Biar seribu dugaan dalam kehidupan terpaksa dilaluinya namun pelantun lagu Bukan Aku Tak Cinta ini mengakui, hati kecilnya tersentuh setiap kali mendengar takbir di pagi Syawal.
Kata bekas vokalis kumpulan Iklim yang telah mengorak langkah sebagai penyanyi solo menerusi album Maaf/Juwita pada tahun 1998 ini, tiada siapa yang dapat memahami perasaan dan penyesalan kerana berpisah dengan lima zuriatnya hasil perkahwinan pertamanya dahulu.
“Kalau boleh, di hari baik bulan baik ini, saya tidak mahu bercerita pasal perkara itu kerana akan dikatakan mengungkit.
“Cuma saya akui ada rasa rindu tetapi jurang yang wujud di antara saya dengan anak-anak saya itu amat besar. Inilah tragedi dalam kehidupan saya.
“Hari ini, saya bersyukur kerana masih ada keluarga bahagia. Saya mempunyai isteri dan seorang lagi anak yang sentiasa mendampingi saya,” kata penyanyi bersuara serak-serak basah yang hadir ke Studio Utusan untuk sesi fotografi sempena Hari Raya baru-baru ini.
Biarpun hari ini Saleem yang mengahwini Juriah Bachok, 47, dan dikurniakan dengan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun, namun kerinduan Saleem untuk berhari raya dengan lima lagi anak-anaknya masih tebal dan tidak pernah pudar.
“Ada waktunya saya tidak mahu memikirkan tentang anak-anak yang lain tetapi sebagai seorang ayah, saya tidak dapat melupakan mereka terutamanya ketika membuat persiapan raya.
“Bukan saya tidak mahu menjadi ayah yang baik kepada mereka tetapi perpisahan yang terjadi atas kesilapan sendiri membuatkan saya tidak rapat dengan mereka dan tidak kenal mereka.
“Bagi memujuk hati, kehadiran Mohd. Amirulmukminin, anak daripada perkahwinan kedua saya membuatkan kesepian dan kerinduan di hati sedikit sebanyak terubat juga.
“Jika tidak, entah di mana dan bagaimana keadaan saya hari ini,” luahnya.
Menyedari hakikat dirinya tidak begitu rapat dengan lima lagi anaknya yang lain, pelantun lagu malar segar Suci Dalam Debu ini mencurahkan sepenuh kasih sayang dan perhatian kepada Amirulmukminin.
“Mirul (panggilan manja) adalah segala-galanya bagi saya kerana kehadirannya dalam hidup saya bukan setakat sebagai penyeri tetapi lebih daripada itu.
“Maka itulah, persiapan hari raya adalah untuknya. Baju Melayu baru Mirul mesti ada sekurang-kurangnya dua pasang.
“Saya tidak kisah jika memakai baju lama tetapi isteri saya, Juriah akan memastikan kami sekeluarga mempunyai pakaian baru dan selalunya, kami pakai warna sedondon.
“Saya tidak begitu beri perhatian tentang persiapan raya kerana segala-galanya diuruskan oleh Juriah. Saya akur sahaja,” katanya.
.
1 Penyokong CHELSEA:
uii, x sangka salim ni dah masuk 50.. dah dekat umur2 nak pencen dah..
Post a Comment