Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Itu peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan kesedihan seorang ibu, Hamimah Zakaria, 33, yang hanya mampu melihat penderitaan anaknya, Muhammad Muharriz Halil yang bukan sahaja buta dan bisu, malah tidak boleh berjalan.
Biarpun sudah berusia tujuh tahun, Muhammad Muharriz tidak seperti kanak-kanak lain. Dia tidak dapat keluar bermain dan juga tidak bersekolah kerana tiada tempat mahu menerimanya yang berkeadaan begitu.
Setiap hari, anak kedua daripada tiga beradik yang masih memakai lampin pakai buang itu hanya duduk sambil menggelengkan kepala. Dia hanya boleh mengesot atau merangkak apabila mahu bergerak dan menangis apabila lapar.
Ketika pihak media berkunjung ke rumahnya di Taman Desa Rakyat Perdana, Pasir Gudang di sini hari ini, kanak-kanak itu sedang berbaring menghadap ke luar di pintu rumah, seolah-olah sedang merenung masa depannya.
"Itulah yang dilakukannya setiap hari. Apabila lapar atau mahu meminta lampin pakai buang ditukar, dia akan menangis. Makanan hariannya selain susu hanya nasi berlaukkan kuah sebab itu dia kurus kerana kurang zat.
"Hati ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya seperti ini sedangkan rakan-rakan sebaya sedang menikmati zaman kanak-kanak mereka dan pergi ke sekolah, saya tidak tahu macam mana dengan masa depannya," ujar Hamimah bernada sebak.
Hamimah yang berkata, merupakan seorang suri rumah, sejak dilahirkan, Muhammad Muharriz memang tidak boleh melihat sebelum tidak mampu bercakap dan mula tidak boleh berjalan sejak berumur 6 tahun.
Tambahnya, pelbagai ikhtiar sudah dilakukan oleh dia dan suami, Halil Yusof, 39, termasuk pergi ke beberapa hospital bagi mengenal pasti penyakit anaknya itu namun, sehingga ke hari ini, masih tidak memperoleh jawapan.
Dalam pada itu, dia turut merayu terutama kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pihak berkaitan untuk menghulurkan bantuan kerana pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu lori sebanyak RM1,300 sebulan, tidak cukup bagi menampung keperluan anaknya itu.
"Saya pernah memohon dengan JKM dua tahun lalu tetapi sehingga ke hari ini, tidak terima maklum balas. Buat masa ini, ada juga yang memberi sumbangan seperti beras daripada UMNO dan kerusi roda daripada Hospital Sultan Ismail," katanya.
Bagi sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan kepada keluarga ini, boleh menghubungi Hamimah menerusi 019-7951972.
.
1 Penyokong CHELSEA:
sayunya hati melihat penderitaan anak ini
Post a Comment