“Saya tak mahu baju raya, saya mahu ayah kembali,” kata Mohd Ilham Maulana, 8, yang melihat sendiri ayahnya, Sentang Jahri, 42, lemas selepas perahu yang dinaiki dua beranak itu karam di Sungai Sadong, berdekatan Kampung Munggu Kupi, Serian, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, dua beranak dari Kampung Tanah Puteh dalam perjalanan menghantar hampas padi untuk dijual di Serian sebelum perahu dinaiki terlanggar kayu hanyut di kawasan sungai yang terkenal dengan buaya ganas.
Mohd Ilham yang melihat ayahnya terkapai-kapai, cuba membantu dengan terjun ke sungai, namun tidak berdaya menyebabkan dia turut hanyut hampir dua jam sebelum ditemui penduduk kampung tersangkut pada dahan pokok di tebing sungai.
Ilham yang masih dalam trauma berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dengan dia hanya sempat melihat tangan ayahnya terkapai-kapai sebelum hilang kerana dia sendiri tidak mahir berenang bagi membantu orang tuanya yang sedang lemas.
“Ayah berjanji mahu membawa kami sekeluarga membeli baju raya hari ini (semalam) selepas dapat duit menjual hampas padi tetapi sekarang saya tidak mahu baju raya, saya mahu ayah pulang dengan selamat.
“Saya cuba membantu menarik ayah tetapi tidak sempat mencapai tangannya dengan saya kemudian dibawa arus dan tersangkut pada dahan pokok hampir dua jam sebelum diselamatkan penduduk kampung yang kebetulan lalu," katanya dalam tangisan kepada Berita Harian di sini, semalam.
Isteri mangsa, Norhafizah Abdullah, 37, berkata menjadi kebiasaan suaminya ke Serian untuk menjual sayur atau hampas dengan dia merancang menggunakan wang hasil jualan bagi membeli persiapan menyambut Aidilfitri.
“Sepatutnya kami ke pekan hari ini (semalam) bagi membeli pakaian anak-anak dan barangan lain, tetapi anak-anak kini terpaksa menunggu jenazah ayah mereka dengan yang paling sedih adalah Mohd Ilham yang tidak berhenti menangis.
“Saya tidak menyangka panggilan telefon meminta saya pulang segera ke rumah selepas pergi menziarahi keluarga di Balai Ringin malam Jumaat lalu, adalah permintaan terakhir suami sebelum dia lemas,” katanya yang mempunyai lima anak berusia antara lapan hingga 17 tahun.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Serian, Suharto Lamat, berkata pasukan penyelamat yang disertai anggota polis, bomba, RELA serta penduduk kampung berjaya menemui mayat mangsa tersangkut pada dahan pokok pada jam 5 petang semalam, tidak jauh dari lokasi dia dikatakan terjatuh.
“Kami dimaklumkan mengenai kejadian jam 6 petang semalam (kelmarin) dengan seramai lapan anggota bomba terbabit dalam operasi mencari dengan kita berjaya menemui mayat mangsa kira-kira lima meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa dalam keadaan sempurna menandakan ia tidak diganggu buaya dengan jenazah kemudian dihantar ke Hospital Serian bagi pengesahan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
.
2 Penyokong CHELSEA:
sedihnya... kesian anak kecil tu..
banyak sangat kematian menguji 2-3 hari ni..
iya, sungguh pilu bila membacanya... kasih sayang seorang anak kepada ayahnya yang lemas di depan mata.. smoga tabah mengharungi syawal ini dengan sempurna.
Post a Comment