Friday, August 19, 2011

Mualaf rayu bantuan pulih penyakit


Seorang mualaf berketurunan Bidayuh dari Sarawak yang menderita kanser kulit merayu ihsan umat Islam untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya merawat penyakit tersebut.
Muhammad Nazri Nuwis Abdullah, 39, yang tinggal di Rumah Pangsa Kristina 7, Taman Sri Pristana 1, Sungai Buloh dekat Saujana Utama di sini, menderita kanser kulit sejak beberapa tahun lalu menyebabkannya tidak berdaya lagi untuk bekerja kerana tidak tahan cuaca panas.

Dia yang turut menghadapi masalah kulit albino mengalami kesakitan memandangkan kulitnya begitu sensitif dan hampir dipenuhi dengan luka yang ada antaranya agak dalam sehingga menampakkan daging serta urat.
"Sebenarnya setiap kali luka saya menjadi serius, saya akan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan dan biasanya doktor akan mengambil kulit dada atau paha saya untuk menampal luka yang berlubang.

"Kini saya tidak mampu lagi pergi ke hospital kerana tiada wang memandangkan saya tidak dapat bekerja. Lagipun saya terpaksa melalui rawatan mencuci luka dan menampal kulit yang begitu memeritkan, memang terlalu sakit dan saya tidak tahan lagi," luahnya.
Muhammad Nazri yang diberi hidayah memeluk Islam pada Mac lalu memang ingin mencari kerja selepas diberhentikan sebagai pengawal keselamatan akibat penyakitnya itu.
Tambahnya, oleh kerana memilih Islam sebagai pegangan hidup, keluarganya yang beragama Kristian telah menyisihkannya.

Sejak tidak bekerja, dia dan isteri, Nurazrin Amir, 21, terpaksa bergantung hidup dengan keluarga wanita itu.
Kata Muhammad Nazri, ibu mertuanya, Zuraidah Ishak, 46, yang bekerja di sebuah rumah kebajikan banyak membantu membelikan ubat bagi meredakan kesakitan yang dialaminya itu.

"Ibu mertua memang banyak membantu tetapi dia juga bukan orang senang. Jadi, memandangkan saya masih tidak sihat dan belum mampu bekerja, saya amat bersyukur sekiranya ada pihak sudi membantu meringankan kos untuk membeli ubat-ubatan," katanya.
Ditanya mengenai bantuan zakat, katanya, ibu mertuanya ada membuat permohonan dengan Lembaga Zakat Selangor sejak enam bulan lalu, tetapi masih belum mendapat jawapan.

 

.

2 Penyokong CHELSEA:

N A T A S Y A ツ on August 19, 2011 at 11:11 PM said...

la, kesian die..

Ce'gu JAERA on August 19, 2011 at 11:37 PM said...

sebagai umat islam, adalah wajar untuk kita bantu golongan Muallaf ini... mari kita kukuhkan semangat islamiah pada mereka..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!