Wednesday, August 31, 2011

Aidilfitri disambut penuh sayu


Lebih 1,000 penduduk di Mogadishu, Somalia hari ini mengerjakan solat sunat Aidilfitri di Masjid Isbahasyiga, dekat sini selepas sebulan mengerjakan ibadat puasa.
Solat yang turut dihadiri pasukan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia diketuai Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim itu diimamkan oleh imam masjid berkenaan, Sharif Abdul Rahman Ulusow.

Di pekarangan masjid, beratus wanita dan kanak-kanak serta golongan tua berbaris meminta sedekah ekoran kemiskinan lantaran kemarau terburuk yang melanda negara itu sejak tiga tahun lalu.
Keadaan bertambah buruk apabila wujud kumpulan bersenjata seperti al-Shabab yang mengawal sebahagian besar selatan Somalia dan menyekat kemasukan bantuan makanan oleh agensi kemanusiaan.

Sejurus selepas solat, pasukan misi kemanusiaan Malaysia mengagih-agihkan bantuan seperti kopiah, biskut, kurma, tudung dan kain pelikat.
Abdul Azeez turut menyerahkan bantuan wang tunai sebanyak AS$2,000 (RM6,000) kepada imam masjid berkenaan.
Bagaimanapun, pasukan berkenaan kemudiannya diserbu lebih 5,000 penduduk yang berasak-asak untuk mendapatkan bantuan.

Bagi pasukan yang mengikuti misi itu termasuk media, Aidilfitri disambut secara sederhana di tempat penginapan di Hotel Nasahablood yang terletak kira-kira satu kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Abdulle.
Sementara itu, beberapa generasi muda ketika ditemui di pekarangan masjid melahirkan harapan untuk melihat Somalia kembali menjadi negara yang aman dan makmur.
Menurut Abdul Salam Hussein, 19, beliau belum mendapat pekerjaan untuk menyara keluarganya.

''Hidup semakin susah. Saya mahu belajar. Saya mahu menjadi guru. Keadaan di Somalia bagaikan bukan sebuah negara. Nampak tenang tetapi bergolak.
''Kami mahukan keamanan dan kesejahteraan. Sampai bila kami mahu hidup melarat. Rakyat Malaysia sangat beruntung kerana memiliki negara yang aman sehingga mampu membantu kami di sini.
''Saya mahu ke Malaysia. Mungkin di sana dapat belajar dengan sempurna dan mencari pekerjaan yang baik serta mampu menyara hidup keluarga saya di sini," katanya.

Bagi rakannya, Abdul Rahman Eidow Omar, 15, sempena sambutan Aidilfitri ini, Somalia perlu kembali aman kerana penduduk di sini sudah 'letih' hidup melarat.
''Saya mahu menjadi doktor. Saya mahu Somalia aman. Saya masih muda. Sampai bila mahu hidup sebegini?" soalnya yang bersekolah di Al Masal Secondary School.

Abdul Rahman berkata, beliau juga mahu ke Malaysia yang merupakan sebuah negara yang aman.
Pasukan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia tiba di Mogadishu semalam selepas menempuh penerbangan selama 24 jam menerusi pesawat Charlie 130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pasukan tersebut turut membawa 7.5 tan bantuan berupa ubat-ubatan, makanan serta pakaian.



.

3 Penyokong CHELSEA:

Azura @ cik buaya on August 31, 2011 at 5:18 PM said...

aduh sayunya.. kita sgt2 beruntung hidup di malaysia:'(

Ce'gu JAERA on August 31, 2011 at 5:45 PM said...

di saat kita bergembira menjamu selera dengan makanan yang melimpah ruah, rupanya saudara2 seislam kita serata dunia ada yang menyambutnya dengan ala kadar.. huhu

Ce'gu JAERA on August 31, 2011 at 6:28 PM said...

http://gen2merah.blogspot.com/2011/08/bersyukurnya-kita-jika-dibandingkan.html

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!