Thursday, November 10, 2011

11.11.11 jadi pilihan


TERPANCAR jelas kegembiraan dan kebahagiaan yang bukan kepalang di wajah mulus aktres dan pengacara yang meniti populariti serta buah mulut peminat hiburan tempatan.
Sesekali bicaranya yang umpama bertih jagung itu disulami dengan ketawa kecil bagaikan memberi petanda bahawa Dira Abu Zahar memang benar-benar sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri sekali lagi.
Barangkali bukan lagi satu rahsia apabila Dira akan mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof atau Helmi, esok (11 November) di Merlimau, Melaka.

Ditemani puteri tunggal kesayangannya, Tengku Anggun Deandra yang sudah mencecah usia dua tahun hasil perkahwinannya terdahulu, Dira yang berusia 27 tahun itu tidak mampu lagi untuk menyembunyikan debaran di dalam hatinya tatkala ini.
“Saya sendiri tidak pernah menyangka mahupun menetapkan tempoh untuk menamatkan zaman janda. Memang inilah yang dikatakan takdir dan sebagai hamba-Nya, saya sendiri tidak mampu hendak menolak jodoh.

“Saya juga tidak mahu menjadikan kisah silam sebagai satu halangan untuk saya mendirikan rumah tangga buat kali kedua.
“Sudah pasti, saya mengharapkan perkahwinan kali ini akan kekal sampai bila-bila dan ia akan menjadi sebuah ikatan yang matang.

“Saya harus akui apa yang telah saya lalui sebenarnya banyak mematangkan saya sebagai seorang individu,” pinta Dira penuh jujur sambil mengaminkan doanya.
Simbolik
Pemilik nama penuh Khaidhirah Abu Zahar itu ditemui pada sesi perbincangan sempena majlis persandingannya di Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir pada pertemuan itu, Helmi dan bakal ibu mertua Dira, Hasnah Hassan.
Tidak sampai 24 jam sahaja lagi, Dira dan Helmi akan disatukan di kampung halaman pengantin perempuan di Merlimau selepas solat Jumaat.
Pada majlis yang bakal diadakan secara sederhana itu, Dira akan menerima sembilan dulang hantaran dan sebagai balasan, pihak Helmi bakal menerima 11 dulang.

Namun begitu, baik Helmi mahupun Dira, masing-masing mengunci rapat mulut mereka daripada mendedahkan mas kahwin dan wang hantaran yang bakal diterima Dira pada hari bersejarah mereka esok.
Sekadar menyingkap sejarah perkenalan mereka, Dira dan Helmi telah lama mengenali antara satu sama lain apabila pernah bekerjasama dalam satu produksi drama berjudul Salah Mesej Suami (SMS) sekitar dua tahun lalu.
Namun, semuanya berubah apabila Dira dan Helmi dipertemukan sekali lagi dalam filem Untuk 3 Hari arahan Afdlin Shauki tahun lalu. Bermula daripada situ, masing-masing memberanikan diri untuk berkenalan antara satu sama lain.

Mengambil keputusan untuk mengikat pertunangan pada 15 Februari tahun ini, baik Dira mahupun Helmi akhirnya memutuskan untuk memilih tarikh 11.11.11 sebagai simbolik hari pernikahan mereka.
“Sebenarnya kami pun tidak merancang untuk memilih tarikh itu. Kalau ikut perancangan asal, kami sepatutnya bernikah pada bulan Julai lalu tetapi disebabkan kesibukan kami, ia ditangguhkan ke November.
“Kebetulan pula pada tarikh itu juga tiada sesiapa pun di kalangan keluarga kami yang berkahwin, maka, kami sepakat untuk memilih tarikh itu,” jelas Dira yang sememangnya suka ketawa.
Serasi

Ketika ditanya apakah membuatkan Dira yang juga pengacara rancangan Melodi ini membuka hatinya untuk menerima cinta Helmi, tanpa ragu dia memberitahu sang arjuna itu dapat menerima dirinya seadanya.
Bukan itu sahaja, jelas Dira, Helmi banyak mengajarnya erti kesabaran dan menyifatkan lelaki itu sebagai air yang dapat menyejukkan dirinya setiap kali dia berada dalam keadaan marah.

Ditambah pula dengan keserasian dan kemesraan antara Helmi dan Anggun membuatkan Dira benar-benar terharu dan tersentuh lalu yakin dengan keputusannya untuk hidup bersama Helmi adalah tepat.
“Saya tidak pernah memaksa dan kalau boleh tidak mahu untuk berbuat demikian semata-mata mahu anak saya menjadi rapat dengan Helmi serta-merta.

“Sedangkan saya juga tidak menyuruh Anggun untuk menggelarkan Helmi dengan panggilan bapa, papa, daddy, ayah atau sebagainya. Buat masa ini, Anggun lebih selesa memanggil Helmi sebagai Uncle Helmi dan saya hanya membiarkannya.
“Saya lebih selesa untuk proses itu berlaku secara semula jadi. Helmi juga tidak kekok untuk bersama dengan anak saya kerana dia mempunyai anak buah yang ramai. Secara tidak langsung, ia membuatkan hubungan itu lebih mudah,” jelas anak bongsu daripada enam beradik ini penuh terbuka.





P/S -  JOM TENGOK NI [KLIK]





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!