Gosip kadangkala boleh menjurus kepada kebaikan seseorang artis itu sama ada ia mampu menambah lagi populariti mereka atau sebaliknya.
Adakala gosip juga boleh menjatuhkan maruah dan karier seseorang artis itu jika mereka tidak tahu selok-belok untuk kembali bangkit setelah nama tercemar.
Terpulang kepada bagaimana seseorang artis itu meletakkan diri mereka selepas dilanda gosip dan mengorak langkah seterusnya dalam meneruskan karier seni mereka.
Itulah yang dialami Ning Baizura, 37, baru-baru ini apabila timbul gosip mendakwa suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton (Omar) menjalin hubungan sulit dengan setiausahanya, seorang wanita berketurunan Cina.
Gosip itu bukan sahaja memeranjatkan Ning, malah apa yang nyata ia lebih menguatkan rasa cinta Ning terhadap Omar.
Penyanyi itu yang ditemui pada sidang akhbar pelancaran muzik video terbarunya berjudul Bila mengakui agak terkejut dengan gosip itu sambil berkata;
“Mana mungkin Omar menjalin hubungan sulit dengan setiausahanya kerana Omar sudah berhenti kerja sejak beberapa bulan lalu untuk menguruskan kerjaya seni saya sepenuh masa.
“Itu semua gosip liar dan saya tidak perlu risau atau curiga terhadap Omar kerana saya tahu dan kenal siapa suami saya.
“Lagipun saya bersetuju untuk diuruskan oleh suami sendiri kerana dia mempunyai perancangan dan strategi untuk masa hadapan saya dalam meneruskan langkah dalam bidang seni.
“Gosip-gosip seperti ini adalah normal dan setelah 18 tahun menceburi bidang seni saya sudah lali dengan pelbagai gosip.
“Kalau nak tahu, sewaktu gosip liar itu bertebaran, suami saya sendiri lebih terkejut berbanding saya kerana sebelum dia menguruskan kerjaya saya, dunia kami terlalu berbeza,” kata Ning dalam nada tenang.
Menyentuh siapakah wanita Cina yang dikatakan menjalin hubungan dengan suaminya, Ning secara jujur mengatakan bahawa dia tidak tahu siapa wanita tersebut dan dia berharap agar gosip liar ini dihentikan segera.
Menurut Ning, setelah Omar menjadi pengurusnya sepenuh masa dia merasakan perjalanan seni dan kehidupan rumahtangganya semakin bahagia kerana Omar sudah mula memahami akan dunia seni dan tugasnya.
“Saya gembira kerana suami saya terlibat secara langsung dengan perjalanan seni saya dan ini membantu meningkatkan lagi komunikasi dan persefahaman serta kasih sayang antara kami,” cerita Ning sambil memandang mesra Omar di sisinya. Omar pernah bekerja dengan sebuah syarikat cari gali minyak yang terkenal di ibu kota.
I love my wife, the one and only - Omar
Omar yang ditemui ketika menemani isterinya, Ning Baizura di majlis itu menzahirkan bahawa rumah tangga mereka sedang bahagia dan tiada masalah orang ketiga seperti dikhabarkan baru-baru ini.
Ketika ditanya berhubung gosip tersebut, pantas Omar menegaskan bahawa tiada insan istimewa dalam hidupnya selain daripada Ning Baizura.
“Saya sendiri tidak tahu siapakah wanita berketurunan Cina yang digosipkan dengan saya.
“Saya terkejut apabila mendengar gosip tersebut tetapi saya tahu perkara seperti ini adalah sesuatu yang biasa bagi seorang artis,” katanya.
Berfikiran positif
“Saya tiada ramuan tertentu untuk terus bertahan dalam industri ini tetapi saya sentiasa berfikiran positif bahawa setiap tindakan saya akan mendatangkan hasil pada kemudian hari.
“Sejujurnya pada awal penglibatan saya dalam bidang ini, saya tidak pernah terfikir akan dapat bertahan selama ini,” kata Ning apabila ditanya rahsia beliau terus bertahan dalam industri ini.
Ning Baizura yang bakal menyambut ulangtahun ke-20 sebagai anak seni dalam masa dua tahun lagi, tidak menafikan sepanjang kariernya pernah terpalit dengan pelbagai isu kontroversi yang mampu memadamkan terus namanya dalam industri muzik tempatan.
“Peminatlah yang banyak memberikan saya inspirasi untuk terus mencipta nama dan segala yang saya lakukan adalah untuk membalas jasa dan kepercayaan yang telah mereka berikan kepada saya.
“Selain itu, saya juga banyak mengambil contoh yang baik dari artis yang lebih dahulu mencipta nama seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dalam mempertingkatkan cara saya berkomunikasi dengan peminat,” katanya.
.
1 Penyokong CHELSEA:
if x betoi dah jadi fitnah..macam2...
Post a Comment