Monday, August 22, 2011

Polis buru empat lelaki bantu kes jenayah


Polis mengedarkan gambar lakaran wajah empat lelaki bagi membantu menyelesaikan lima kes jenayah jalanan di empat kampung di daerah ini sejak dua bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd Zakaria berkata, lakaran tiga suspek dan seorang lagi yang pernah ditahan kerana kesalahan sebelum ini diperoleh menerusi laporan dan pengecaman yang dibuat oleh mangsa mereka.

Katanya, kesemua dikaitkan dengan kes samun dan ragut di Kampung Padang Landak, Gong Bayor, Gong Duek dan Pengkalan Sentul yang melibatkan mangsa kerugian kira-kira RM20,000.
Menurutnya, suspek yang dipercayai berketurunan Melayu melakukan jenayah itu dengan menggunakan kenderaan seperti Perodua Kancil, Myvi, Satria yang juga dipercayai disewa.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di Kampung Raja dekat sini semalam, Kamarudin berkata, suspek biasanya memilih waktu di antara pukul 2 petang hingga Maghrib untuk melakukan jenayah.

“Sasarannya ialah wanita yang tinggal di rumah yang terletak agak jauh dari pandangan umum supaya tidak dapat meminta pertolongan dan bantuan daripada orang lain.

“Mereka berpura-pura bertanyakan sesuatu untuk memastikan mangsa bersendirian di rumah dan kemudiannya menggunakan parang atau pisau pemotong daging untuk mengugut mangsa,” ujarnya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penjenayah yang agak berani itu kerana setakat ini suspek tidak memakai penutup muka semasa melakukan samun atau rompakan.

Dalam perkembangan yang sama, Kamarudin berkata, bagi menangani dan bertindak pantas ke atas kes sedemikian, pihaknya telah menubuhkan 10 pasukan yang terdiri daripada dua hingga lima sepasukan.
“Dengan adanya pasukan itu, polis mampu bertindak lebih pantas jika ada sesuatu kes dilaporkan. Orang ramai juga dinasihatkan agar turut membantu pihak polis menangani jenayah ini,” katanya.




.

1 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on August 22, 2011 at 5:38 PM said...

bermacam2 taktik sekarang orang nak buat jahat dengan kita. hati2, sayangi nyawa dan keluarga kita..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!