Sunday, July 3, 2011

Kerana emas..


Keghairahan sekumpulan lelaki menceroboh kawasan larangan semata-mata untuk mencari emas berakhir tragedi apabila seorang maut dihempap batu seberat 400 kilogram manakala seorang lagi parah dalam kejadian di sebuah terowong di kaki Gunung Tabai, Jalan Taiton, malam kelmarin.

Ini kejadian kedua dalam tempoh empat bulan ketika mangsa, Phil Gojiak, 19, bersama empat lagi rakan ke lokasi itu untuk melombong emas sebelum seketul batu tiba-tiba menggelongsor lalu menghempap mangsa, jam 11.30 malam.

Rakannya, Tomothu Dalia Goded, 37, parah dan terpaksa menanggung kesakitan enam jam sebelum dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat Bau, jam 5.30 pagi.

Difahamkan, kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Pisa, Kronkong, di sini, dikatakan melombong pada kedalaman enam meter dan ketika kejadian, tiga rakannya cuba mengeluarkan batu itu namun gagal.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama beberapa rakan lain baru memasuki terowong sebelum seketul batu besar menghempapnya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, rakan mangsa cuba membantu namun gagal berikutan batu terlalu berat sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

“Kita mendapati lubang terlalu sempit dan hanya boleh dimasuki seorang. Sebab itu mangsa tidak dapat mengelak ketika batu menghempapnya.

“Terowong ini pernah ditutup sebuah syarikat geologi dari Australia yang menjalankan kajian di kawasan terbabit selepas mendapati berlaku pencerobohan individu tertentu untuk melombong emas secara haram.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan Phil dari terowong selepas memulakan operasi jam 11.40 malam,” katanya.

Beliau berkata, usaha membawa keluar mayat mangsa mengambil masa lama memandangkan terowong itu berada enam meter di bawah tanah selain ruang sempit.

Menurutnya, mangsa meninggal di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan lain.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bau untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.” katanya.

Mohd Sabri berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak memburu kekayaan semata-mata tanpa memikirkan keselamatan.

“Jangan sampai nyawa tergadai kerana terlalu ghairah memburu sumber lebih bernilai. Lokasi kejadian berbahaya. Kami bercadang meningkatkan pengawalan, termasuk meminta pihak berkuasa tempatan menyediakan pagar yang lebih berkesan,” katanya.




.

3 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on July 3, 2011 at 10:48 AM said...

kesian.. nak kaya cara mudah, last2 mati katak macam tu je..
jangan mengejar harta kekayaan dunia..

Jujurara on July 3, 2011 at 11:05 AM said...

kerana nak cepat kaya..

Nini D.. on July 3, 2011 at 2:41 PM said...

jangan gelap mata cari emas..nyawa lagi penting..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!