Friday, September 9, 2011

Harapan Putri Dian lihat kembali semakin cerah

Penantian dan harapan keluarga miskin di Kampung Wakaf Raja dekat sini, untuk melihat mata anak bongsunya yang buta sejak dilahirkan pulih semula semakin hampir menjadi kenyataan.
Putri Dian Seri Muhamizan, 2, akan menjalani pembedahan minggu depan setelah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak Julai lalu.

Kanak-kanak itu sebelum ini disahkan oleh pakar mata HUSM menghidap penyakit 'Congenital Corneal Opacities' tetapi gagal menjalani rawatan lanjut disebabkan kemiskinan.
Penderitaan kanak-kanak itu mendapat perhatian Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada 21 Julai lalu yang berkenan menghulurkan sumbangan wang tunai bagi tujuan rawatan.
Ibu kanak-kanak itu, Suharni Samsudin, 38, memberitahu, rawatan awal akan membabitkan gantian kornea bagi membolehkan sebelah mata Putri Dian Seri berfungsi kembali.

"Saya telah menghubungi HUSM semalam supaya anak saya dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan kesihatan sebelum pembedahan dijalankan. Beberapa keperluan organ gantian mata yang terpaksa diimport dari luar negara bagi tujuan berkenaan sudah pun diterima oleh pihak hospital," katanya.

Menurutnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Raja dekat sini hari ini, wang sumbangan Sultan Kelantan sebanyak RM3,000 yang disampaikan oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Sultan Kelantan, Datuk Sukri Mohamed itu baru-baru ini, masih disimpan untuk melunaskan kos pembedahan.
Suharni melahirkan rasa syukur dan menjunjung tinggi keprihatinan Sultan Kelantan yang sentiasa cakna terhadap kebajikan rakyat dan sumbangan itu akan membolehkan sebelah mata anaknya berfungsi kembali bagi melihat ibu bapa dan adik-beradiknya.

"Kami terpaksa berusaha lagi untuk mengumpul wang dalam jumlah yang sama supaya kedua-dua matanya akan pulih semuanya. Keseluruhan kos pembedahan bagi kedua-dua belah mata ialah RM5,400. Syukurlah, peringkat permulaan ini kami dipermudahkan dengan bantuan Tuanku," katanya.

Dia berkata, suaminya Muhamizan Mahasan, 42, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan yang tidak menentu turut menjalankan perniagaan buah-buahan untuk menambah pendapatan bagi membiayai pembedahan kedua nanti.
Katanya, selain untuk kos pembedahan itu, pendapatan yang diperoleh juga terpaksa digunakan bagi perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak mereka.




.

1 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on September 9, 2011 at 1:29 PM said...

alhamdulillah.. betapa mulianya keperihatinan sultan Kelantan kepada rakyatnya...

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!