MELIHAT anak comel yang bertubuh montel ini, pasti sesiapa jua akan bertanya berapa usianya. Raut wajahnya menggambarkan dia masih terlalu kecil, namun fizikalnya berbeza daripada kanak-kanak seusia.
“Saya rasa Eiffa sendiri ada perasaan rendah diri untuk bergaul dengan kawan-kawan sebaya. Bukan saya mahu menyekat pergaulannya ketika kecil. Apa kan daya, masalah kesihatan yang dialami menyebabkan perkembangannya tidak sama seperti kanak-kanak lain,” kata ibunya, Sharifah Aminah Syed Abd. Hamid.
Pada usia 29 tahun, ibu muda kepada tiga cahaya mata itu sudah meredah onak dan duri yang bukan calang. Bayangkan dua daripada anaknya termasuk Eiffa mengalami masalah jantung berlubang. Namun dia tidak pernah berputus harap. Apa yang diingininya agar anak-anaknya itu kembali sihat dan menjalani hidup normal seperti kanak-kanak seusia mereka. Mujur sokongan yang tak pernah putus daripada suami, ayah dan ibu membuatkan Sharifah Aminah terus bertahan.
Bercerita mengenai keadaan permata hati sulungnya itu, dia berkata Eiffa atau nama penuhnya Nur Eiffa Hazeeqa dikesan menghidap penyakit jantung berlubang ketika berusia sebulan. Kesukaran bernafas menyebabkan doktor menyarankan dia mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital pakar bagi mengesan masalah sebenar yang dihadapi anaknya.
Hanya Allah yang tahu perasaannya apabila doktor mengesahkan bayi kecil itu mempunyai dua lubang di bahagian jantung yang mana satu daripadanya melibatkan masalah major.
Ketika berusia empat bulan, Eiffa mengalami komplikasi jantung yang teruk sehingga dimasukkan ke wad kecemasan selama 16 hari. Wajahnya biru dan dia terpaksa bernafas menggunakan alat sokongan. Mujur tiada perkara yang lebih buruk berlaku dan sejak dari itu, Sharifah Aminah sentiasa memantau keadaan anaknya. Dia terpaksa memberi perhatian lebih teliti kerana tidak mahu memburukkan lagi keadaan.
“Kalau kanak-kanak lain aktif dan bebas bermain, Eiffa pula terpaksa berulang-alik ke hospital setiap bulan. Doktor juga menyatakan sebarang tekanan pada Eiffa boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Menurutnya lagi, masalah jantung yang dialami oleh Eiffa melibatkan beberapa komplikasi lain yang saling berkait. Antaranya dia juga mengalami masalah pada bahagian paru-paru menyebabkan dia pernah dijangkiti bronkitis yang seterusnya mengundang masalah asma pula. Disebabkan keadaan itu, anak kecil itu turut mengalami masalah gangguan tidur seperti kencing ketika tidur dan berdengkur yang kuat. Pengambilan steroid juga menyebabkan badan Eiffa meningkat mendadak walaupun mereka sentiasa memantau pemakanannya.
“Eiffa sudah menjalani pembedahan memperbaiki jantung ketika berusia sembilan bulan. Doktor yang merawat kata, disebabkan keadaan yang saling berkait, maka prosesnya agak lambat dan rumit. Keadaan ini juga menyebabkan dia mungkin akan mengalami masalah pembelajaran dan lain-lain lagi,” katanya.
Sharifah Aminah sedih memikirkan bagaimana masa depan Eiffa nanti terutama dari segi pembelajaran dan lain-lain. Dia tidak meletakkan harapan yang tinggi, cukup sekadar anak itu mampu berdikari sudah cukup membahagiakan dirinya. Namun katanya, Eiffa anak yang baik dan mendengar kata. Sifatnya sebagai anak sulung terserlah terhadap dua adiknya. Malah, dia sering yang menamakan adik bongsu yang baru lahir, Nur Hana Hazeeqa. Sesekali dia juga meminta untuk memangku si kecil itu.
Bukan setakat Eiffa sahaja yang mempunyai masalah jantung berlubang, anak kedua Sharifah Aminah, Muhammad Eirfan Hazeeq turut mengalami masalah yang sama. Namun ia tidak terlalu serius dan tidak menjejaskan tumbesarannya. Eirfan aktif seperti kanak-kanak lain seusia dengannya dan doktor berkata dia tidak memerlukan pembedahan seperti kakaknya. Berita menggembirakan buat Sharifah Aminah apabila anak bongsu yang baru berusia 30 hari disahkan sihat sepenuhnya.
“Saya yakin ada hikmah tersendiri atas apa yang saya lalui semua ini. Bila saya bersedih, saya lihat ada orang lain yang lebih susah lagi, itu membuatkan saya kembali muhasabah diri,” katanya.
Bangkit
Serba-salah untuk memilih antara anak dan kerjaya, akhirnya Sharifah Aminah tekadnya meninggalkan karier kerana perlu memberi perhatian kepada anak-anaknya. Walaupun memikirkan sekurang-kurangnya dengan berkerja, segala kos perubatan anak ditanggung majikan, namun dia merasakan itu tidak adil kerana sering terpaksa bercuti.
“Akhirnya saya ambil keputusan berhenti. Anak-anak lebih perlukan perhatian saya. Dengan bantuan abang yang memberi modal, saya menjalankan perniagaan About Umi & Baby,” katanya.
Menurut Sharifah Aminah, butiknya itu menyediakan sokongan keibubapaan dan penyusuan susu ibu di samping jualan barang-barang yang berkaitan dengannya. Alhamdulillah, walaupun secara kecil-kecilan kerana terpaksa memberi lebih tumpuan kepada anak-anak, ia menampakkan perkembangan memberangsangkan.
Ketika ini, walaupun masih dalam tempoh berpantang, dia sudah kembali menguruskan perniagaan dibantu ayah dan ibu demi untuk menanggung kos rawatan Eiffa.
Bagi Sharifah Aminah, dia ingin membuang jauh-jauh kesemua kesedihan yang dialaminya. Air matanya sudah kering untuk dititiskan lagi. Apa yang penting semoga Eiffa kembali sihat dan sekurang-kurangnya mampu berdikari bila dewasa nanti. Dia juga berharap, pembedahan kedua anaknya sekitar bulan September ini mampu memberi sinar harapan kepada anak kecil yang masih belum mengerti kehidupan yang sebenar itu.
.
2 Penyokong CHELSEA:
kesian.. :(
dear, template baru la.. cantek!!!
@mizzkechique ngee TQ dear ;)
Post a Comment