“Sebaik tiba, saya dengar dia menjerit Allahuakbar serta mendengus kuat sebelum nafasnya tidak lagi kedengaran,” kata Mohd Khamsani Kassim, 43, bapa mentua Mohd Shafadrul Afandi Shukor, 24, yang terbunuh ketika mendulang emas di sini, kelmarin.
Mohd Shafadrul maut apabila terowong di dalam lubang sedalam lebih lima meter yang digalinya di ladang kelapa sawit milik Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mersing (PKAYM) di Kilometer 13, Jalan Endau-Mersing di sini, runtuh kira-kira jam 9 malam.
Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Hubung di sini, menggali terowong itu berseorangan.
Mohd Khamsani berkata, menantunya memaklumkan kepadanya untuk keluar membeli barangan keperluan harian pada jam 6 petang kelmarin, namun sehingga jam 9 malam dia tidak pulang ke rumah.
“Saya keluar mencarinya di sekitar kampung sebelum ke ladang berkenaan kerana arwah sudah beberapa kali ke situ untuk mendulang emas sebelum ini walaupun saya melarang,” katanya.
Sejurus Mohd Khamsani tiba di tempat kejadian, dia menemui motosikal, beg dan peralatan mendulang emas milik mangsa berhampiran lubang digalinya.
“Saya hampir menangis apabila terdengar suaranya melaungkan Allahuakbar sebelum nafasnya tidak lagi kedengaran. Saya berusaha menggali lubang itu untuk menyelamatkan arwah, namun gagal.
“Saya menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Menurutnya, ladang milik PKAYM itu sering menjadi tumpuan pendulang emas haram kerana lokasi itu dikatakan mengandungi banyak emas.
Selain itu, kekerapan pihak berkuasa membuat pemantauan di kawasan hutan simpan seperti Hutan Simpan Gunung Twiss yang dijadikan sasaran pendulang emas haram membuatkan mereka beralih ke ladang berkenaan.
Sementara itu, ibu mentua mangsa, Ayati Othman, 43, berkata Mohd Shafadrul yang bekerja sendiri seperti mengambil upah menebas di kebun pernah meluahkan hasrat untuk mendapatkan pendapatan lebih dengan mendulang emas kerana bakal mendapat anak kedua, tiga bulan lagi.
“Dia gembira kerana bakal menimang anak kedua dan disebabkan itu dia mahu mencari pendapatan tambahan. Saya dan suami sudah melarangnya ke sana kerana kerja itu bahaya, tetapi dia tetap melakukannya secara sembunyi-sembunyi,” katanya.
Menurutnya, perubahan sikap anak sulung mangsa, Mohd Adam Haikal, 18 bulan, daripada ceria kepada muram seolah-olah petanda bapanya bakal dijemput Ilahi.
Ayati berkata, sejurus mangsa meninggalkan rumah pada jam 6 petang, Adam mula muram dan ia berterusan hingga jam 9 malam.
“Kami gagal menghubungi arwah sebelum mengadakan bacaan Yasin dan tahlil sesama ahli keluarga bagi memohon keselamatannya. Pada masa sama, Adam terus muram dan enggan melayan kami,” katanya.
Menurutnya, Mohd Shafadrul yang berasal dari Batu Pahat tinggal bersamanya sejak berkahwin dengan anak sulungnya, Nurul Saufeqah, 20.
Jenazah Mohd Shafadrul dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semaloi.
P/S - Dapatkan dengan harga yang murah..
.
1 Penyokong CHELSEA:
bila ajal dah sampai masanya, hatta kita tengah baring pun nyawa kita boleh dijemput...
mcm mana agaknya mereka2 yang mati ketika sedang melakukan maksiat... sekadar utk renungan diri sendiri dan kawan2..
Post a Comment