Sunday, November 6, 2011

Kisah Abby Abadi


WANITA ini begitu berhati-hati dengan kata-katanya sewaktu menceritakan semula tentang kisah percintaan yang dikatakan sudah berakhir dengan kekasihnya, Zul Ariffin.
Kelihatan raut wajah muram dan sesekali genangan air di kelopak mata tatkala memuntahkan apa yang merunsingkan benak pemikirannya.

Terus-terang, dia mengakui ‘kejadian’ itu berpunca daripada dirinya sendiri dek pengakuan berani mengungkap kata perpisahan dalam blog peribadi, www.absolutelyabbyabadi.blogspot.
Pengumuman yang dilakukan tanpa persetujuan bersama itu dibuat pada hari jadi Zul yang ke-25 pada 25 Oktober lalu.

Dalam blog Abby itu, wanita berusia 33 tahun ini mencurahkan masa depan hubungan mereka yang sudah menemui titik noktah.
“Saya nak orang tahu situasi sebenar,” reaksi awal wanita ini membuka cerita pada pertemuan di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada petang Selasa lalu.

Abby memberitahu bahawa kudrat wanita tidak mampu untuk menolak takdir perpisahan yang disuratkan oleh-Nya, apabila lelaki yang menjadi pendengar setianya itu bukan lagi pasangannya.
“Saya berani cakap bahawa Zul banyak menggembirakan saya sepanjang tiga tahun kami bersama. Dia pendengar setia terutama ketika saya berdepan dengan situasi ‘sakitnya dikhianati’.
“Mungkin dalam keadaan saya yang tak nampak apa yang berlaku pada masa depan, tanpa disengajakan saya mencoretkan apa yang bermain dalam fikiran saya di blog.

“Setelah tiga minggu kami tidak berjumpa dan saya sendiri tak nampak sebarang usaha daripada dia untuk mencari saya. Iyalah, masing-masing sibuk dengan kerja dan membuatkan saya rasa semakin terpinggir.
“Inilah masa paling kritikal. Kami diduga dalam hubungan ini sebab sebelum ini tak pernah berpisah lama. Biasanya, selang sehari, pasti bertentang mata. Jadi bila berlaku jurang itu dan dengan tidak sengaja saya telah melakukan kesilapan,” dedahnya satu persatu.

Bekas penyanyi kumpulan Elite ini juga mengakui tentang minatnya yang mendalam dalam bidang penulisan. Medium blog dan Facebook sering dijadikan sasaran untuk melepaskan gian coretan peribadinya.
Hanya menerusi kegiatan tersebut, Abby dapat melegakan diri sekali gus bertindak sebagai terapi tanpa berniat untuk memburukkan sesiapa.
“Apa yang berlaku (perpisahan dengan Zul) adalah kesilapan saya. Saya tak akan salahkan dia sebab perkara ini sudah berlaku. Kalau nak tahu, saya ada jumpa Zul dua hari selepas hari jadinya.

“Dalam pertemuan itu, kami diam dan saling berpandangan antara satu sama lain. Dia tahu betapa saya sayangkan dia dan begitu juga dengan saya. Tapi disebabkan ego masing-masing menyebabkan hubungan kami semakin keruh.
“Saya akui banyak dugaan dalam hubungan ini. Jadi apabila saya sudah terbuat benda yang terkeluar dari hubungan kami menyebabkan hubungan ini semakin jarak.

“Sebab itu, saya membuat kesimpulan bahawa jangan ambil terlalu lama untuk berbaik dengan pasangan kita kalau ada perselisihan faham sebab perkara itu akan bertambah mudarat,” katanya tanpa berselindung.
Mengorek punca lain yang menyebabkan kepudaran cinta pasangan sejoli tersebut, wanita ini dilihat tersenyum pahit.
“Hubungan ini direstui semua pihak pada mulanya dan berakhir dengan cara ini. Biar saya dengan Zul yang tahu apa yang berlaku keseluruhannya sebab kami manusia yang sama-sama buat kesilapan.

“Saya pernah cakap dengan dia, kalau tak jadi pasangan sekali pun, saya mahu kita berkawan sampai bila-bila. Urusan selebihnya, serah kepada IIahi sebab dia Maha Mengetahui apa yang berlaku pada masa depan,” katanya optimis.
Ditanya tentang status hubungan Abby dengan Zul, wanita ini mengatakan dia selesa dengan istilah ‘tergantung’.
“Biarlah orang tahu yang kami ini berkawan dan saling berhubung antara satu sama lain,” katanya ringkas.


Tekanan di hospital

Pertemuan selama sejam itu juga mengajak topik perbualan kejadian Abby dimasukkan ke hospital disebabkan tekanan baru-baru ini. Jelas kelihatan wanita ini menggelengkan kepala apabila musibah yang dialaminya itu dikaitkan spekulasi perkahwinan bekas suaminya, Norman Hakim dengan Memey Suhaiza.
“Jangan nak merepek. Jangan sesekali cuba kaitkan saya dengan ‘dia’ sebab dia memang tak ada dalam hidup saya. Lepas saya berkawan dengan Zul, tak ada pun saya simpan dalam hati untuk kembali dengan ‘dia’ dan benda itu tak akan berlaku.

“Saya tak faham kenapa masih ada orang yang mengaitkan saya dengan ‘dia’? Tapi bila melibatkan perkara yang patut diselesaikan, saya kena cakap sebab itu adalah hak anak-anak saya untuk jangka masa panjang.
“Bukan saya saja-saja nak cakap untuk gaduh dan saya pun tak suka nak gaduh. Sebab pada hujung cerita, saya akan menangis bersendirian,” ceritanya.
Pada masa yang sama, Abby menafikan dakwaan mengatakan tekanan yang dialaminya itu berpunca daripada kehilangan tawaran berlakon.

“Walaupun saya tak ada penggambaran, saya masih ada perniagaan lain yang boleh dijadikan sumber pendapatan. Tak kan saya nak beritahu semua tentang apa job saya sekarang sebab rezeki saya sentiasa ada saja, meskipun dalam Facebook.
“Tak semestinya kalau tak keluar televisyen, saya tak ada sumber pendapatan. Saya meniaga dan saya tak boleh harapkan rezeki datang bergolek, kena juga usaha,” tegasnya sebelum berpisah petang itu.








.

2 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on November 6, 2011 at 11:19 PM said...

kesian nasib abby kan.... tak tau nak ulas camna.. semoga dia tabah dengan ujian hidup

Ct Arina on November 7, 2011 at 4:48 PM said...

setuju dgn abby:

"Sebab itu, saya membuat kesimpulan bahawa jangan ambil terlalu lama untuk berbaik dengan pasangan kita kalau ada perselisihan faham sebab perkara itu akan bertambah mudarat"

saye sendiri dah byk kali ulang kesilapan yg same mcm ni. ego manusia membataskan segalanya.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!