"Siapa yang mahu hidup merempat macam ini. Kalau saya cakap dekat awak, mungkin awak tidak akan percaya, tapi inilah hakikatnya kehidupan kami sebagai pengayuh beca di negeri yang kian membangun ini."
Itu yang diluahkan Mat Mat Dak, 86, yang menjadikan beca sebagai tempat untuk bermalam dan melepaskan penat lelahnya selepas berkayuh membawa pelanggan seharian. Mat yang berasal dari Nibong Tebal sudah 47 tahun mengayuh beca di sini dan tetap gigih mencari rezeki meskipun mempunyai 12 orang anak yang kesemuanya sudah besar.
Dia memberitahu, walaupun anak-anak melarangnya bekerja lagi, namun dia tetap berkeras mahu terus mencari rezeki sendiri dan tidak mahu menyusahkan mereka yang sudah berkeluarga."Sudah 20 tahun saya macam ini. Tidur di bahagian depan beca dengan sebiji bantal dan selimut nipis."Tiada siapa pun yang hendak datang menjenguk. Tiba-tiba malam ini awak datang nak temuramah saya dan bertanyakan hal saya," katanya.
Menceritakan tentang jadual hariannya, Mat berkata, dia bangun seawal jam 5 pagi sebelum membersihkan diri di tandas awam.Selesai mandi, dia akan mula meronda di kawasan tumpuan orang ramai bagi mencari pelanggan untuk dibawa ke tempat yang dituju."Selalunya saya dapat dalam RM20 hingga RM30 sehari. Itu pun bergantung kepada keadaan cuaca dan musim. Sekarang ini memang orang ramai yang bercuti namun bukan semua mahu naik beca.
"Kalau hujan, saya akan bawa beca saya ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan berteduh di situ. Sekiranya cuaca baik saya akan berada di Jalan Penang yang merupakan kawasan tumpuan pelancong," ujarnya.Ditanya sama ada dia pernah diberikan bantuan oleh mana-mana pihak, Mat hanya menggeleng dan menundukkan kepalanya.Baginya, pengayuh beca seperti dirinya seolah-olah tiada nilai dan tidak perlu diambil berat."Kami umpama sampah masyarakat.
Sepanjang 47 tahun mengayuh beca, tidak pernah seorang pun wakil rakyat yang datang menjenguk."Saya ada dengar kerajaan negeri sekarang berjiwa rakyat dan sedang berusaha membasmi masalah miskin tegar tapi kehidupan kami masih sama seperti dulu. "Hidup kais pagi makan pagi walhal kami juga penyumbang kepada pelancongan negeri ini," jelasnya.
Menurutnya, jika kerajaan negeri benar-benar prihatin dengan nasib rakyatnya, semua golongan masyarakat kurang bernasib baik perlu dibantu dan bukan hanya ketika menjelang pilihan raya.Dia menambah, golongan sepertinya pasti gembira jika diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak-pihak berkaitan."Kami tidak minta apa-apa, cuma diberi perhatian khususnya daripada kerajaan negeri kerana kami juga rakyat Pulau Pinang. "Kalau ada apa-apa bantuan yang boleh diberikan, apa salahnya mereka turun sendiri dan memberi dan tidak semestinya kami perlu pergi mencari mereka seperti peminta sedekah," katanya.
.
1 Penyokong CHELSEA:
uiyt,anak yg 12 org tu kmana??
kesian aje...
Post a Comment