina mesti membuat itu dan ini untuk menjadi suri di hati memandangkan apa yang ada pada Nina sudah cukup melengkapkan dirinya.
“Saya tak pernah letak syarat Nina kena belajar bahasa Sarawak, Nina kena pandai masak makanan Sarawak dan apa sahaja. Bagi saya bila dia ada di sisi dan sudi hidup dengan saya sudah cukup bertuah,” tambahnya lagi.
Menjadi anak orang terkemuka di Malaysia sebenarnya tidak membuatkan Nina cerewet. Jelas Nina atau nama sebenarnya Sharina, selama ini dia tidak pernah memandang harta mahupun duit sebagai kayu ukur untuk sesiapa menakluk hatinya.
“Macam apa yang berlaku pada saya dan Noh, dia merupakan lelaki yang cukup baik hati dan mesra. Saya boleh berkongsi apa sahaja dengan dia sebelum ini lagi. Masih banyak lagi perkara baru yang saya kena belajar untuk jadi isteri.
“Banyak perkara yang kami boleh kongsi. Kalau bukan dalam kehidupan sebagai suami isteri pun, Noh dan saya dalam satu cabang yang sama. Jadi saya senang kalau kami boleh bekerjasama dalam kerjaya,” kata Nina yang menggunakan khidmat Khir Khalid sebagai jurusolek.
Memilih destinasi Rom dan United Kingdom sebagai destinasi bulan madu, pasangan ini bakal terbang pada 17 hingga 30 Julai ini bagi menghabiskan masa bersama.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment