Gara-gara dibelenggu kemiskinan, seorang ibu tunggal terpaksa menjadikan sebuah kandang lembu berhampiran kawasan semak dekat Ampang Jajar di sini, sebagai bangsal tempat tinggal bersama ibu dan empat anaknya.
Beralaskan tikar dan tilam buruk, M. Rajeshwari, 32, dan ibu, M. Rajamma, 57, bersama empat anaknya berusia lima hingga 10 tahun tidak mempunyai pilihan untuk tinggal di bangsal tersebut lantaran masalah kewangan yang kian menghimpit.
Rajeshwari yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, dia sebelum ini tinggal di kawasan setinggan di Kampung Kovil, dekat sini selama lebih enam tahun tetapi terpaksa berpindah selepas dihalau oleh tuan tanah.
Menurutnya, dia kemudiannya menumpang di rumah seorang saudara di Jalan Raja Uda, di sini tetapi diminta keluar baru-baru ini kerana tidak dapat membayar sewa rumah secara tetap.
"Ketika itu, anak-anak saya juga terpaksa bekerja mencuci pinggan untuk membantu mengumpul duit sewa rumah dan membeli barangan keperluan harian.
"Saya sendiri berasa malu untuk terus menumpang ihsan keluarga dan menyusahkan mereka untuk menanggung keperluan kami anak-beranak," katanya ketika ditemui pada program lawatan Ketua Pemuda MIC Bahagian Permatang Pauh, M. Suresh di sini, hari ini.
Rajeshwari bagaimanapun berkata, kehidupan mereka enam beranak menjadi semakin sukar kerana pendapatan sebagai tukang cuci tidak dapat menampung keperluan membayar sewa rumah sehingga memaksa mereka tinggal dan berlindung di bawah sebuah pangsapuri.
Katanya, mereka bernasib baik apabila ditemui oleh seorang penternak lembu yang memberi kebenaran untuk tinggal sementara di bangsalnya yang terletak tidak jauh dari pangsapuri berkenaan.
Sementara itu, Suresh berkata, pihaknya mahu kerajaan negeri supaya tampil memberi bantuan kepada keluarga tersebut dengan membenarkan mereka tinggal di pangsapuri projek perumahan rakyat (PPR) Ampang Jajar, di sini.
Katanya, pihaknya bersedia membantu Rajeshwari mencari pekerjaan baru serta menguruskan permohonan keluarga tersebut untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Dengan kadar sewa RM100 di pangsapuri tersebut, kita yakin keluarga ini mampu membayar berdasarkan pekerjaan yang kita akan dapatkan untuk Rajeshwari dalam masa terdekat.
"Kita minta kerajaan negeri bertindak segera memandangkan keluarga ini amat memerlukan pembelaan. Dari segi keperluan asas lain, MIC sedia menghulurkan sumbangan agar mereka meneruskan kehidupan lebih selesa," katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment