Friday, August 19, 2011

Cinta jarak jauh


CINTA jarak jauh banyak dugaannya. Apatah lagi apabila pasangan dipisahkan beribu-ribu kilometer antara dua benua, macam-macam boleh berlaku. Namun, dengan kecanggihan teknologi, sedikit sebanyak ia berupaya menjadi jambatan bagi pelepas rindu.
Begitulah keadaannya hubungan antara Yunalis Zarai atau Yuna yang kini cukup popular dengan single terbaru, Penakut dan teman istimewanya bekas anggota OAG dan pengacara, Qushairi Mohammed Razali atau Qi.

Yuna kini berada di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) sejak awal tahun ini bagi pembikinan album sulungnya untuk pasaran di negara itu. Ia dijangka menemui peminat pada awal tahun depan.

Sebelum ini Yuna enggan bercerita banyak mengenai hubungannya dengan pengacara rancangan Jalan Jalan Cari Makan siaran TV3 itu. Mungkin kerana berasakan persahabatan terjalin antara mereka masih baru.

Tambahan pula pandangan masyarakat juga turut mempengaruhi. Kata orang kurang manis jika si dara bercerita banyak mengenai sesebuah hubungan yang belum pasti. Disebabkan perkara itu mungkin menyebabkan Yuna lebih berhati-hati apabila mahu berbicara mengenai cinta.
 Bagaimanapun sewaktu pulang ke tanah air baru-baru ini dan menjalani sesi fotografi khas bersama Rap sempena Ramadan, Yuna nampak makin selesa untuk berbicara mengenainya.

Kata Yuna, sewaktu mula-mula melangkahkan kaki di AS, dia berhadapan masalah apabila mahu berhubung dengan Qi. Malah gadis kelahiran Alor Setar, Kedah itu sempat berkongsi cerita dia ditipu sewaktu membeli kad prabayar talian telefon buat pertama kali di sana.

“Mula-mula sampai di AS, saya sempat bertanya dengan orang di sana bagaimana hendak mendapatkan kad prabayar telefon bimbit. Saya sendiri tidak tahu sistemnya bagaimana. Saya beli kad dengan harga hampir RM150 tapi selepas bercakap 15 minit, kreditnya sudah habis!

“Apabila kita berjauhan, memang telefon saja yang boleh menjadi penghubung. Kalau hendak sembang melalui Skype atau laman sosial lain, ia memang susah kerana kami sama-sama sibuk,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai masa depan hubungan yang sudah terjalin hampir setahun itu, jelas Yuna, seperti juga gadis lain sudah tentu dia mengharapkan ia akan berakhir dengan ikatan secara sah. Sekali gus mampu membina kehidupan berkeluarga bersama.

“Bagaimanapun, buat sementara ini kami lebih senang bersahabat. Lagipun kami mahu beri masa kepada diri masing-masing untuk membina kerjaya. Bagaimanapun, kita tidak tahu. Allah lebih berkuasa untuk menentukan jodoh dan maut ke atas hamba-Nya. Kalau sudah sampai masa, tahun depan kami bernikah saya akan terima dengan hati terbuka,” katanya.

Menyentuh mengenai sambutan Ramadan, jelas Yuna dia menjalani ibadat seperti biasa, lagipun di sana komuniti Islamnya agak besar, jadi dia dapat melakukan ibadat dengan sempurna.

Istimewanya sambutan Ramadan kali ini, Yuna berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dengan berniaga tudung secara kecil-kecilan yang diusahakan bersama keluarganya.


Menggunakan jenama ‘i am jetfuel shop’, butiknya beroperasi di Subang berhampiran dengan kediamannya, jelas Yuna perniagaan tudung dilakukan bermula dua bulan lalu.

“Setakat ini sambutan yang diberikan peminat sangat menggalakkan terutama tudung dengan gaya skaf lilit keliling. Sebelum ini saya hanya menjualnya menerusi laman web khas. Bagaimanapun, dengan sedikit modal yang ada saya membuka butik kecil untuk menjual secara langsung,” katanya.

Keinginan untuk membabitkan diri dalam perniagaan tudung bermula selepas melihat begitu banyak pihak menggunakan namanya apabila menjual skaf seperti yang selalu digayakan.

“Saya memang suka tudung dan skaf sejak dulu. Malah, sering memakainya dengan pelbagai gaya. Tidak sangka pula ia menjadi ikutan. Bukan itu saja, peminat sendiri banyak bertanya dari mana saya mendapatkan tudung yang dipakai. Memikirkan perkara itu terdetik di dalam hati mengapa tidak saya sendiri menjualnya kepada mereka,” katanya.

Peluang turut terbuka apabila melihat peniaga lain menggunakan namanya sebagai satu jenama tudung dijual. Pada Yuna mengapa tidak dia sendiri mengusahakan perniagaan itu memandangkan ada permintaan dari orang ramai.

“Tudung yang dijual di butik saya bagaimanapun tidaklah mahal seperti butik sedia ada. Saya faham kebanyakan peminat saya terdiri daripada remaja dan pelajar universiti. Mereka tidaklah berduit sangat, jadi dengan harga yang dijual itu bolehlah mereka membelinya. Lebih penting ia adalah jenama saya sendiri. Sekurang-kurangnya ia dapat menjadi kenangan,” katanya.

Sebagai seorang peniaga, Yuna juga sedar akan saingan apabila mengambil keputusan untuk menjual tudung. Apatah lagi dalam musim perayaan ini ramai yang lebih sedang mendapatkan tudung dijual di bazar Ramadan.

“Bagaimanapun, tidak semua orang selesa hendak berasak-asak semata-mata hendak mendapatkan sehelai tudung. Di butik saya di Subang, peminat atau orang ramai dapat membeli dan memilih tudung yang digemari dengan lebih selesa. Saya turut menjual skaf atau selendang dengan pelbagai corak dan warna jadi ia memudahkan orang ramai untuk menggayakannya di pagi raya,” katanya lagi.

Selain itu Yuna juga berasa puas apabila selendang mahupun skaf yang dijual dibeli peminat yang pertama kali hendak memakai tudung. Apatah lagi harganya tidak lebih daripada RM80.

Yuna berada di Los Angelas sepanjang Ramadan ini dan hanya akan pulang ke tanah air pada hari raya pertama. Waktu sama dia juga kini sedang sibuk membuat persiapan bagi menjayakan konsertnya bersama Dewan Filharmonik Petronas yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan September ini.



.

5 Penyokong CHELSEA:

arituarini on August 19, 2011 at 8:32 PM said...

cinta jarak jauh bnyk dugaan..kih kih kih

*tq sbb dah letk blog sy dlm bloglist..

Anonymous said...

selalu baca tweet dia ngn Qi dlm twitter

Anonymous said...

selalu baca tweet dia ngn Qi dlm twitter

hazirah kasimon on August 19, 2011 at 8:47 PM said...

wish u bahagie wit him Yuna!!!

Ce'gu JAERA on August 19, 2011 at 10:26 PM said...

semoga hubungan itu berkekalan hingga ke jinjang pelamin

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!