Thursday, July 14, 2011

Lima beranak hidup daif


Setiap insan sering mengimpikan untuk tinggal di rumah besar bak mahligai. Namun, tidak semua dilahirkan ke dunia ini mampu mencapai apa yang diimpikan itu.
Malah, ada yang terpaksa tinggal dalam rumah hampir roboh hanya layak dipanggil bangsal. Bagi insan yang masih hidup dalam serba kemiskinan, hakikat itu terpaksa diterima.
Begitulah kehidupan keluarga Mohd. Syukri Yusof, 30, terpaksa berteduh daripada hujan dan panas dalam sebuah bangsal bekas tempat sarang burung walit, di Kampung Terat Batu, Mukim Sidam Kanan, dekat sini.
Mohd. Syukri berkata, dia dan isteri, Norlalila Aysikin Mohd. Noor, 28, bersama tiga anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun tinggal di situ sejak empat tahun lalu.

"Rumah ini milik seorang taukeh Cina dan dia bermurah hati memberikan kami sekeluarga tumpang sejak 2007.
Pada asalnya, ia dijadikan tempat sarang burung walit. Namun, selepas berpindah ke premis lain, mereka masih benarkan kami tinggal di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Mohd. Syukri yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata, dengan pendapatan antara RM10 hingga RM15 sehari, dia tidak mampu membina atau menyewa rumah di tempat lain.
"Saya terpaksa tinggal di sini kerana tiada pilihan. Tambahan pula dekat dengan sekolah anak sulung saya belajar iaitu di Sekolah Kebangsaan Guar Lobak," katanya.

Tinjauan mendapati, bangsal didiami lima beranak itu bukan hanya sempit malah tidak mempunyai bilik serta bekalan air bersih.
Lebih menyedihkan, kesemua mereka tidur di atas lantai simen tanpa beralaskan sehelai tikar atau tilam.
Pembantu kedai itu memberitahu, ada kalanya dia dan keluarga terpaksa bergantung hidup kepada belas kasihan jiran-jiran untuk mendapatkan makanan atau barang keperluan lain.

"Selain bekerja di kedai makan, saya juga ambil upah dengan membuat kerja-kerja seperti menebas rumput atau membersihkan kawasan seperti diminta penduduk kampung," katanya.
Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Padang Serai, Ahmad Zubib Saad ketika mengunjungi rumah keluarga itu berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.
"Selain itu, saya juga akan memajukan permohonan keluarga ini untuk mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Pembangunan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) daerah Kulim, Ahmad Maidin memberitahu, pihaknya sedang menimbang untuk memindahkan keluarga terbabit ke penempatan Keda bersesuaian sekiranya ada kekosongan.
"Keluarga ini perlu dipindahkan ke kawasan lain agar mereka boleh menikmati kehidupan lebih baik," jelasnya.




.

1 Penyokong CHELSEA:

zulkoa on July 14, 2011 at 9:35 AM said...

kesiannye..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!