Dia tidak mampu menyembunyikan perasaannya ketika ini. Malah air muka turut berseri sewaktu mengupas cerita tentang ‘hari besar’ dalam hidupnya pada 21 Oktober nanti. Jujurnya, dia sama sekali tidak menyedari masa yang pantas berlalu. Penantian untuk memegang status ‘isteri’ selama 32 tahun akhirnya menemui noktah. Pada tarikh tersebut, dia disatukan dengan pilihan hati bernama Sha’arin Mohd. Razali.
“Berdebar... cukup berdebar. Susah nak bayangkan saat itu,” kata Yasmin Hani sewaktu didandan rapi oleh jurusolek terkenal Kay Azman pada petang Rabu lalu.
Sama seperti wanita yang bakal ke jenjang pelamin, pelakon dan pengacara ini mendambakan perjalanan perkahwinan bersama insan tersayang lancar.
Sehingga hari ini, semua persiapan sudah selesai dibuat secara tempahan. Pelakon yang mudah disapa Hani ini bakal menggunakan khidmat perunding perkahwinan Adly Zaihardi. Tema taman dalam bangunan menjadi pilihan pada tarikh keramat itu.
Sementara khidmat pelamin dan hantaran, Hani memilih Adi Wedding Couture. Untuk persandingan, Hani memakai khidmat Ari Wedding Couture sementara pelamin untuk pernikahan pula Professor Mohd. Ali Yusop dari Shah Alam, Selangor.
Mengikut perancangan, Sha’arin akan menyerahkan tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan. Duchess Place, Ampang, Kuala Lumpur bakal mencatat sejarah dalam hidup pelakon filem Duyung ini. Dedahnya, lokasi tersebut telah memikat hatinya dan dia mahukan ia menjadi tanda peringatan indah.
Merisik bagaimana wujudnya percikan cinta antara Hani dan Sha’arin telah menimbulkan rona bahagia pada raut wajah wanita berusia 32 tahun ini.
“Ia berlaku secara semula jadi selepas pertemuan tidak sengaja di Damansara hujung tahun lalu. Selepas berhubung menerusi Facebook, kami semakin akrab. Senang cakap, mungkin masing-masing sudah sedia, kami memutuskan untuk ke tahap lebih serius tanpa berlengah-lengah,” ujar Hani yang memancarkan bahagia.
Pemilik nama Yasmin Hani Richardson Ismail Richardson ini juga berkongsi perkara utama yang membuatkan dia terpesona dengan teman hatinya itu.
Kata adik kepada bekas pelakon Yasmin Suraya ini, sudah lama dia mencari lelaki sarat dengan sifat kekeluargaan.
Maksudnya, cukup rapat dan sensitif dengan keperluan keluarga. Menjadikan hujung minggu sebagai hari wajib untuk meluangkan waktu bersama keluarga. Selain itu, Sha’arin juga banyak menyedarkan dirinya tentang kepentingan penjagaan makanan dan gaya hidup harian.
Selain itu, sifat kelakar Sha’arin juga telah banyak mewarnai hidupnya. Banyak membuatkan dirinya ketawa dan tersenyum lebar setiap masa.
“Mungkin jarak beza umur selama 10 tahun banyak membantu hubungan kami. Dia matang dan banyak pengalaman hidup. Banyak nasihat dikongsi bersama.
“Paling penting, dia boleh terima saya seadanya. Sama ada baik atau buruk, lemah atau kuat Yasmin Hani dia reda. Itu yang buat saya rasa terpikat,” dedah pengacara program hiburan, Muzik @ Ria terbitan Astro, Wacha! beberapa tahun lalu.
Hari bahagia Hani itu juga bakal dikongsi bersama dengan kedua-dua anak Sha’arin menerusi perkahwinan pertama terdahulu iaitu Siti Narissa Edora, 25, dan Armand, 23. Hani memberitahu, dia beruntung kerana bakal bergelar ibu segera. Apatah lagi, jarak usia mereka tidak jauh dan memudahkan untuk berkongsi cerita dan minat yang sama.
“Ada yang bertanya, berapa anak yang saya idam kalau berkahwin nanti. Jawapannya, ia terlalu awal kalau nak cakap pasal perkara itu. Apa yang penting sekarang adalah majlis perkahwinan dulu.
“Selebihnya, urusan tersebut dipanjatkan kepada Ilahi. Dia lebih berhak tahu tentang soal anak. Sebagai hamba-Nya, saya hanya berdoa agar perkahwinan kami ini bahagia sampai ke syurga,” bicara Hani sambil melirik mesra bakal suaminya yang duduk di sebelahnya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment