Saturday, July 9, 2011

Terima Tawaran Kerja Sebaik Pulang Ke Indonesia


Pembantu rumah Indonesia, Sarmini wahyudi, 28, yang lulus cemerlang dalam bidang Diploma Pengurusan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) hujung tahun lalu ditawarkan pekerjaan sebaik sahaja pulang ke negaranya.

Tawaran kerja tersebut diperoleh Sarmini pada Rabu, tiga hari selepas dia pulang ke kampung halamannya di Jawa Tengah, Indonesia pada 3 Julai baru-baru ini.
Bekas majikan Sarmini, Tan Choo Kang, 56, berkata Sarmini telah menghubunginya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan memaklumkan berita gembira itu kepadanya.

"Saya terima SMS daripada Sarmini semalam (Rabu). Dia gembira kerana telah ditawarkan pekerjaan yang baik walau baru beberapa hari pulang bertemu keluarganya," katanya.
Choo Kang berkata Sarmini mendapat tawaran bekerja sebagai pegawai kerajaan di salah sebuah jabatan berhampiran dengan tempat tinggalnya yang terletak di Kampung Banyumas.
"Sarmini bagaimanapun tidak memaklumkan kepada saya sama ada dia bersetuju menerima tawaran tersebut atau sebaliknya," katanya.

Sarmini yang berkhidmat sebagai pembantu rumah di Malaysia selama tujuh tahun telah mencipta sejarah apabila menjadi pembantu rumah Indonesia pertama di negara ini membawa pulang diploma.
Dia telah diberi pelepasan dan sokongan untuk mengikuti pengajian separuh masa oleh majikannya.
Anak seorang tukang kayu dan mempunyai seorang adik ini lulus cemerlang apabila memperolehi mata purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.39 sepanjang empat tahun mengikuti pengajian separuh masa di OUM.

Sejak Sarmini pulang ke Indonesia, Choo Kang berkata dia belum terfikir untuk mencari pengganti Sarmini.
Menurut Tan, sebelum Sarmini menamatkan perkhidmatannya, dia dan isterinya Wee Phooi Kuan, 47 pernah berpesan kepada pembantu rumahnya itu bahawa keluarganya sanggup menerimanya bekerja kembali jika dia tidak mendapat pekerjaan di negaranya kelak.

"Memang kami sekeluarga sedih selepas Sarmini berhenti tetapi dalam masa yang kami gembira kerana dapat membantu melaksanakan impiannya untuk sambung belajar.
"Apabila saya mendapat khabar itu, saya dan keluarga cukup gembira dan berbangga.
"Kami berharap agar dia terus maju pada masa akan datang," katanya yang turut menghubungi pihak OUM memaklumkan berita gembira ini.



.

1 Penyokong CHELSEA:

Akmall Razlan on July 9, 2011 at 9:39 AM said...

hebat....hendak seribu daya tidak mahu seribu dalih...*sek bek majikan baik!!!

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!