Hasrat seorang kanak-kanak untuk memakai kasut baharu bagi menyertai persatuan kompang di sekolahnya berkecai apabila dia ditemui lemas ketika sedang mandi bersama lima rakannya di sebuah lombong pasir di Kampung Gelam, Kedawang di sini kelmarin.
Mayat Mohd. Aiman Ali, 12, ditemui pada pukul 6 petang di dasar lombong tersebut yang mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter.
Bapa mangsa, Ali Akob, 49, memberitahu, dia berhasrat untuk membelikan kasut tersebut hari ini seperti yang diminta anak kelima daripada enam beradik itu.
"Bagaimanapun ia tidak dapat ditunaikan kerana arwah pergi terlebih dahulu. Saya reda dengan ketentuan takdir," ceritanya.
Mengimbau semula kejadian itu, Ali memberitahu, dia bergegas ke lombong berkenaan sebaik dimaklumkan oleh penduduk kampung pada pukul 5 petang. Jarak rumahnya dengan lombong berkenaan kira-kira satu kilometer.
"Sebaik tiba, saya lihat tiada sesiapa di situ lalu terus terjun ke dalam lombong tetapi gagal menemuinya kerana air keruh.
"Saya kemudian meminta bantuan sebelum mayat anak saya ditemui oleh pekerja tapak lombong dan penduduk kampung yang menyelam di dalam lombong itu," katanya lagi.
Tambahnya, dia tidak tahu anaknya mandi di lombong tersebut bersama rakan-rakannya kerana kebiasaannya arwah akan duduk di rumah sahaja selepas pulang sekolah.
.
1 Penyokong CHELSEA:
:(
Post a Comment