Setiap kali hujan lebat melanda ibu kota, penghuni Blok 1, 3 dan 5 Rumah Panjang Sri Johor di Jalan Ikan Emas, Cheras di sini akan diburu keresahan.
Ini berikutan air hujan itu akan memenuhi longkang berhampiran rumah panjang itu dan kemudiannya melimpah keluar sehingga memasuki kediaman mereka.
Penduduk mendakwa kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelesaikan masalah perparitan di kawasan perumahan itu sejak dahulu adalah punca masalah itu terus menghantui mereka.
Dakwa penduduk, walaupun kawasan perumahan mereka terlibat dalam pembangunan semula kawasan itu tetapi adalah tidak wajar mereka dibiarkan terus menanggung sengsara sepanjang tempoh pembangunan itu.
Seorang penghuni, Chan Kian Fah, 43, berkata, setiap kali banjir kilat berlaku, bukan sahaja keselamatan mereka terancam tetapi juga terpaksa menanggung kerugian harta-benda.
“Air yang memasuki rumah akan merosakkan peralatan dan banyak yang tidak boleh digunakan lagi,” katanya ketika ditemui semasa Pengerusi Bahagian MCA Bandar Tun Razak, Chiew Lian Keng mengadakan lawatan ke lokasi itu baru-baru ini.
Chan Kwai Yean, 44, pula berkata, masalah sistem peparitan yang tidak betul juga menyebabkan longgokan sampah berlaku setiap kali selepas hujan.
Katanya, keadaan itu mengundang kehadiran binatang seperti anjing dan ular di kawasan longgokan sampah itu.
Sementara itu, Lian Keng berkata, walaupun kerja-kerja membaiki sistem perparitan di situ akan mengambil masa, pihak bertanggungjawab perlu memikirkan cara terbaik bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penghuni.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment