Tuesday, December 21, 2010

LENGKAP : Kemalangan ngeri bas persiaran di Jln Simpang Pulai-Cameron Highlands

Nahas terburuk

27 termasuk 25 pelancong Thailand balik dari Cameron Highlands terbunuh


SIMPANG PULAI: Dahsyat dan mengerikan. Itulah gambaran keadaan nahas jalan raya terburuk dalam sejarah negara membabitkan sebuah bas persiaran dua tingkat yang mengorbankan 27 orang - 25 pelancong Thailand dan dua rakyat tempatan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai berhampiran Kampung Juang di sini, semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 11.40 pagi, bas yang membawa 37 penumpang dari Cameron Highlands itu dikatakan terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika menuruni bukit serta melalui selekoh tajam sebelum terbalik dan terhumban ke dalam longkang sedalam dua meter di laluan bertentangan.

Nahas itu menyebabkan kedua-dua tayar depan bas terbabit tercabut dan tercampak ke longkang di laluan bertentangan, manakala bumbungnya ranap sama sekali dengan lebih 10 mayat bergelimpangan di jalan raya dan longkang manakala selebihnya termasuk yang cedera tersepit dalam kenderaan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata 22 penumpang mati di tempat kejadian, lima lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala 10 cedera termasuk dua kritikal.


Dua rakyat tempatan yang terkorban ialah pemandu bas berkenaan yang bekerja sebagai pemandu bas syarikat SK Murni Travel & Tours, Omar Shahidan, 48, dari Kangar, Perlis, serta pemandu pelancong, Soontorn a/l Kian, 38. Pelancong Thailand yang maut pula membabitkan lapan lelaki dan 17 wanita.

Zakaria berkata, semua pelancong terbabit dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mengambil penerbangan pulang ke Bangkok.
Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika bas yang dipandu laju itu menuruni bukit di satu selekoh tajam sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

"Pemandu bas dipercayai hilang kawalan menyebabkan bas itu terbalik dan terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira dua meter. Ada di antara penumpang tercampak dan tersepit di bahagian tempat duduk menyebabkan kebanyakan mereka meninggal dunia di tempat kejadian.


"Pasukan penyelamat terdiri daripada 100 anggota dan pegawai polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah hari dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian," katanya.

Tinjauan Berita Harian di tempat kejadian mendapati dua tayar serta lampu isyarat kanan bas itu tercampak di laluan bertentangan dipercayai tertanggal ketika melanggar pembahagi jalan.

Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lebih lima jam apabila polis terpaksa menutup kedua-dua laluan bagi menyekat aliran trafik untuk melancarkan operasi menyelamat serta mengeluarkan mangsa.

KRONOLOGI

11 pagi – Bas dipercayai bergerak dari Cameron Highlands ke Simpang Pulai

11.40 pagi – Bas terbabit kemalangan

11.59 pagi – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai menerima panggilan kecemasan

12.05 tengah hari – Laluan kedua-dua arah dari Simpang Pulai–Cameron Highlands ditutup

12.10 tengah hari – Bantuan dari BBP Gopeng dan Ipoh tiba dan kerja mengeluarkan mangsa dilakukan

12.13 tengah hari – Mangsa pertama dikeluarkan

2.37 petang – Kren untuk mengangkat bas tiba

2.55 petang – Mangsa terakhir dikeluarkan

3.08 petang – Bas dialih untuk kerja mencari mangsa dilakukan

4.00 petang – Kedua-dua laluan dibuka semula

5.00 petang – Bas ditarik ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di Simpang Pulai


INFO
Senarai mangsa yang terbunuh dalam nahas bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai




  • Rakyat Malaysia

    1. Omar Shahidan, 48 (tahun) (pemandu bas)
    2. Soontorn a/l Kian, 38 (pemandu pelancong)

    Rakyat Thailand (lelaki)

    3. Poonporn Poolsaeng, 41
    4. Charcart Knagsuwan, 48
    5. Sumruay Swatphet, 48
    6. Pongthanest Akkrarachewwanont, 45
    7. Thitisak Pongtanarat, 51
    8. Ekachai Na Banexane, 64
    9. Phayone Krujinli, 49
    10. Weera Chungtanagon

    Rakyat Thailand (wanita)

    11. Natkritta Poolsaeng, 6
    12. Thanyarat Poolseng, 36
    13. Achara Wiwati, 36
    14. Nutthiya Inyim, 50
    15. Puthnaree Akkrarachewwanont, 42
    16. Sunchanchira Chaigueai, 40
    17. Sriwai Swatphet, 42
    18. Priya Prassakul Chai, 38
    19. Chutima Throukooi, 25
    20. Junpen Pongtanarat, 50
    21. Mantana Phromduang, 51
    22. Maliwan Mekmahaprom, 53
    23. Ampaiwan Thianhtham, 50
    24. Isariya Thiangtham, 25
    25. Darunee Songsern
    26. Rung Da
    27. Areena Songserm






  • Pemandu baru 3 bulan kendali bas


    Pemandu bas, Omar Shahidan yang terbunuh bersama sebahagian besar pelancong Thailand, di Kilometer 15 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai semalam baru tiga bulan memandu bas dua tingkat yang baru dibeli pemiliknya.

    Sepupunya, Julie Mahmud, 33, berkata beliau difahamkan Omar yang pernah menjadi pemandu lori pernah membawa keluarganya menaiki bas itu bersiar-siar di sekitar Perlis.

    Seorang rakan Omar yang bertugas di syarikat pengangkutan sama berkata, pula berkata, beliau tidak pasti sama ada Omar atau pembantu pemandu yang baru bertugas memandu bas ketika kejadian.

    “Omar adalah pemandu berpengalaman dan kerap diarah memandu bas membawa pelancong, terutama dari Thailand ke Malaysia. Bagaimanapun, saya mengesyaki bas itu dipandu pembantu pemandu ketika menuruni laluan berbukit di Cameron Highlands,” katanya.

    Julie juga berkata, sepupunya itu sempat membawa isteri dan tiga anaknya melancong di Hatyai, Selatan Thailand, pada Jumaat lalu dan sejurus pulang, dia diarahkan pemilik syarikat, memandu bas dari Thailand ke Cameron Highlands pada Sabtu lalu.

    Beliau dimaklumkan isterinya, Puspalela Ramli, 45, yang arwah akan pulang ke rumah esok dan bercadang melancong lagi ke Thailand sejurus selesai kerjanya.

    “Saya tidak menyangka lawatan ke Hatyai bersama isteri dan tiga anak adalah yang terakhir bagi arwah,” katanya yang menetap berhampiran rumah Omar ketika ditemui di Behor Empiang, dekat sini petang semalam.
    Beliau berkata, semua keluarga Omar, termasuk di sebelah mentuanya bergegas ke Hospital Ipoh sejurus dimaklumkan kemalangan pada jam 4.30 petang semalam.

    “Mereka hanya mendapatkan pengesahan berhubung kematian Omar daripada pemilik syarikat bas berkenaan kira-kira jam 3.30 petang.

    “Sebelum itu, keluarga di sini, masih samar-samar berhubung kemalangan selepas melihat berita terkini di televisyen kira-kira jam 1 tengahari,” katanya.

    Tinjauan Berita Harian mendapati keluarga terdekat Omar sedang membuat persiapan menerima jenazahnya yang dijangka tiba awal pagi ini.

    Turut maut dalam nahas berkenaan, pemandu pelancong, Soontorn a/l Kian, 38 tahun.

    Julie berkata, sebelum itu, anak sulung Omar, Siti Nazirah, 20, yang sedang berkerja di sebuah pasar raya di sini, menghubungi Puspalela untuk mengetahui mengenai kemalangan yang menimpa ayahnya.

    “Nazirah sudah dihubungi rakannya iaitu anak kepada rakan ayahnya yang bertugas sebagai pemandu yang memaklumkan kemalangan terbabit. Saya dan Pusparela dua kali menghubungi arwah menerusi dua telefon bimbit tetapi tidak dijawab walaupun ada nada dering selepas dimaklumkan kejadian itu. Dari situ, kami sudah mengesyaki sesuatu buruk berlaku," katanya.


    Tercampak sebelum diseret badan bas

    “Kejadian berlaku begitu pantas dan saya melihat beberapa penumpang tercampak keluar selain ada antara mereka diseret badan bas yang menggelongsor lebih 50 meter,” kata Monat Rahen, 19, antara saksi terawal kemalangan terburuk dalam sejarah negara yang mengorbankan 27 nyawa, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, 24 pelancong Thailand dan tiga rakyat tempatan terbunuh manakala 10 lagi parah apabila bas persiaran dua tingkat dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, berhampiran Kampung Juang, di sini.

    Monat berkata, sebelum kejadian dia yang memandu Proton Satria bersama seorang di sebelahnya, melihat bas terbabit yang datang dari arah bertentangan meluru laju ketika muncul dari selekoh tajam di depannya.

    Melihat keadaan itu, dia memperlahankan kenderaan kerana tidak sedap hati melihatkan keadaan badan bas dua tingkat itu yang tidak stabil dan senget seperti mahu terbalik.

    “Firasat saya benar-benar berlaku apabila bas itu merempuh konkrit pembahagi jalan menyebabkan ia terbalik ke laluan bertentangan dan menggelongsor sebelum terhumban ke dalam longkang satu meter,” katanya.

    Menurutnya, jarak kereta dipandunya dengan tempat bas itu terhumban ke dalam longkang kira-kira 50 meter.

    “Tindakan saya memperlahankan kelajuan menyelamatkan nyawa saya dan rakan kerana jika tidak pasti kereta kami dihimpit bas itu kerana kenderaan kami berada di depan sekali ketika kejadian,” katanya.

    Monat berkata, selepas memberhentikan kenderaannya, dia bersama rakan segera ke tempat kejadian dan hatinya sayu apabila melihat ramai penumpang bergelimpangan atas jalan.

    “Sebahagian besar mereka parah dan sudah tidak bergerak, dipercayai sudah meninggal dunia. Saya mengangkat beberapa mangsa yang parah ke tepi jalan,” katanya.


    Seorang lagi saksi yang menaiki bas henti-henti yang ketika itu berada tidak jauh di belakang kereta dinaiki Monat, Muhammad Shafwan Mohd Nan, 17, berkata dia tidak berani membantu mangsa kerana begitu ngeri melihat keadaan beberapa penumpang terutama yang tercampak atas jalan dan diseret bas.

    Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Damai, di sini, berkata dia menaiki bas itu bersama tiga rakannya untuk bercuti ke Cameron Highlands.

    “Bas kami berhenti mengejut sebelum pemandu memberitahu berlaku kemalangan. Saya bersama rakan turun untuk menghulurkan bantuan selepas melihat dari jauh terdapat ramai orang bergelimpangan atas jalan.

    “Bagaimanapun, saya membatalkan hasrat itu kerana terlalu takut melihat keadaan mangsa yang bergelimpangan dan tersepit dalam bas dalam keadaan mengerikan.

    “Saya percaya kebanyakan mangsa sudah meninggal dunia selain kaki dan tangan mereka patah, malah kepala beberapa mangsa juga pecah dengan otak bertaburan atas jalan. Keadaan ketika itu begitu menyayat hati dan menakutkan,” katanya.


    Ngeri lihat anggota badan putus


    Mendengar jeritan dan melihat anggota badan pelancong yang terputus merupakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh seorang saksi kejadian yang berada di lokasi kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam.
    Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Damai, Ipoh, Mohd. Shafwan Mohd. Nan, 17, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke pusat peranginan itu dengan menaiki sebuah bas henti-henti Ipoh-Cameron Highlands.
    Katanya, ketika di atas bas, dia terkejut apabila melihat ada beberapa mangsa termasuk seorang kanak-kanak terpelanting di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah dan ada yang telah mati.
    “Walaupun cemas dan takut dengan keadaan itu, saya memberanikan diri untuk turun. Bas dua tingkat tersebut remuk dan apa yang memilukan, saya terdengar mangsa-mangsa yang terselamat menjerit dan merintih kesakitan minta diselamatkan.
    “Beberapa minit kemudian, pasukan penyelamat tiba untuk mengeluarkan mayat yang tersepit dan ketika itulah saya ternampak ada anggota badan mayat yang terputus,” ceritanya lagi ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.


    Kenderaan kemalangan ada tiga saman

    Bas persiaran milik SK Murni Tours &. Travel Sdn Bhd dengan nombor pendaftaran AFX2266 dikesan mempunyai tiga saman sejak Ogos tahun lalu bernilai RM500 dengan dua daripada kesalahan dilakukan di Perak dan satu di Melaka.

    Sumber Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, saman pertama direkodkan pada 10 Ogos tahun lalu, di Teluk Intan, Perak membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju, manakala kesalahan kedua pada 18 Februari di Melaka Tengah kerana tidak mematuhi lampu isyarat lalu lintas.

    “Kesalahan terbaru direkodkan pada 20 Jun lalu di Kampar, Perak membabitkan kesalahan memotong di kawasan yang tidak dibenarkan berbuat demikian," katanya ketika dihubungi semalam.

    Sementara itu, BERNAMA melaporkan pengarah urusan syarikat itu, Sor Eng Hock yang kini berada di Bangkok kerana urusan perniagaan, ketika dihubungi berkata sebelum ini tidak pernah berlaku kemalangan membabitkan bas syarikat itu.

    "Tak sangka jadi macam ini. Saya tak tahu punca... saya kena balik dan bincang," katanya.

    Ditanya mengenai bantuan kepada mangsa, Sor berkata: Syarikat akan merancang sesuatu. saya memang terkejut. Saya tak tahu nak fikir atau buat apa-apa. Tapi kita akan rancang sesuatu untuk mangsa."


    Ratusan gagak petanda ajal menjemput pelancong


    Ketika semua pihak masih tertanya-tanya mengenai punca kemalangan dan mengapa 25 daripada 35 pelancong dari Hatyai, Thailand itu menjadi korban, kakitangan di sebuah hotel yang didaftar masuk oleh kesemua mangsa sudah mempunyai jawapan tersendiri.

    Menurut kakitangan yang enggan dikenali itu, pada hari pelancong tersebut mendaftar masuk pada pagi Ahad lalu, dia melihat ratusan burung gagak tiba-tiba bertenggek di atas bumbung hotel sambil membuat bising.

    Apa yang menghairankan katanya, sebelum ini, senario seperti itu tidak pernah berlaku walaupun spesies burung berkenaan dikatakan banyak terdapat di kawasan tersebut. Ia seakan-akan memberi petanda awal mengenai tragedi itu.

    “Tambah misteri lagi apabila burung-burung tersebut tetap bertenggek di situ dengan membuat bising sepanjang malam tadi (kelmarin). Ketika itu, entah kenapa kami tidak pula cuba menghalau burung tersebut.
    “Senario tersebut mengundang keanehan kepada pekerja hotel dan pengunjung lain kerana ia seolah-olah salah satu babak di dalam filem yang selalunya dikaitkan dengan kematian seseorang,” ceritanya




    .

    0 Penyokong CHELSEA:

     

    Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!