Monday, August 8, 2011

Rentung dari pinggang ke kaki


Seorang warga emas rentung separuh badan selepas terbakar sebaik tiba-tiba rebah dipercayai terhidu asap tebal ketika membakar sampah di rumahnya di Kampung Batas, Napoh, di sini tengah hari kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Mat Yaakob, 64, sedang membakar sampah seorang diri walaupun ditegah isterinya, Radiah Abdul Hamid, 55, kerana ketika itu cuaca panas.

Difahamkan, api sampah yang dibakar itu marak dengan tinggi menyebabkan mangsa yang tidak sedarkan diri rentung dari bahagian pinggang hingga ke kaki ketika ditemui adik iparnya.
Radiah yang menghidap penyakit angin ahmar berkata, sebelum kejadian dia sudah melarang arwah membakar sampah kerana waktu itu cuaca panas terik, tetapi dia degil dan terus membakar sampah sebelum api merebak membakar rumput kering di kawasan sekitar.

Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian berkemungkinan akibat terhidu asap tebal sebelum rebah dan dibakar api yang sedang marak sebelum ditemui adik iparnya (Kalsom, 50) yang mencari abang iparnya itu, jam 2 petang.

Menurut Radiah, dia berasa tidak sedap hati apabila suaminya tidak kelihatan selepas api sampah itu menjulang tinggi dan menghubungi adiknya yang berjiran supaya mencari arwah.

Beliau berkata, dia yang tidak sihat hanya mampu menghubungi Kalsom meminta bantuan mencari suaminya dan mungkin mampu menyelamatkan arwah jika mampu bergerak.

“Kalsom dan suaminya, Khamis Mat Taib, 59, kemudian berlari dan memberitahu mak cik bahawa suami sudah meninggal dunia dalam keadaan tangannya mengerekot serta badannya sudah tidak bergerak.

“Mak cik tak tahu nak cakap apa ketika itu dan cuma mampu menangis serta meraung sekuat hati kerana kejadian berlaku terlalu pantas, namun reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Radiah berkata, arwah suaminya menunjukkan perubahan sikap malam kelmarin apabila makan terlalu banyak ketika berbuka seolah-olah buat kali terakhir.

Katanya, dia turut menegur suaminya supaya makan dengan perlahan dan jangan banyak makan kuih manis kerana dia menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan asma.

“Mak cik terkilan hasrat arwah berbuka puasa dengan keluarga anak sulung, Mahathir Mat di rumah mereka di Kuala Muda, Sungai Petani tidak tercapai,” katanya.

Pasangan itu yang memiliki tujuh anak berusia antara 13 dan 40-an tinggal bersama dengan anak bongsu mereka.

Jenazah mangsa dibawa ke Bilik Mayat Hospital Jitra untuk pemeriksaan sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Bendang Perang selepas solat Tarawih.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!