Thursday, October 27, 2011

Parah langgar pokok kelapa


Hasrat empat pelumba basikal remaja Melaka dan ketua jurulatih untuk menyertai perlumbaan Terbuka Perlis bermula hari ini tidak kesampaian apabila mereka terlibat dalam kemalangan sesama sendiri, gara-gara sebatang pokok kelapa yang tumbang secara tiba-tiba.
Kejadian pukul 9.45 pagi di Kilometer 27.5 Ayer Tawar, Sungai Rambai di sini semalam itu, turut mencemaskan mereka apabila diserang sekumpulan tebuan yang bersarang di pokok kelapa itu.
Orang ramai yang menyaksikan insiden itu dan berhasrat menolong mereka terpaksa menunggu lima minit untuk menghalau serangga berkenaan sebelum dapat menyelamatkan kesemua mangsa.

Berikutan kemalangan itu, seorang pelatih, Muhammad Shaiful Adlan Mohd. Shukri, 13, cedera parah dengan koyak di kening mata kiri dan retak tempurung kepala manakala yang lain hanya cedera ringan.
Mereka terdiri daripada ketua jurulatih, Fairoz Izni Abd. Ghani manakala tiga lagi ialah Muhammad Naim Suardi, 13, dan Aziz Loqman Hakim Jenal, 15, dan Muhammad Syafiq Syahrill Izwan, 20.
Muhammad Shaiful Adlan dikejarkan ke Hospital Melaka dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan malam tadi.
Empat yang lain pula turut mendapat rawatan di hospital yang sama.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Fairoz Izni berkata, dia bersama empat anak didiknya menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Terbuka Perlis bermula hari ini hingga Sabtu ini.
"Saya menunggang motosikal sambil diekori oleh mereka dari belakang. Kami menjalani latihan bermula dari Semabok menuju ke Parit Bunga di Muar melalui jalan lama kira-kira pukul 7.30 pagi," katanya.
Sewaktu tiba di tempat kejadian, katanya, tiba-tiba sebatang pokok kelapa tumbang di hadapannya lalu motosikal yang ditungganginya tidak sempat mengelak dan terus melanggar pokok tersebut.
Katanya, empat pelumba yang mengayuh di belakangnya juga tidak sempat mengelak lalu berlanggar sesama sendiri.

"Muhammad Shaiful Adlan paling teruk apabila dia terperosok di bawah motosikal dan turut dilanggar oleh tiga rakannya yang berada di belakang.
"Ketika saya dan tiga yang lain cuba bangkit hendak menolong Muhammad Shaiful Adlan tiba-tiba kami diserang tebuan menyebabkan kami yang cedera bertempiaran menyelamatkan diri," ujarnya yang bengkak di muka dan lengan akibat disengat tebuan.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan mereka terpaksa membatalkan hasrat untuk menyertai pertandingan di Perlis sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang tahun depan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi hari ini mengesahkan mengenai kejadian tersebut.






.

2 Penyokong CHELSEA:

Kancil 8349 on October 27, 2011 at 10:23 AM said...

kesiannya...apa boleh buat...dah takdir mereka....tahun depan cuba lagi

nurkaloi on October 27, 2011 at 11:51 AM said...

selamat dyorang semua "selamat"

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!