Saturday, October 15, 2011

Perceraian termahal


Perceraian sememangnya memeritkan bagi sesebuah ikatan perkahwinan. Bukan setakat kasih sayang semakin terlerai malah harta yang dikumpul sepanjang perkahwinan juga perlu dibahagi-bahagikan antara bekas suami dan isteri.
Begitulah yang terjadi kepada bilionair Muslim, Aga Khan apabila nama beliau dan bekas isterinya, Begum Inaara Aga Khan, 51, kini tercatat sebagai pasangan yang mempunyai penyelesaian perceraian paling mahal dalam sejarah di negara Perancis.

Aga Khan yang berusia 73 tahun berpisah dengan isteri kelahiran Jerman dan bekas penyanyi itu enam tahun lalu. Namun baru kini penyelesaian perceraian itu berjaya dipersetujui.
Jangan terkejut jika dikatakan bahawa Aga Khan yang mempunyai kekayaan bernilai AS$10 bilion, perlu membayar AS$87 juta (RM276 juta) kepada bekas isterinya itu. Tetapi itulah hakikatnya.

Begitupun jumlah tersebut jauh masih rendah jika dibandingkan dengan anggaran asal penyelesaian kes itu yang dijangka berpotensi mencatat sejarah dengan nilai AS$806 juta (RM2.5 bilion).
Dokumen perceraian yang difailkan di Mahkamah Rayuan di Amiens, utara Perancis mendedahkan perjanjian penyelesaian dengan isteri keduanya itu berjaya dimuktamadkan hanya pada nilai satu persepuluh daripada jumlah ratusan juta dolar tersebut.

Mengikut laporan media, Begum Inaara mengemukakan tuntutan perceraian setelah mendakwa suaminya itu menjalin hubungan dengan seorang pramugari.
Hubungan itu dibuktikan setelah wanita berkenaan mengupah penyiasat persendirian mengekori pergerakan pramugari tersebut bersama 'playboy' yang memiliki 600 ekor kuda lumba dan kediaman di merata dunia.
Dokumen mahkamah juga mendedahkan bahawa hubungan mereka berantakan dalam tempoh dua tahun selepas perkahwinan gilang-gemilang mereka di kawasan kediaman mewah lelaki itu di Aiglemont, utara Paris pada 1998.

Pasangan tersebut dikurniakan seorang anak lelaki, Prince Aly yang kini berusia 11 tahun.
Aga Khan merupakan warganegara Britain tetapi menghabiskan sebahagian besar masanya di Perancis. Ini bermakna hakim-hakim di Perancis boleh memainkan peranan menyelesaikan prosiding penceraian yang gagal dicapai di Mahkamah Tinggi London pada 2004.

Mahkamah Rayuan Perancis memutuskan bahawa Begum Inaara wajar menerima AS$87 juta atas alasan pasangan tersebut mempunyai ikatan suami isteri selama dua tahun.
Jumlah tersebut sekali gus mengetepikan jumlah hampir AS$17 juta (RM53.4 juta) yang diberikan oleh mahkamah rendah sebelum ini.

Mahkamah rendah memberikan jumlah penyelesaian yang rendah setelah mendapati kedua-dua pasangan itu bersalah sehingga mengakibatkan keruntuhan rumah tangga mereka.
Isteri keduanya itu, yang nama asalnya Gabriele Homey yang lahir di Frankfurt, pernah berkahwin dengan kerabat diraja Jerman, Prince Earl-Emich zu Leiningen. Mereka bagaimanapun bercerai pada 1997.
Sebenarnya, ini bukan kali pertama Aga Khan perlu 'mengosongkan saku' akibat keretakan rumah tangganya. Pada 1995, beliau terpaksa membayar AS$32 juta (RM100.4 juta) kepada isteri pertamanya, Sally Croker-Poole.

Dengan Croker-Poole, pasangan tersebut mempunyai tiga orang anak.
Penyelesaian penceraian Aga Khan dengan Begum Inaara bagaimanapun lebih rendah daripada perceraian bangsawan Rusia yang menetap di United Kingdom, Boris Berezovsky yang pada Julai lalu membayar bekas isterinya, Galina sebanyak AS$335 juta (RM1.05 bilion).

Namun jumlah itu lebih kurang sama dengan jumlah yang telah dibayar oleh aktres Madonna kepada Guy Ritchie apabila perkahwinan mereka berakhir. Madonna dilaporkan membayar antara AS$76 juta (RM242 juta) dan AS$92 juta (RM293 juta) kepada bekas suaminya itu.
Apa pun yang berlaku, sumber yang dekat dengan kes cerai tersebut menyatakan beliau yakin Begum Inaara pasti seronok dengan penyelesaian tersebut.







.

3 Penyokong CHELSEA:

Niena Muhammad on October 16, 2011 at 12:01 AM said...

kawin pn mahal..ceraiii pn mahal

Akmall Razlan on October 16, 2011 at 12:23 AM said...

Lulu... poke tu dalam bahasa melayu nya cucuk....alar yang melatah tuh...eh cokok!!! ha...macam tu la....cucuk....poke...

Anonymous said...

@akmall aduhh..patot cerai berai ni xda harga. kang lagi ramai nak bcerai sbb dpt duit..T_T

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!