Thursday, November 3, 2011

Berhenti kerja jaga isteri, anak


Seorang bapa yang tinggal di Kampung Teluk Talipon, Kuala Kedah di sini kehilangan mata pencarian setelah berhenti kerja sejak dua bulan lalu untuk menjaga isteri dan anaknya yang terlantar sakit.
Radzi Abdul, 58, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak lagi boleh bekerja kerana terpaksa menjaga isterinya, Sabariah Saari, 50, yang menghidap barah payudara manakala anak bongsunya, Nor Hafizi Abd. Aziz, 20, lumpuh kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.

Radzi yang dahulunya memperoleh gaji RM700 sebulan mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana tiada siapa yang boleh menjaga dan menguruskan keperluan harian isteri dan anaknya itu.
"Isteri saya menghidap barah payudara tahap empat sejak lima tahun lalu dan dia tidak boleh bergerak kerana rasa terlalu sakit sejak September lalu.

"Anak bongsu pula lumpuh, buta kedua-dua belah mata, tidak mampu bercakap dan hanya boleh minum susu serta nasi lembik sahaja. Jadi saya terpaksa berhenti kerja sebab kena jaga mereka berdua sepenuh masa," katanya ketika ditemui di rumah mereka di kampung tersebut, di sini, hari ini.
Menurutnya, setiap hari dia akan memasak nasi, menyalin lampin pakai buang anaknya, memandikan dan menyuapkan makanan untuk mereka.

"Pendapatan yang ada cukup untuk kami sekeluarga dan saya beli barang dengan menggunakan wang pencen isteri serta duit simpanan yang semakin sedikit sekarang," katanya sambil menambah isterinya dahulu pernah bekerja di sebuah kilang dan wang pencen yang diterima ialah RM300 sebulan.

Dia memberitahu, anaknya yang lumpuh turut mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun masih tidak mencukupi.
Katanya, dia mempunyai lima anak dan Nor Hafizi adalah anak bongsunya.
Dalam pada itu, seorang jiran, Sabariah Hamid, 46, berkata, dia sedih dengan keadaan sahabatnya yang terlantar itu dan berharap ada pihak yang sudi membantu.

"Dulu Sabariah masih boleh berjalan dan dia yang menguruskan anaknya lumpuh ini. Namun sejak dia terlantar sakit, semua tugas menjaga rumah tangga diambil alih oleh suaminya.
"Saya juga miskin seperti mereka dan hanya mampu melawat keluarga ini setiap hari. Jadi saya harap pihak yang berkenaan boleh menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga ini," ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga Radzi boleh menghulurkan sumbangan dengan menghubunginya di 012-5979138.



P/S - Kasih sayang seorang suami.. semoga mereka dipermudahkan...










.

1 Penyokong CHELSEA:

eszek on November 4, 2011 at 12:03 AM said...

Salam kenal
Saya ada baca dari blog Kjee, durian belanda boleh mengubati kanser. Ada yg buat jus dari buah durian belanda, kanser tu alhamdulillah hilang.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!